Review : Nurul Asyikin

Novel sulung keluaran Siluet Books ini ditulis oleh Aloy Paradoks. Dalam garapan perspektif pertama, aku membacanya mengikut gaya intonasi, membayangkan bagaiman gelodak perasaan seorang lelaki yang sering mendung kisah cintanya. Lupakan tentang kesilapan ejaan dan struktur ayat ketika membaca buku ini, jika tidak akan terasa seperti ada kerikil di dalam mulut menjamah aksara. Sentuhan marhaen jelas ketara dengan dia menceritakan kehidupannya mengikut babak tahun secara anti-linear. Dalam bab-bab cintanya yang acap kali terlepas dari pelukannya, penulis menggarap perasaan dan pengalaman watak dengan utuh sekali. 

Aku paling gemar bab dia dan ayahnya mensisakan masa bersama. Salah satunya mengenai lukisan, di mana ayahnya mengajar dia cara melukis dari kertas kalendar dan menghasilkan kertas yang tiada nilai kepada sekeping kertas yang bermaruah. Bab penghujung, jelas terserlah ayahnya seorang yang kuat berpegang pada prinsip, yang menjadikannya bangga sebagai Nurul Asyikin.

Ia sebuah monolog panjang dengan selingan dialog dengang watak-watak kecil lain, yang menggarapkan pengalamannya menjadi seorang Nurul Asyikin yang berencahkan hitam putih kehidupan yang sesekali berwarna riang. Seorang sahabat berkata, ia kisah penulis, bagi aku, itu tolak ketepi dengan aku hanya melihat Nurul Asyikin. Novel ini isinya ringan, lebih ringan dari popkorn.

Salah satu petikan dalam Nurul Asyikin;
" Abah kata lagi sekali dekat aku, jangan nilai cantik. Kertas lukisan itu asalnya hanya sehelai kertas kalendar lama yang buruk, tapi ia sekarang sekeping kertas bermaruah. "
Rentetan babak ayah Nurul Asyikin memperihalkan nilai kecantikan pada lukisan.

Sekian review ringkas dari Luc Abdullah, Zine Satu Malam.

In by Anonymous, Monday 26 September 2011


3 Responses to Review : Nurul Asyikin

shandye. said...

Di Art For Grab tempoh hari aku asyik pegang dan letak, pegang dan letak kembali naskhah Nurul Asyikin itu. Aku mahu beli dan baca, tetapi aku bimbang aku tidak akan faham sepenuhnya sebab karya Aloy Paradoks sebelum inipun (alah, buku kecil warna merah jambu yang tajuknya Aku itu) aku susah nak faham. Mungkin laras bahasa dia berbeza, entahlah.

Tapi mungkin lain waktu kalau aku terserempak dengan buku ini aku akan pegang dan beli. Insya Allah.

=)

Anonymous said...

Laras bahasanya lebih merdeka, tanpa struktur ketat yang biasanya tersemat dalam minda pembaca, ia akan kecewakan mereka yang gemar dengan permainan bahasa yang dalam masa yang sama, berstruktur tinggi. Jadi aku faham kenapa kau rasa teragak-agak. Orang cakap wavelength berbeza.

Aloy Paradoks said...

terima kasih banyak beb, gua baru baca ulasan ni. tq.