Archive for May 2015

Hal Bipolar, Proses Kreatif, Yoda, Fiksyen dan Geneva.

1

Dari ingatan saya, sebetulnya saya tak berapa pasti siapa antara kenalan saya yang mengajukannya tetapi kenyataan tersebut berbunyi lebih kurang begini, "Aneh bila mana aku membaca semula tulisan yang aku karang semalam-semalam, dan aku tidak mampu menghasilkan yang serupa hari ini." Oh ya, si Api. Beliaulah yang mengutarakan  kenyataan itu usai tamatnya acara Buku Jalanan Titi di Taman Tasik Titiwangsa tempohari. Acara itu membawa diskusi berkenaan sindrom bipolar dan beliau sedikit runsing akan kaitan bipolar dan sisi kreatif penulis (bermula dari situ kami saling mengesyaki sisi bipolar masing-masing. Kami jadi ragu-ragu).

Okay ketepikan dulu hal bipolar, nyahlah dari sini, kerana saya ingin menekankan akan kenyataan beliau itu. Ya, ianya benar. Pada malam yang agak panas dan berbahang, saya telah membaca semula hasilan kerja-taip saya yang dulu-dulu sampai yang terkini (termasuk belasan draf yang saya tinggalkan atau tak terdaya menyambung) lalu terlintaslah di fikiran saya, kerja-taip saya dahulu lebih menarik dari sekarang. Mungkin perasaan sahaja, entahlah. Tetapi sejujurnya kerja-taip saya sekarang banyak dikekang diri sendiri. Saya mahu itu ini begitu begini dan akibatnya ia menjadi terlalu rigid. Proses kreatifnya menumpul, ia telah memakan terlalu banyak masa dan tenaga yang tidak perlu. Tiada santai. Tiada seronok. Macam saya cakap tadi, dikekang. Draf-draf yang terabai banyaknya berpunca dari itu. Ini bikin saya runsing.

Adakah semakin dewasa saya menjadi seorang yang tidak 'fun'? Adakah pengalaman dan ilmu yang ditimba telah membunuh kanak-kanak di dalam diri? Adakah saya akan bertukar menjadi grumpy serius seperti klisenya watak-watak wise old men di dalam fiksyen-fiksyen filem? Mungkin tidak. Saya rasa saya masih lagi mampu mengukir tawa manis gegadis, jadinya saya menolak dalil bahwasanya saya bukan lagi seorang yang 'fun'.

Kerja-taip saya dahulu, lebih jujur, lebih santai menaipnya, lebih seronok, menurut pandangan saya. Fiksyennya memang tipu, namun mesejnya jujur. Kamu faham kan maksud saya? Fiksyen haruslah menipu sedikit-sebanyak. Saya seorang pelupa. Saya tak mampu cerita balik dengan terperinci, satu demi satu, apa yang saya alami. Saya cuma ingat benda penting yang menarik. Ambil contoh, saya nampak beberapa ekor kucing duduk di dalam sebuah pasu. Dari situ, saya akan bina cerita yang membawa kepada poin penting tersebut, atau secara longgar menyampaikan poin itu. Ia mungkin tiada kaitan langsung. Saya boleh taip yang ketika saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, saya telah dikejar anjing lalu jatuh ke dalam longkang. Usai sampai di rumah, saya nampak rumah saya bersepah dan beberapa ekor kucing duduk membentuk bulatan di dalam pasu. Sebuah objek seperti UFO datang dan membawa kekucing itu pergi. Di atas pasu itu sekarang cuma ada sesuatu seperti crop circles. Ah jauh pula saya bersembang, bagaimanapun kamu dapat maksud saya bukan?

Orang khabar satu-satu karya itu ialah bentuk bogel pentaipnya. Sekarang bayangkan pentaip itu seorang perempuan cantik persis Rina Suzuki drummer kugiran Scandal. Karya pertama ialah Rina Suzuki membuka baju sejuknya. Karya kedua ialah Rina Suzuki membuka t-shirtnya. Seterusnya gunakan imaginasi. Poinnya ialah setiap karya menampilkan sisi kebenaran dari sang pentaip, mungkin pengalaman peribadinya. Tetapi pentaip pandai mengaburinya dengan tipu-tipuan, maka jadilah fiksyen, yang pembaca baca, cari dan hadam sendiri-sendiri. Ianya terbuka untuk interpretasi. Takkanlah pentaip nak cerita benda yang benar belaka, baik dia jadi cikgu matematik!

Okay sebenarnya lima perenggan di atas ini ialah introduksi pada topik utama yakni promosi zine kumpulan kerja-taip saya dulu-dulu; Geneva. #ZineGeneva ini memuatkan cerpen-cerpen yang bila saya baca balik saya, tak sangka saya pernah menaip sesuatu yang comel/mengarut macam itu, kah! Kenapa Geneva? Merujuk pada draf saya yang gagal disiapkan (lagi), Geneva itu ialah tempat di mana terowong ideaskap dan mimpiskap bertemu, macam satu dimensi asing, tempat paling tinggi di dalam proses kreatif. Saya namakan Geneva juga kerana pada tahun 2012 saya telah ponteng kelas dan bergerak dari Johor Bahru ke Petaling Jaya menonton gig Russian Circles yang ada antara lagu mereka yang menjadi kegemaran saya bertajuk Geneva dan ia sangat berbaloi. Eh suka hati sayalah!


Kalian boleh dapatkan zine ini di booth ZineSatuMalam di acara-acara seni sekitar Lembah Klang. Jemput ikuti ZSM di laman rasmi berikut untuk informasi pergerakan kolektif ZSM serta hal-hal berkaitan zine:















Kamu & Kewujudan

1

kamu mengetuk pintu hatiku dengan tanda tanya
sekalipun jawapan itu telah tergantung diantara pelipis matamu dan bibirku,
tapi aku tetap saja tenang
membacakan kamu satu persatu jawapannya

untuk soalan kamu yang pertama;
"siapa kita?"
aku menjawab;
"aku adalah kewujudan didalam dirimu
manakala kamu adalah sebahagian dariku."

dan untuk soalan kamu yang kedua;
"kenapa kamu memilih aku?"
aku masih lagi menjawab;
"aku adalah kewujudan didalam dirimu
manakala kamu adalah sebahagian dariku."


