Archive for December 2012

HAMBA YANG BERGELAR MANUSIA

2

Di sini kau melihat aku sebagai seorang yang terlalu agung,
Kau mengidolakan aku sebagai seorang yang lebih tinggi
Darjatnya daripada seorang kekasih.
Di sini juga kau menjadikan aku sebagai ikon
Yang kau jadikan setiap apa yang aku buat, kata dan lihat,
Sebagai inspirasi yang besar dalam hidupmu.

Sesuatu yang kau rasa boleh bawa kau pergi jauh
Andai kau jadikan kata-kata aku sebagai pedoman.
Di sana kau memandang aku sebagai sampah-sampah
Yang layaknya dibuang dan dilupakan sahaja.
Kau menghebahkan kata-kata kotor
Ke setiap telinga yang mampu mendengar
Dan mereka percaya satu persatu yang kau laungkan.

Sungguh manis budi bicaramu
Macam inilah kawan yang aku mahukan selama ini,
Tidak mengapa,
Aku bukannya penyabar,
Tapi aku mampu bersabar.

Satu perkara kau mesti ingat,
Aku juga seperti mereka
Hamba yang bergelar manusia
Sabarnya ada batas.



kerna memilih tajuk lebih susah dari menulis isi

0

hutan,

mungkin tempat sesuai untuk aku meluahkan segala ini.

Ya,
membisikkan segala cerita kita kepada pohon-pohon.

Tidak,
aku bukan seperti mereka yang menoreh tubuh pepohon dengan nama-nama kita.
Tidak sama sekali kerna abahku selalu berpesan, pohon, tanah dan bumi itu ada jiwanya sendiri. 

Ya,
pohon-pohon pendengar hebat seperti mana Yang Esa yang selalu diam dikala hamba-hambanya menangis mengadu dan meminta perihal hidup di dunia. 
Ibu kata, diam untuk mendengar, bercakap bila meminta. Tuhan tak pernah meminta, dia hanya mendengar.

Berbalik pada kita,
segala cerita yang ku cerita pada pohon-pohon itu bahagian manis cerita kita.
sebelum mereka ditebang jadi rumah, meja, atau kertas.

Kerna aku hanya ceritakan bahagian manis cerita kita dan bahagian pahit telah kau bawa bersama ketika kau mati di hempap kayu balak.


Siapa suruh tak dengar nasihat, nak bermadu asmara, bergelak ketawa sampai tak dengar amaran tentang bahaya.

by Ara Drew, Thursday 27 December 2012


Rahsia

0


Ini satu malam yang paling panjang
Di biarkan aku terus berdiri
Menanti tanpa pasti
Akan hadir atau tidak
Yang di tunggu sedari tadi

Dan di malam yang satu ini
Kabur lagi lensa mata aku
Dipenuhi cecair yang entah dari mana datangnya
Memenuhi ruangan mata aku ini

Nafas semakin perlahan
Ku pegang dadaku ; kosong
Wujud lubang besar di dadaku
Kemeja ku mula basah
Meresap darah yang meleleh keluar

Aku bersihkan lensa mataku
Dan aku melihat ada titis-titis darah di atas jalan
Ah, hati aku terjun keluar dari dada aku
Pergi meninggalkan aku
Mungkin dia sudah tidak tahan menunggu selama ini

Tapi aku tetap berdiri di sini
Sambil tangan memegang sekuntum mawar putih
Dan berharap dia datang malam ini
Kerana aku tidak pasti
Berapa lama lagi ku mampu bertahan
Tanpa hati.


USAH MENIPU

5


Suka sangat tipu orang, kan?
Aku pun suka tipu orang.

Seronok bila orang tu mati-mati percaya,
Kita semua suka tipu orang, kan?

Kadang-kadang menipu ni jadi satu hobi,
Kelakuan yang tak boleh dihindarkan.

Jangan tipu aku,
Sebab aku juga suka menipu.

Jangan tipu aku andai,
Semalam baru kau belajar menipu.

Jangan tipu aku kalau,
Aku orang petama yang kau tipu.

Jangan menipu,
Suatu hari nanti kau akan tertipu.







 Jangan!


harapan

0


Aku dari dulu percaya yang kita sebagai manusia secara genetiknya memang suka benda yang cantik. Sama seperti homosapiens. Kita minat dan memuja manusia yang mempunyai rupa dan juga mempunyai bakat.

Kita mengidolakan mereka kerana entah mengapa ianya seperti memberi harapan kepada kita, yang mungkin satu hari nanti kita akan jadi seperti mereka.

Ianya bikin kita bahagia.

Semasa kecil, kita tidur dibawah poster pelakon yang kacak dan cantik, atlit sukan yang berjaya atau penyanyi yang berbakat. Dan sebelum tidur, kita berangan yang satu hari nanti kita akan mengecapi hidup yang penuh misteri dan berjaya seperti itu.

Bila sudah dewasa, poster itu tadi semuanya diturunkan dan diganti dengan jaringan muka depan kultur tabloid yang memberi ilusi si jutawan dan si dermawan. Masih lagi dengan harapan kita akan menjadi seperti mereka. Atau mengharap mereka jatuh dari tempat yang tinggi dengan sakitnya.

Tiada yang membatasi kepuasan hidup kita apabila melihat orang yang jatuh apabila kita di bawah. Lebih lebih lagi apabila kita rasa tidak puas.

Teori yang aku dapat hasilkan dari pemerhatian aku ialah ini semua merupakan permainan. Permainan genetik. DNA. Tak kira di mana kita, atas atau bawah, sederhana atau kaya, kita memang pentingkan survival.

Kewujudan homosapien yang superior dianggap sebagai ancaman.

Jadi mereka yang tadi kita anggap sebagai pemberi harapan, kini jatuh ke bawah, kita rasakan seperti : oh, mereka juga manusia biasa. Tiada yang istimewa.

Memberi harapan yang kononnya kita mampu juga menjadi seperti mereka. Jika mereka mampu untuk jatuh ke bawah seperti kita.

Pendek kata, harapan my ass.


by Shafa Eman, Saturday 8 December 2012


ramli sarip

1

dia kata. keluarkan mata saya, saya dah jijik melihat kejijikan. jadi aku ambil kedua-dua belah matanya. ada bunyi plop. satu kali plop, dua kali plop. kemudian dia bicara lagi. buang sajalah mata tu ke dalam tasik. aku tak buang, aku hanya letak dalam poket seluar. bukan dia nampak pun. kami sambung teleku kami, menung tanpa bicara menyinggah. aku hanya merenung tasik keruh. dia? aku kurang pasti kerna aku tak pandai membaca lohong, lohong-lohong untuk lebih tepat. setelah dua ribu detik berlalu, dia akhirnya membuka mulut. bosannya, jom kita pi tengok waya...... ohh.  *senyap*. awak, awak, awak tolong ambil mata saya kembali boleh. permintaan itu hanya dijawab oleh deru angin barat kerna sebaik detik yang ke seribu tujuh ratus delapan puluh empat berlalu, aku sudah pun beredar dengan matanya di dalam saku kiri. mata itu akan aku hiaskan pada pebel ungu yang aku kutip tadi di pembahagi jalan, mungkin juga ia hakim yang tidak menghakimi.

by ahmad, Friday 7 December 2012


Reviu - #LariDariSyurga

6



Lari Dari Syurga adalah buku ke-empat terbitan Buku Hitam Press (BHP) selepas Bukan Dari Jibril, Kitab  Cupid dan Tiket ke Neraka. Pengenalan, buku ini merupakan koleksi cerpen yang dikumpulkan dari 17 orang penulis amatur, dan dinaskahkan atas satu tajuk.

TEMA

- Sedari kecil kita dididik dengan ide bahawa Syurga itu adalah tempat yang paling indah, tempat yang paling cantik. Kita semua mahu masuk Syurga. Kita semua MESTI masuk Syurga. Kita hidup untuk mati untuk masuk Syurga. Dan kenapa pula kita mahu Lari Dari Syurga? Pada aku, temanya menarik. Pembaca akan tertanya-tanya mengapa penulis atau watak dalam cerpen tersebut mahu Lari Dari Syurga.