Analisis pengalaman pembacaan; Siang

1

Masih ingat di ingatan saya ketika saya menamatkan Siang (Cerita Cinta bohongan). Latar waktu ketika itu adalah waktu siang usai makan pagi. Sebenarnya saya tertarik dengan Siang kerana muka hadapan buku tersebut. Ianya sangat kena dengan warna putih dan ada sedikit lukisan naif pada bahagian belakangnya. Dan saya dapat mengagak yang ianya adalah hard cover. Ianya bagus kerana saya belum pernah mempunyai buku yang berhard cover (Selain buku buku ilmiah yang membosankan-Yeah.) 

Saya terlihat Siang ini pada Instagram. Lalu adalah satu hal yang mustahak untuk saya memperolehi wang Rm50 bagi saya mendapatkan Siang. Oh jadi dari siapa lagi kalau bukan dari wang Ayah. Ayah adalah lelaki kegemaran saya sejak saya banyak menghabiskan wang ringgit beliau walau dalam paksa-rela.

Hari ketiga selepas pembayaran, Siang telah berada dalam rumah saya. Macam saya beritahu, cuma muka hadapannya yang membuatkan saya ingin membeli Siang. Memang bukan kerana isi kandunganya atau kerana penulisnya; Mimimorticia. Oh saya pernah memiliki dua buah buku beliau yang sebelum ini. Jadi dengan Siang ini, terus terang saya tidak boleh berasa biasa biasa saja kerana ianya amat luar biasa.

Jadi hari pertama saya dengan Siang di rumah cuma banyak dihabiskan dengan merenung kepada muka hadapan dan belakang buku tersebut. Ianya membuatkan saya merasa bangkit dan bangun. Bangkit kemana dan bangun kenapa saya agak kurang pasti. Ianya memang secara tidak sengaja membuatkan saya berasa sayang dan jatuh cinta lagi dengan cover tersebut.

Cuma dengan perkataan yang cukup simple di hadapan; Iaitu maksud Bohongan menurut kamus disertai dengan perkataan yang cukup minimal. Sangat terbukti sebetulnya ia tidak seperti terdesak untuk menjadi cover buku yang cantik atau menarik.

Lalu cover Siang telah memikat saya dengan sendirinya tanpa dipinta-pinta. Mengenai kulit belakangnya pula terdapat satu lukisan semacam tulang belakang manusia yang di bahagian atasnya merupakan seekor rama rama! Walaupun terletak agak ke tepi dari ruangannya, lukisan tersebut kelihatan naif dan jujur dengan tangan yang membentuknya sendiri. Saya terus terusan melihat Siang sepanjang hari.
Maksud saya aktiviti merenung cover buju tersebut giat berjalan.

Entah kenapa dengan saya hari itu. Setelah berpuas hati menilik cover Siang, barulah saya melihat isi kandungan di dalamnya. Sebetulnya Mimi agak bijak menyusun ayat dan perkataan bila mana beliau ada menyelitkan (sebenarnya agak lucu bila ada sekeping kertas yang mengandungi kata kata dilekatkan dengan saletip putih di atas sekeping kertas yang agak tebal berbanding kertas kertas lain tapi agak unik!) perkataan yang bila mana anda baca anda akan berkata haaah itulah! Dan anda akan menyambung membaca sambil otak anda memusingkan apa apa perbuatan atau peristiwa yang kena dan selari dengan pengalaman hidup anda mengenai kata kata yang dilekatkan pada setiap bahagian dalam buku tersebut. Ada lebih kurang 4 rasanya. Malas pula saya nak periksa betul betul.

Jadi membaca tulisan Mimi anda seperti berada di luar Malaysia kerana penulis banyak menggunakan perkataan Indonesia. Bahasa Indon lebih sastera bukan? Entah kenapa. Tapi bagusnya terdapat glosari di halaman belakang mengenai perkataan yang anda tidak tahu dan saya baru tahu yang sebenarnya loket bermaksud kaunter dan neko neko bermaksud main main. Jakun atau apakah saya ini. Atau mungkin sudah lama saya tidak menonton sinetron bodoh di kaca tv sejak berada di rumah. Kalau di tempat saya belajar ada seorang teman saya suka menonton drama puaka Indon sekaligus saya juga dipaksa menontonya. Tahu tahu lah kalau dipaksa kita jadi semacam apa bukan?

Jadi dimana kita tadi. Di  bahagian tulisan penulis; Saya merasa sedikit sedih dan sayu jika ada coretanya sama dengan kisah saya. Entah kenapa tepat dengan masa, semasa saya baca; saya sedang menonton secara tidak serius film Her di HBO dan beberapa film lain yang bercampur gaul.  Ianya semacam satu perasaan yang (apakah dia) yang gagal saya munculkan pada patah perkataan. Totalnya cuma perasaan sedih yang saya temui. Jadi tidak rugi rasanya menyelusuri perkataan perkataan jujur yang dekat semacam dengan kita. Tidak rugi untuk berasa sedih ya ampun.

Dalam kehidupan, kita tidak boleh lari dalam tidak gemar semasa menyukai sesuatu. Dan kalau anda tidak merasa begitu; Dunia realiti adalah tidak sesuai untuk anda jadi anda boleh pindah selamanya dalam dunia fantasi ciptaan anda. Dan memang terdapat satu bahagian yang saya tidak gemari dalam Siang. Iaitu subjek B; Kronologi perbualan dengan diri sendiri yang mana saya merasakan muka surat 63 hingga 83 merupakan kepingan kepingan wang yang telah saya bazirkan dalam Siang. Ianya seperti anda membeli sepapan coklat bar tapi anda tidak mampu menghabiskanya seorang diri lalu membahagikanya dengan seseorang yang lain walaupun niat asal, tiada idea sebegitu.