COVER

– Seperti cover BHP yang lain, cover buku kali ini sangat menarik. Katanya adalah daripada beberapa keping foto Penjara Pudu yang dirobohkan. Lebih menarik, ada simbol-simbol agama yang mungkin menerangkan secara tidak langsung apa itu Syurga (dan Tuhan). Tentang cover belakang, pada aku sangat kebudakan. Ide aku tentang cover belakang adalah tulisan yang menerangkan tentang buku tersebut. Mungkin boleh diceritakan tentang apa itu Syurga, atau beberapa petikan cerpen yang ada di dalam buku. Bukan tentang bagaimana buku ini dihasilkan (Pencarian 30 orang penulis dan pilih 18 kemudian jadi 17). Mengarut.

TULISAN

- Tak adil kiranya kalau aku mahu komen tentang tulisan kerana di dalamnya ada 17 tulisan daripada 17 orang penulis, tidak termasuk dengan permulaan (penghargaan?) daripada Fikri Harun dan Puisi Penutup oleh Akma Pauzei. Secara umum, gaya penulisan adalah baik. Ada yang cuba menulis secara santai, dan ada yang berani bermain dengan kata. Apa yang menganggu aku adalah kebanyakan (tidak semua) menulis sesuatu yang berunsurkan seks. Aku tiada masalah dengan penulisan lucah. Dan aku juga faham dengan prinsip BHP yang mahu penulisan yang ‘berani’. Cuma ada tulisan berunsur lucah yang digarap dengan sangat murah (cheap). Pada aku, berani itu bukan biadap, dan bukan bodoh. Berkenaan tema, kebanyakan cerpen adalah jelas (ada juga yang kabur dan aku ‘skip’ baca). Tahniah BHP!

INDIVIDU     

- Aku cadangkan Lirik Melodi Syurga – Salleh Razak, Penghujung Sebuah Euforia – Raisya Nordin dan Untuk Saat Itu – Azhar Ibrahim.

KESELURUHAN

 - Untuk diberikan 3 bintang, aku rasakan terlalu sedikit. Untuk diberikan 3.5, mungkin terlalu mewah, jadi aku berikan 3.25/5. Jika anda tidak kisah untuk belanjakan RM20 untuk sebuah buku yang pada aku sangat eksperimental dan ‘meriah’, jadi ianya untuk anda. Jika anda seorang perfectionist dan cerewet memilih bahan bacaan, mungkin tidak.

-AdilRidhuan.


puas hati mu bangsat?

2


walau punya hayat seribu tahun lagi
melihat perih jasad tak berisi
senyap, tak berdenyut nadi
di carik carik binatang tak punya hati
dipijak di caci maki
serupa dosanya dari kepala hingga ke kaki

gelojoh hambur peluru besi
sampai semua panik berlari
terkejar sana sini
sampai menusuk tubuh kecil berjiwa peri
suci tak tercalit keji
sekali kau datang ke mari
rasa binasa hari hari
dan hujan kami dilebati bom bom yang ditabur,
dan angin kami diributi peluru peluru yang ditembak kabur,
larinya kami tak berguna,
sembunyinya kami tak punya siapa.

tiada yang mahu kau ke mari
jangan berani pijak tanah kami
jangan berlagak rasa kau tinggi
percayalah kau tentang ini
datangmu hina membawa benci
nyah kau dari sini!
jangan ada saudaraku yang kau biar mati
--lagi .
puas hatimu bangsat ?

Aen Lee / Huseng.


Kosong

1


Aku hanya merenung.
Diam.
Tanpa kata.
Tiada suara.

Aku hanya merenung.
Tubuh aku kaku.
Dan, aku jadi sang pembisu.

Aku hanya merenung.
Kosong.
Atau, semuanya bersimpang siur sehingga aku tidak dapat pastikan yang mana satu berada di fikiran?

Aku hanya merenung.
Dan, dalam renungan aku itu muncul satu layar hologram.
Menayangkan gelak tawa dan senyum mesra.
Pandangan yang penuh dengan rasa.
Daripada zaman persekolahan menarik beg beroda.
Sehingga detik ini, saat aku merenung kau tanpa kata.

Dan, aku terusan merenung.
Hanya merenung.
Sehingga mata aku pedih.
Dada aku sesak.
Kepala aku berat.

Aku hanya pinta.
Untuk berbaring dalam kau punya jiwa lagi.
Itu aku punya ruang keselesaan infiniti.
Aku masih mahu berbaring di situ.
Masih.

Sampai aku mati.


TULI

0


Siatlah cuping telinga ini,
Biar aku kehilangannya,
Lantas itu kau joloklah gegendang aku,
Agar aku benar-benar tak mampu — mendengar,
Diharapkan aku bahagia,
Bila aku sudah tuli,
Tidak mendengar tohmahan Si Bangsat,
Terhindar daripada mendengar fitnah Si Celaka,
Siatlah! Joloklah!
Cuping telinga,
Dan,
Gegendang.

Jangan!
Bukan sekarang,
Aku belum — bersedia. 


Siapa lagi kaya sekarang ni?

2


Aku melihat orang yang sedang berdiri di hadapan aku. Seorang wanita. Badannya langsing, tinggi. Macam model. Kalau orang sekali tengok pasti tidak percaya perempuan ini berumur 50 tahun. Aku senyum. Wanita itu turut tersenyum padaku.
                
Aku menebarkan pandanganku pada keseluruhan tubuhnya. Rambutnya ikal berwarna coklat. Mungkin asli. Mungkin juga diwarnakan. Wajahnya putih tanpa kedutan. Bibirnya merah saga. Hidungnya terletak sempurna dan matanya berkilau di bawah biasan cahaya lampu. Cantik.
                
Lehernya dipagari dengan rantai mutiara yang putih, bersih. Tubuhnya pula ditutupi dengan jubah berwarna hitam dengan jalinan benang emas yang membentuk corak abstrak di bahagian tengah jubahnya. Pergelangan tangannya digari dengan gelang emas. Kemilau cahaya yang disebabkan biasan cahaya gelang tersebut, menikam kornea mataku.
                
Aku pandang semula wajah wanita itu. Mekap tipis menghiasi wajahnya. Ringkas dan nampak natural. Aku senyum lagi. Aku lihat wanita itu turut tersenyum, senyuman mengejek. Aku menelengkan kepala ke kanan, dia turut ikut menelengkan kepala. Tapi di sebelah kiri. Aku angkat tangan kanan, dia mengangkat tangan kiri.
                
Kurang ajar! Kau ikut aku! Kau nak memperbodohkan aku? Hati aku memberontak.
                
Aku menggerakkan tanganku dan menyentuh wajahnya. Dingin. Pelik. Aku tak dapat rasa haba kulitnya. Bila aku menyentuh wajahnya, rasanya bagai menyentuh gambar. Hanya 2-dimensi. Pelik. Dahi aku berkerut. Dahinya turut berkerut, umpama faham perasaan aku yang aneh ini.
                
“Apa yang awak buat dekat depan cermin tu? Jomlah, kita dah lambat nak pergi dinner Dato’ Azhar ni. Dia kata tadi nak bincang his latest project. Dengar kata boleh untung 90 juta ringgit. Awak dah siapkan? Saya tunggu dekat limo, okey?” seorang lelaki separuh abad, dengan perut yang buncit menegurku. Tan Sri Imran.
                
Aku senyum, dan mula melangkah ke pintu, meninggalkan wanita separuh abad yang cantik tadi. Suamiku sedang menunggu di bawah.

***
                
“Mana you beli jubah ni?” Datin Rosa sibuk membelek jubah hitamku.
                
“Ohh. I pergi Qatar haritu. Ada sale! Dapatlah enam ribu dolar satu meter. Murah!” aku tersenyum bangga. Seorang wanita muda, dengan skarf melilit di leher datang membawa dulang berisi teko dan beberapa cawan.
                