Walaubagaimanapun, ianya merupakan idea dan perbualan penulis sendiri yang kalau dibaca anda tidak akan mati kebosanan-pun dan jika anda baca dan merasakan sangat klise sekalipun bukannya anda berdosa lagipun. Bava sajalah. Manusia tidak lari dari membuat perkara yang semua orang suka bukan?

Mengenai muka surat kegemaran saya adalah pada halaman 14 yang bertajuk; Untuk Orang Yang Sekarang Tidak Sudi Lagi Berkongsi Udara dengan Saya. Halaman ini telah saya kongsi dengan teman saya Hafis dan dia juga menyukainya. Mengenai suka Hafis akan halaman tersebut, sejujurnya tidak dapat dipastikan samaada suka mungkin hanya mengambil hati saya atau memang betul betul suka.

Jadi konklusinya, suka saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyukai Siang yang amat kerana ianya handmade dan bukan dari kilang. Siang sebenarnya terpikat oleh saya mungkin nilai buatan ikhlas dari hati untuk dikongsi lalu kita sebagai pembaca terpalit dengan kesan merasa gembira jika mendapatkanya.

Jadi secara total saya bagi empat bintang dari lima bintang untuk Siang dan bintang kelima yang kurang sebenarnya untuk kamu, Mimi yang manis.


Pelabelan Manusia

0

Kalaulah manusia itu umpama satu produk makanan yang terjual di pasaraya, apakah label yang kau akan paparkan di luar jasad kau?

Semestinya pada satu produk makanan itu ada nama sebenar produk dan jenamanya. Ya kau manusia, dan nama kau siapa?

Ramuan. Ya daripada apakah terbinanya kau? Susunan ramuannya bergantung kepada peratusannya, dan perlu diatur daripada secara menurun. Daripada apa yang banyak kau ada sampailah terpaling sedikit kau ada. Kalau diberi ketaatan, kepatuhan, kesetiaan, kesungguhan, kedengkian, kemalasan, dan sebagainya; yang mana satukah kau akan tulis dahulu?

Pemberitahuan allergen. Supaya pengguna yang punya hipersensiviti yang tertentu akan berhati-hati dengan kau.

Arahan penyimpanan. Cara terbaik untuk kau kekal hidup. Sila jangan abaikan kerana ini adalah langkah terpenting memelihara kualiti hidup kau. Adakah sebaiknya kau itu terlindung daripada kesusahan dan kekal di zon selesa kau? Atau sedikit kepayahan akan buat kau menjadi manusia yang lebih berketerampilan?

Arahan penyediaan dan penghidangan. Seenaknya, bagaimana kau dihidangkan? Mungkin kau rasa kau elok dihidang sebagai hijabista? Tweet famous? Agamawan? Politikus? Pahlawan papan kekunci? Professional? Peniaga? Pengusaha produk MLM?

Alamat pengilang sama seperti di mana kau dibuat? Hanya orang tua kau saja yang tahu. Mungkin boleh nyatakan tempat kelahiran kau.

Tarikh luput. Sesungguhnya yang ini adalah kerja Tuhan. Tarikh luput setiap kita adalah tidak ketahuan, mungkin produk seperti manusia ini tak perlu dilabelkan tarikh luputnya. Hanya diketahui tarikh lahirnya sahaja. Definisi luput ini boleh diterjemahkan sebagai kehilangan nyawa, kehilangan jatidiri atau apa-apa jua kehilangan yang terpenting buat kau.


Jadi, aku mahu tanya kembali. Labelmu itu seperti apa? Aku sebegini.

Mungkinkah aku selayaknya dilabelkan begini? Entah. Ini cuma andaian.


maaf

0

maaf
apa dengan maaf kau boleh ubah segalanya?

Benar; boleh bikin hati sedetik aman, 
tapi ianya masih tak boleh dimaafkan,
lagi lagi bila ianya melibatkan sesuatu yang sukar.

maaf kau tu - boleh pergi mati lah


cerita sekaki payung

1

Mengharapkan hari-hari ku wujudnya engkau di sisi --

Tahukah kau setiap titik hujan itu aku kira ?
Tahukah kau setiap jemari yang semakin rapuh ini setia menanti ?
Seluas jumantara sanggup ku simpul bukti cinta aku pada kau abadi;

Tahukah kau ?


Saat aku yang makin berkabung bersama hamparan hitam gelap,
Menggenggam sekaki payung ke hulu dan hilir,
Terperuk sepi berselimut asap,
Kau hilang hentah kemana ?


Laluku teruskan langkah dengan memayungi diri ini dengan payung kusam,
Berlari jauh-jauh
Sehingga tak sesaat pun sempat terfikir untuk berhenti.





Sleeplessness

0

It launched
from the midst
of night onto
our bed,
scattered to
pieces.
Here, comfort
of sleeping was
destroyed.
There, dreams
were floating in
bubble wraps.
In between, us
still confused.






Micah, July 2013


LOVE

0

Love,
A feeling that people might not notice it even exist,
A feeling that makes you shine from the inside,
The one thing that makes you smile even when you're alone,
It makes you feel good and happy,
Everyday seems to be complete,
Everyday seems to be summer all year,
Love,
Extraordinary on how it changes you,
Makes you feel motivated to do something,
Butterflies all fluttering in your stomach,
You feel yourself as a whole,
And the very most,
It makes you, YOU.
Love,
Once you fall,
You'll find hard to get back up from it,
Because it's a deep feeling given by the ONE who created it.


aku bukan takdirnya.

0

yam.

jadinya anggap aku apa
memang tidak tertulis untuk bersama
apatah lagi bersua muka
ditiadanya duduk semeja
walau di talian maya
terlenyap segala cerita jiwa
yang pernah ada suatu ketika.

aku bukan lagi seperti biasa
kau jua jauh lebih bergaya
yang berlalu itu sudah tiada
perkara terjadi itu tak kan ada
untuk aku ego nak luah apa yang dalam jiwa

kerana
aku bukan takdirnya.


Typical Cryptic-al.

1

Mungkin ini akhirnya cerita kita. Penakutnya kau berdiam saja. Tidak mngiyakan, mahupun menidakkan. Hakikat yang kita berdua tahu akan berakhir dengan cara kita berdua diam tanpa ada kata-kata akhir walaupun ucapan selamat tinggal.  
Nevermind. Pilihan kau tetap dia, pengakhir yang aku sedar dari awal tapi tak mampu aku percaya.

Ah, pergi mati kau tak guna! Dasar lelaki memang tak boleh dipercaya. Hidup bercinta tak pernah cuba setia. Bila berkata, ayatmu lebih manis dari sebaldi gula. Padahal apa yang kau katakan tak pernah bermaksud apa-apa. Sekadar pemanis untuk buat hati berbunga.

Pergilah kau mengukir bahagia, dengan ayat-ayat manismu yang membalut nista.
Moga dia terpedaya,
supaya kali kedua,
usaha kau mendusta,
tidak sia-sia.

Adios, dickhead.



Gadis Cilaka

0

Hai,


Ini bukan kali pertama aku cuba untuk bunuh diri.
Bukan kali pertama juga cuba melarikan diri, dan hidup mengembara.

Mereka selalu berkata-kata, jadi diri sendiri. Jadi diri sendiri; walau seteruk mana sebangsat mana pun kau tu. Kau cakap mudah lah. Tapi bila aku jadi diri sendiri. Kau semua lari.

Kenapa?

Aku cuma nak tahu kenapa sahaja.

Yang benar,
Gadis cilaka.

Pena digengam. Selesai tulis, Dia termenung sekejap. Keluh dihela. Diremuk remuk surat itu. Dia berdiri dari duduk di bucu tembok bangunan tinggi. Misi bunuh diri gagal buat kali ke 9.

Ahh..Persetankan lah! Desusnya sendiri dan surat terluka itu dibuang ke bawah. Pena dicelup dalam poket. "Eh. Alamak! Pintu rumah tak tutup! Matilah aku!" jeritnya dan berlari.


Tuhan

0

Tuhan,

Perjalanan ke rumahMU sentiasa indah,
Setiap langkahku menuju ke situ tidak pernah memberi resah,
Nyamannya diri ini bagai air yang tenang,
Sejuknya jiwa ini bagai dibelai bayu,
Benar bagiku, adanya damai tatkala hati ini diletakkan pada tempat yang abadi,

Tuhan,

Sekarang aku pergi kepadaMU dalam keadaan aku berpakaian,
Kelak, aku akan pergi kepadaMU dalam keadaan aku bertelanjang,
Moga waktu itu, masih bisa aku berlapang dada menemuiMU.


(adaptasi lebih kurang) apa yang kita ada dalam poket oleh Etgar Keret

2

Satu pemetik api, sebiji gula-gula batuk, sekeping setem, sebatang rokok yang sedikit bengkok, sebatang pencungkil gigi, sehelai sapu tangan, sebatang pen, dua keping syiling 5 shekel. Itu semua hanyalah secubit dari apa yang saya ada dalam poket ini. Jadi perlukah ada persoalan kenapa ianya boleh membonjol sebegitu rupa? Ramai yang musykil akan kebonjolan itu. Mereka kerap bertanya, 'Apa ke jadahnya dalam poket kau tu?' Kebanyakan masa saya tak jawab pun, saya cuma senyum. Ada tikanya saya hanya membalas dengan gelak tawa yang pendek dan sopan, seolah-olah si polan di depan saya ni baru saja membuat lawak yang tak kelakar namun atas dasar kemanusiaan saya gelakkan jua.

Dan kalaulah ada yang masih gigih mahu bertanya lagi, saya akan keluarkan kesemuanya, kemudian saya mungkin akan terangkan betapa pentingnya benda-benda itu saya bawa pada setiap masa. Nasib baiklah tiada yang segigih itu. Kronologinya selalu begini; Apa jadahnya, senyum@ketawa kecil, situasi senyap yang kekok, beralih ke topik yang lain.

Pada hakikatnya barang-barang itu telah saya pilih dengan teramat teliti supaya saya sentiasa bersedia. Bersedia supaya saya sentiasa ada 'kelebihan' tatkala momen kebenaran menampilkan diri. Emm, itu tak berapa tepat sebenarnya. Semuanya berada di situ supaya saya tak akan ada 'kekurangan' atau kelemahan tika munculnya momen kebenaran yang kerapkali tak dijangka. Kerana 'kelebihan' apa yang boleh saya dapat dengan pencungkil gigi atau setem? Tapi katakanlah, sebagai contoh, seorang gadis cantik - taklah cantik mana, cuma boleh dikatakan agak menarik, seorang gadis normal cuma tapi dengan senyum paling menawan yang boleh merentap nafas dan melangkau sedetik degup jantung - bertanyakan anda untuk sekeping setem, atau tak tanya pun. Dia cuma berdiri di situ, di tepi sebuah peti surat merah tika malam yang kehujanan, dengan sekeping envelop tanpa setem, kemudian bertanyakan anda lokasi pejabat pos terdekat, diselangi batuk-batuk kecil kerana dia sejuk, dan desperet, kerana gadis itu sedar tiada pejabat pos yang masih dibuka, lebih-lebih lagi pada waktu itu. Dan pada saat dan tika, pada momen kebenaran yang telah muncul, dia takkan tanya, 'Apa ke jadahnya ada dalam poket kau?'. Dia cuma akan terharu atas kewujudan setem yang terselit celah poket anda. Mungkin tidaklah sampai terharu, namun sekurang-kurangnya dia akan mengukir senyuman yang paling menawan itu, ukiran buat sekeping setem. Saya akan menerima urusniaga sebegitu dengan hati terbuka, walaupun harga setem melambung dan harga senyuman dah merudum teruk.

Selepas menawan saya dengan senyum termanis, dia akan ucap terima kasih, kemudian batuk lagi, sebab dia sejuk dan juga sebab dia dah segan. Saya akan tawarkan kepadanya gula-gula batuk yang saya ada. Si gadis akan bertanya 'Apa lagi yang awak ada dalam poket tu?' dengan lemah lembut, tanpa apa kejadahnya, tanpa negativiti, dan saya akan jawab tanpa ragu-ragu, 'Apa saja yang kamu mahukan, sayang. Apa. Saja. Yang. Kamu. Mahukan'

Sekarang anda tahu. Inilah yang saya ada dalam poket. Peluang. Peluang untuk ini. Peluang yang suam-suam sahaja, tidak wow, tak layak masuk dalam peratus kebarangkalian pun. Saya tahu. Saya bukan bodoh. Walaupun dengan peluang miniskul ya amat, tetapi katalah kebahagiaan yang sentiasa sibuk dengan orang lain itu tiba-tiba terlintas untuk datang menjenguk, saya akan ada pilihan untuk kata 'Ya', bukannya 'Maaf, saya tidak ada rokok/pencungkil gigi/syiling untuk apa yang kamu mahu lakukan itu'.  Inilah yang saya ada, padat dan membonjol, peluang untuk berkata ya, dan bukan maaf.



Menilai Sebuah Rumah Dari Pagarnya.

1

Ibu, Alan pergi rumah sebelah eh, dia kata dia ada binatang peliharaan baru. Anjing katanya, aku dengan linangan air mata aku minta izin sama ibu. Tapi masa ini aku tak pandang muka ibu, aku kan anak jantan. 

Aku bertujuan pergi sana ke bukanlah apa sangat, tapi sebagai seorang pendakwah (ustaz aku kata semua orang islam dalam dunia ada peranan masing-masing untuk berdakwah) aku kena bagitahu yang kalau kita bela anjing saja-saja dalam rumah nanti malaikat tak nak masuk! Kalau malaikat pun tak nak masuk rumah kau, macam mana nanti kau nak masuk syurga? Oh jiran aku nama dia Ali, Ali mestilah orang Islam! Tak boleh bela anjing!

Ali! Ali! 
Tiada yang menyahut. 
Tiba-tiba mak Ali keluar, dia jemput aku masuk. Aku pun katalah nak lihat-lihat binatang peliharaan baru Ali. Mak cik kata, okay, beres, kemudian dia memberi isyarat supaya aku membontoti. Aku turut. 

Sambil-sambil mengekor, aku berkira-kira nak mempertahankan diri dengan ninjutsu, karate atau taekwondo, aku tak reti tiga-tiga tapi kalau orang tanya aku buat apa karang dengan aku, boleh lah aku jawab dengan salah satunya. Anjing menggigit, nanti kalau gigit kena sertu. Kalau kena sertu, haram!

Mak cik membawa aku ke bilik air, dia tunjuk ke arah Shelly, seekor anjing laut yang sedang mengimbangkan sebuah bola getah di hujung hidungnya.

Tiba-tiba, Ali pun pulang dari solat Jumaat. Masjid sebelah ni je. Aku? Aku musafir dari rumah sebelah kot. Lalu aku pun pulang ke rumah, menyumbat telinga dengan fon telinga, memainkan musik Another Brick in the Wall - Pink Floyd, part two.


Kami berada di Pekan Frinjan @ Festival Belia Putrajaya!

0


Hai korang!

Jomlah ke Putrajaya hari minggu ni. Kami berkampung di Pekan Frinjan @ Festival Belia Putrajaya bermula dari hari ini hingga Ahad nanti.

ZSM x Pekan Frinjan @ Festival Belia Putrajaya.
22 Mei - 24 Mei
Datarang Gemilang Putrajaya.

ZSM mempunyai satu khemah besar yang dikhaskan kepada zine, buku buku indie (indie ni subjektif, bero); baju indie dan segala macam produk kecil yang diterbitkan secara kecil kecilan. Kalau anda berminat nak letak produk anda atau kampeni anda, sila hubungi kami di email zinesatumalam@gmail.com. Mention kami di twitter @zinesatumalam kalau ada soalan soalan pendek yang jawapannya juga berkemungkinan pendek. Kami amat mengalu-alukan kalau anda ni jenis seorang individu yang buat zine sendiri atau buat suka suka dengan kawan kawan, nak letak dan jual zine anda di khemah kami. Kami suka orang macam hang, jadi hubungi kami lekas!

Berikut adalah aktiviti aktiviti yang akan ZSM buat di Pekan Frinjan @ Festival Belia Putrajaya 2015;

1. Jualan zine

ZSM telah menerbitkan beberapa buah zine baru seperti

- Mens Rea : zine koleksi cerpen kegelinciran ke zon hitam, nihilistik dan angker. Kegelapan memang ada di dalam diri manusia, ia tak pernah pupus!

- Ortus : zine koleksi sajak, puisi dan catatan yang bermain di dalam tema kebangkitan, kelahiran semula, dan semangat baharu. Jika semuanya pincang, reset sahaja!

- Falsetto : zine campuran cerpen, catatan dan puisi perihal kisah-kisah dari kotak musik/ radio. Sila gunakan frekuensi yang jujur!

- Para Pelukis Air Mata : kumpulan sajak-sajak kemurungan, kehilangan, kematian, dan kesedihan. Kadang-kala, biarkan saja sisi yang lain mengambil alih!

Dapatkan kesemua zine zine baru ini segera sebelum kami rasa malas nak terbitkan dah!

2. Klinik Puisi

Sub-kolektif ZSM, Tanpa Nama akan membuat sesi bedah dan diskusi puisi sepanjang masa acara ini berlangsung! Caranya mudah, bawa puisi anda dan kita bedah & bincang sama sama! Jangan malu dan segan, puisi anda bukannya kena bash pun, kita duduk, bincang apa yang puisi cuba sampaikan dan cuba figure out kalau ada cara yang boleh buat puisi tersebut jadi lagi terkesan.

3. Buang Monster

Diinspirasikan daripada kejadian seorang teman pelukis kami yang sedang menconteng bukunya dengan gambar seekor raksasa, lalu tiba tiba crushnya lalu dibelakang dan kata "buang masa je lukis benda tu", lalu kami bangkit di Pekan Frinjan dengan membuat aktiviti Buang Monster sebagai tanda solidariti. Mudah saja, anda datang dan lukiskan raksasa anda di atas kanvas besar yang kami sediakan. Sertailah aktiviti ini supaya teman pelukis kami boleh kembali bersemangat untuk melukis dan mencintai. Jadi, datanglah dengan bayangan raksasa apa yang anda hendak lukiskan.

4. INi Zine Kita Semua!

Kita bikin zine ramai ramai dan kita tak jual. Zine ini adalah zine edisi istimewa, hanya orang yang menyumbangkan karya yang boleh memilikinya. Caranya mudah, datang bawa karya anda, tak kiralah puisi (kami galakkan bedah puisi ini dulu di Klinik Puisi), cerpen ataupun lukisan. Apa apa saja. Kami akan tampalkan di ruang pameran dan selepas itu kami akan kumpul. Zine ini akan diterbitkan dan diberi kepada kontributor di acara ZSM yang berikutnya. Ikut cara berikut.

Tulis/lukiskan karya anda di atas sekeping kertas (tak kira saiz apa), tuliskan nama dan nombor telefon / email anda di belakang kertas, bawa ke khemah ZSM dan kami akan tampal. Tamat acara, kami akan kumpul dan hubungi semua kontributor.

5. Cerpenis Sembang

Kita sembang hal cerpen la, apa lagi. Sesi ceramah cerpen oleh seorang panel yang dirahsiakan atas faktor keselamatan.

6. Bengkel zine, puisi & cerpen.

Bengkel ini akan diadakan dibawah payung besar di tengah tengah perkampungan Pekan Frinjan. Kami akan bagitahu jadual bengkel.

Selain itu ZSM juga akan membuat persembahan deklamasi puisi, teater dan akustik daripada Ilmudya, seorang jejaka bersuara lunak yang terer main gitar. ZSM juga akan bawa sekumpulan pelajar Fakulti Teater dari Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (ASWARA) untuk membuat persembahan. Jadi kalau tak mai, jangan nak komen "weh awat aku tak tau ada ni? awat hangpa tak habaq?" di Instagram bila kami upload gambar. Kami habaq dah kat hang.

Datang ramai ramai, lepak di khemah kami. Khemah kami fun!

Macam mana nak ke sana? Haa..ada beberapa opsyen seperti yang tertera di dalam gambar di bawah:



Jangan lupa ya, cari PEKAN FRINJAN. Kami di situ! ^_^


Papehal, kalau sesat ke apa, mensi kami di twitter: @zinesatumalam

Kalau nak info lanjut, boleh rujuk di sini: 
atau 

Jumpa korang di sana! :D



Jack & Hana

4


Di antara selang masa  dua buah bas yang sampai dan pergi, ketika itulah Jack bertemu dengan Hana buat pertama kalinya, di hentian bas. Jack, seorang lelaki biasa yang punya impian luar biasa. Hana pula seorang aktivis alam sekitar yang percaya bahawa bumi ini tercemar kerana tangan-tangan manusia sendiri yang terlampau rakus mengejar kekayaan sehingga mengabaikan kebersihan dan keindahan alam. Mungkin dia banyak terinspirasi dengan senaskah buku tebal yang jatuh dari sebuah kapal terbang ketika melintasi bumbung rumahnya suatu ketika dahulu. Pandangan mereka bertemu dalam suatu garis selari yang menyebabkan mata keduanya saling bertentangan. Bzzz! Ada percikan bunga api di mata mereka.

Jack dan Hana keluar bertemujanji pada minggu yang seterusnya (selepas saling berbalas senyuman). Jack, seorang lelaki biasa dengan gayanya yang biasa-biasa, memilih untuk berpenampilan lebih kemas pada hari tersebut. Hana pula mengelek senaskah buku tebal di celah ketiak yang sentiasa dibawanya ke sana ke mari. Mereka berdua lepak minum di sebuah kedai kopi bukan produk kapitalis. Mungkin pemilik kedai kopi itu seorang sosialis ataupun komunis. Kita semua kurang jelas tentang hal ini. Yang pastinya, kedai kopi tersebut mesra alam. Sudah tentulah ia pilihan Hana.

Mereka tak banyak berborak pada temujanji yang pertama itu. Hanya sesi perkenalan ringkas, saling berbalas senyuman dan kadang-kadang ketawa dalam nada yang rendah. Hana kelihatan santai dan mesra, cuma Jack yang sedikit cemas. Mungkin dia jarang bertemujanji dengan seorang gadis. Namun keadaan kembali terkawal apabila bayangan arwah neneknya muncul di dalam cawan kopi yang sedang berasap di hadapannya ketika itu. “Tenang Jack, hirup kopimu perlahan-lahan dengan gaya seorang lelaki.”


Dahulu dahulu

1

Dahulu kentang goreng Perancis itu peluru
Dahulu dahulu paket mi segera itu kereta kebal pengikut Dajjal
Ubat pencerah gigi pembaik gusi itu penembak misil pemusnah bandar
Darah-darah warga kota itu dijual di kedai kopi si duyung berekor kembar

Ehhh itu dahulu
Sekarang kentang goreng ialah kentang goreng
Paket mi tetap paket mi
Ubat gigi ialah ubat gigi
Dan kopi adalah kopi

Sekarang kini
Mana semangat mu yang dahulu-dahulu?


Kerna aku manusia biasa

1

Aku henyuk dua pejal bulat daging punggungku di sofa merah delima dengan rakus sambil menunggu angka giliran aku.“Datang awal pun ramai orang, ” bentak hati aku.
Dalam keasyikan pelanggan dengan urusan mereka, pandangan aku tertancap pada tubuh-tubuh manusia yang ligat buat aku berfikir seorang diri. Aku imbas momen-momen saat aku gigih mengeja hingga aku pandai berdikari sendiri, Sinis.

 Peace hate war so much while war is struggling for peace.”

Betul-betul buat aku ingat pada teman aku. Saat keamanan yang ada buat manusia leka itulah tanda perang yang bakal tiba sedangkan bersusah payah berperang untuk dapatkan keamanan adalah perkara yang sukar dicapai.
Pendekkan ceritanya.

Apa yang merunsingkan aku saat ini ialah perbezaan yang aku sendiri lihat dengan mata kepala aku. Jelek, bercampur baur perasaan aku. Keadaan mengubah segalanya. Mungkin aku tidak bernasib baik untuk dilahirkan awal dalam keadaan serba biasa. Aku sendiri selesa digelar perempuan biasa, bukan kerana aku selekeh atau sebagainya. Tapi nilai dalam diri aku yang berbeza dengan anak muda sekarang.

Ahh, celaru fikiran aku bila mengenang 10 tahun akan datang. Mampukah aku mendidik anak-anak aku seperti mana aku dididik oleh ibubapa aku dahulu. Aku mampu berharap teknologi tidak akan musnahkan anak bangsa sendiri. Rosak, punah semua. (Mungkin prasangka aku).
Macam-macam trend aku tengok, kenapa perlu ubah setiap benda walaupun aku mengaku manusia sekarang terlalu inovatif, kreatif sangat. Masya Allah, tidak padan dengan usia kreatifnya kadang-kadang sampai satu tahap aku rasa.

Bullshit!

Terlalu melampau pada aku yang berhati kampungan ini. Mungkin ada yang baik mungkin ada yang tidak. Tapi itu pandangan aku.
Perempuan sekarang banyak yang berhijab tapi tergedik-gedik. Aku tidak mahu nanti semua perempuan bertudung dilabel hipokrit, bertudung kerana fesyen bukan kerana tuntutan agama. Marahkan aku kalau kau orang tak setuju. Bukak mata sikit, semuanya dunia je. (Gelak sendiri). Halal haram entah kau letak mana berhijab pun. Macam mana yang rambut berwarna pelangi selain warna asas orang melayu pula? Kah!

Ahh, sucks!

Itu aku rasa macam nak ambik buat mop. Bersyukur lah dengan apa yang kita dah ada. Manusia ni memang tepat sangat kalau dipadankan dengan istilah “demand". Tak akan pernah rasa cukup dengan apa yang sedia ada. Lumrah itu biasa bertepatan dengan fitrah manusia, Cuma kadang kau kena bertegas dengan diri jangan diikutkan sehingga tolak tepi apa yang sepatutnya. Aku malu kalau orang hina bangsa aku. Sebab maruah aku juga tercalar pada aku. Sudah! Tak baik aibkan orang lain. Pesan aku pada diri sendiri.

Aku fikir mereka sudah menamatkan segala kekeruhan yang pernah ada. Aku silap, silap kerana perang tidak akan pernah berhenti. Perang dengan naluri adalah perang paling bahaya malah lebih dahsyat dari perang dingin yang hampir cetuskan perang dunia ke-3. Aku mengeluh kuat, (makcik sebelah pandang pelik pada aku). Banyak benda yang aku lihat jauh terpesong dari apa yang sepatutnya. Aku sendiri banyak khilaf cuma tak salah aku saling memperingatkan. Aku manusia, kau manusia, jangan asyik nak melenting!

“HAK AKU SUKA HATI AKU LAH NAK BUAT APA!”

Senang cerita esok kau mati, kau kafan, kau mandi, kau tanam dan kau talkin lah diri kau sendiri sebab apa? Kau cakap kubur masing-masing kan?


Letih aku mengomel sendiri. “1108 kaunter 4, ” diulangi kali kedua.
Tersentak aku dari kusyuk mengelamun. Nyaris terlepas giliran aku, setelah urusan aku disitu selesai lantas aku pulang bertemu kekasih hati.


Jalan Pulang

1

Angin perlahan-lahan
Menampar pipi kiri kananku
Hanya untuk buat aku sedar
Yang diri ini sudah letih
Penat hanya mengejar
Tidak tercapai
Sedikit pun

Kicauan burung seakan mengejek
Melihat aku yang berjalan pulang
Dari satu pertemuan penuh negativi
Saat ucapan perlahanmu mencederakan aku, kejam,
"Usah lagi dinanti aku, carilah teman baru..."
Ibarat sebuah elegi yang bermain berulang kali
Di dalam kepala 
Seperti kaset yang tersangkut
Dan hanya main lagu yang sama

Aku terus berjalan pulang
Bersama-sama angin petang
Dan burung-burung yang turut mahu pulang
Menemani aku yang kini
Cintanya tiada lagi di tangan.


Tepis dengan Angan-Angan

1

Ketika beliau mengajukan soalan berapakah umur aku tahun ini, aku memandangnya dalam-dalam.  Perempuan, seperti biasa akan pusing sana pusing sini pusing sana pusing sini dahulu sebelum dia bertanya soalan yang sebetulnya.  Perempuan tidak akan bertanya secara direct dan tidak juga akan faham jawapan bersifat direct.  Ini sifir yang seharusnya tertanam dalam benak kaum Adam seantero dunia.  Jika ini pertama kali kau mendengar pernyataan ini, aku tidak pelik jika kau tergolong di dalam golongan yang merayu kepada perempuan supaya menemani kau keluar.  Menonton filem Avengers terbaru misalannya. 

“I semakin berusia, you semakin berusia, orang di hadapan ini juga, tak lupa di belakang sana juga” itu jawapan aku.  Dia nampak tidak berpuas hati dengan jawapanku, mungkin juga dia merasakan jawapan itu bersifat sinis.

“Apa perancangan bila umur semakin meningkat?” Nampaknya dia masih belum berpuas hati dan tampil dengan soalan yang lebih mencabar, yang kalau tersilap jawab, boleh mengundang malapetaka besar.

“Perancangan yang macamana you nak I cerita ni? Let me know” aku masih belum mahu menjawab.
“Please, I want to know” dia jawab sambil buat muka mengharap yang boleh buat hati lelaki macam kita ni, well akan cair.

“Okay I akan jawab sebagaimana mostly perempuan nak dengar, okay perancangan I sekarang ni, I tengah kumpul duit, sikit sikit sikit then I akan jumpa parents you, I call parents I then diaorang pun datang bincang dengan parents you, then bawa rombongan meminang, kita bertunang if you agree, kahwin siap ada persembahan puisi, dapat anak then upload setiap jam di instagram, okay yang last tu melampau, so what do you think?”

“Hahaha kelakarlah you ni, tapi memang betul ke tu perancangan you? Wow klise” sememangnya itu adalah jawapan dan perancangan klise dari hampir kesemua lelaki.

“Nope, perancangan I, hari ni last kita jumpa, start tomorrow we will not see each other for a year, I bawa diri I, you bawa diri you, I nak pergi mengembara, jumpa ramai orang, singgah tempat baru, try makanan yang tak pernah I makan, try benda-benda baru macam bunge jumpee, then you pun should do it, tinggalkan Pavilion, tinggalkan channel E, tinggalkan Sephora, do the journey, explore new thing, but at the end, after one year, we meet again then we realize, even so many people with so various activities, it is not complete without you sweetheart”

“Ouchhh youuuuu, how sweet, you are different, yes you, that’s why I choose you”


Well, kalau aku hidup lagi tahun hadapan. 


Dan Kamarku Pun Menangis

1


Aku dibangunkan dengan selingkuhmu
bergantungan di kupingku.
Ia berdatangan lagi mengucapkan
berita semalam.

Di luar, angin bergaduh membawa
kedinginan masuk.
Di kamar ini, suaramu menjadi ribut melekat
pada dinding dan mengering.

Seperti wajahku yang dadu, dadaku
merusuh angan-angan kita kemarin.
Tidak ada kata-kata baik dari bibirku
yang luka, kerna seluruh sisi kamar ini
mencair dan menitikkan memoir ke mataku.




Mamori: Juli, Mesin Taip, dan Roh yang Sunyi.

0

"Memori itu perkara yang lucu," terang Mamori kepada Juli. "Tak semua entri akan kekal, kebanyakannya jatuh tenggelam di bawah sedar. Baik awak segera catat di mana-mana sebelum awak terlupa, Juli-san."

Mendengar saranan Mamori; bayang metafizikal memorinya yang dimaterialkan sebagai anak gadis jepun berseragam tank-top putih dan skirt tartan hitam merah, Juli kelam-kabut menggeledah meja kerja di biliknya mencari pen dan kertas. Usai ketemu, dia mula menulis memorinya satu demi satu, dalam bentuk senarai bernombor. Nombor satu, memori satu. Nombor dua, memori dua. Nombor tiga, memori tiga. Begitulah seterusnya. Juli berhenti bila huruf-huruf dari pennya menjejak separuh kertas. Dia perasan yang lenggok tulisannya terlalu buruk, sukar untuk dibaca.

"Tulisan awak terlalu buruk, sukar untuk dibaca," Mamori mengiyakan anggapan Juli.

"Saya rasa saya perlukan mesin taip, Mamori-chan," Juli memandang Mamori, pinta simpati. Mamori membalas dengan wajah acuh tak acuh. Tetapi beliau bingkas bangun dari duduknya kemudian membuat beberapa pergerakan tangan. Menjelmalah sebuah mesin taip di hadapan Juli secara magikal.

"Ini bukan sihir, ia magik," jelas Mamori, walaupun Juli tak sibuk bertanya.

Juli kembali menaip memorinya satu demi satu, dalam bentuk senarai bernombor. Nombor satu, memori satu. Nombor dua, memori dua. Nombor tiga, memori tiga. Begitulah seterusnya. Dia kelihatan gembira dan bersungguh-sungguh. Tulisan yang terhasil dari mesin taip itu sangat cantik, tersusun dan mudah dibaca.

"Ah, hujan, Juli-san," Mamori mencelah. Di langit malam, perarakan gah awan terlerai lalu turun sebagai hujan yang lebat. Atap bilik Juli dihentam kuat. Jendela biliknya juga terbocor sedikit dek tempias angin. Menjejak memori ke-24 di atas helaian kedua, Juli terlalu leka dengan mesin taip magikalnya. Langsung ribut di luar itu diabaikannya.

Menyedari dirinya tidak diperlukan, Mamori melangkah menghampiri jendela. Langsir yang sedikit basah itu diselaknya demi menjeling bulan. Malang baginya, bulan sudah tidak kelihatan lagi. Beliau mengeluh panjang. Senyap-senyap tanpa Juli sedar, bayang Mamori memudar perlahan-lahan, sebelum lenyap wujudnya dari pandangan.

Seraya itu, percikan halilintar di langit membawa ledakan guruh yang dahsyat. DUM! Juli diselubungi kegelapan. Bekalan elektrik di rumahnya terputus. Jemari Juli di atas kekunci mesin taip itu telah berhenti menaip. Agak lama dia kekal kaku di posisi itu. Mungkin hampa, siapa yang tahu? Di hujungnya Juli juga mengeluh panjang. Tiada apa yang boleh dilakukannya dengan keadaan hitam begini, maka sambil meraba-raba dia pun menuju ke tempat perbaringan. Empuk punggung bercium empuk tilam. Juli baring diam-diam merenung entah apa. Kuil mindanya ditenggelami perasaan. Juli terkenang roh yang jauh.

Bumi hujan, tanah kubur basah berlecak,
roh sunyi bertambah sunyi,

"Janganlah sunyi begitu, datanglah ke kamarku,
jenguk aku yang merinduimu,"

Juli tak tahu, roh terbang tak boleh jauh,
pada bumi roh tersauh,
dan Juli terus menunggu,

"Roh mungkir janji," bilang Juli,
Malam panjang tak diisi tidur,
Juli menangis, roh juga menangis,
Malam panjang yang tak diisi tidur,

Pinta Juli pada Tuhan,
Juli ingin bertukar tempat,
"Macam putera dan si papa,"
Juli menjadi roh, roh menjadi Juli,
Dihembus doa terbang ke bulan,

Bumi hujan, tanah kubur basah berlecak,
Juli menjadi roh, sunyi.
Roh menjadi Juli, merindui,
kitarannya tak pernah selesai,
hidup dan mati,
Ya, hidup dan mati.






In by m o y a, Monday 18 May 2015


Post navigation