“Wow! Set terbaru ke ni?” Datin Salmah di sebelahku bertanya kepada Datin Rosa, selaku tuan rumah untuk dinner ini. Aku mengangguk, bersetuju dengan soalan Datin Salmah.
                
“Ohh. Haah. Hari tu I ada pergi China, ternampak pulak set antik ni. I berkenan, so I belilah. Dia lelong. Ramai jugak yang berminat, tapi last-last I jugak yang menang!” Datin Rosa mengekek ketawa. Aku tak faham apa yang lawaknya, tapi aku hanya tersenyum.
                
“I beli dalam fifteen thousand dollars. Eh, rasalah teh ni! I beli dekat China jugak. Beijing. Dia kata this is one of the most expensive tea in the world. I nak rasa, so I belilah. 3500 dollars for 50 grams. I terkejut jugak. Tapi last-last I beli sekilo. Untuk dinner ni lah,” Datin Rosa tersenyum lagi.
                
Aku hanya tersenyum sambil membetulkan letak rantai mutiaraku. Biar mata-mata mereka ini melihat rantai mahal ini. Sesekali aku menangkap perbualan suamiku dan Dato’ Azhar yang melibatkan jutaan dollar. Bertambah lagi duit suami aku. Banyak lah lagi benda yang aku boleh beli. Senyum.
                
Semua benda ni, adalah hasil usaha suami aku sendiri. Dia tak mintak tolong pada siapapun! Tengoklah dia sekarang. salah satu usahawan berjaya di Asia.
                
“Eh, I nak pergi tandaslah. Dekat mana eh?”

***
                
“Apa you cakap? Macam mana you boleh batalkan projek tu last minit pulak ni?! I dah habis berjuta dollar dalam projek ni! Semua duit syarikat, I dah guna untuk projek ni! Habislah muflis I nanti!” aku memandang suamiku yang sedang bercakap di telefon.
                
“You jangan nak lepas tangan je! Habislah I nan..”
                
“Kurang ajar!” Suamiku menghempaskan iphonenya ke lantai. Skrin retak, berkecai.
                
“Kenapa ni bang?”
                
“Si Azhar tak guna tu lah! Dia pergi batalkan projek tu last minit. Habis semua duit saya, duit syarikat lesap! Muflislah aku nanti, muflislah,” aku lihat suamiku mundar-mandir, tak senang duduk.
                
“Habistu macam mana ni bang? Saya dah order banyak baju dari Paris haritu. Semua termasuk kos shipping semua dekat 15 juta dollar bang! Siapa yang nak bayar?”
                
“Apa? Baju apa yang kau beli sampai 15 juta ni? Kau ingat aku ni kerja apa? Cop duit? Dah, aku nak keluar dari rumah ni. Kalau kau nak ikut, ikut. Kalau tak nak, kau matilah dengan harta-harta ni semua,” dia bergegas ke pintu.
                
“Abang!”
                
Aku takkan tinggalkan rumah ni! Kalau aku keluar dari rumah ni, aku nak pergi mana? Kampung? Takkan! Aku nak hidup mewah! Aku nak duit! Aku nak disanjung sebab kekayaan! Kalau malaikat maut datang pun, aku sanggup bayar berapa juta dia nak agar ajalku ditunda. Hahaha!

***
                
“Kau tak boleh ambik semua ni! Ni semua aku punya!” aku meronta-ronta di hadapan pintu sambil menyaksikan seorang-demi seorang lelaki mengambil barang dari rumah ke lori. Tak boleh! Ni semua harta aku! Aku tak nak miskin!

***
                
“Makcik? Kenapa makcik tidur kat sini?” perlahan-lahan aku membuka mata. Wajah seorang gadis bertudung kuning menyapa pandangan. Wajahnya sungguh jernih. Aku bangun dan lihat keliling. Aku tertidur di pondok bas rupanya.
                
Pandanganku tertancap ke arah tangannya. Dia kelihatan sedang menggenggam erat sebuah buku. Genggamannya kejap bagai buku itu nyawanya. Buku yang aku sudah lama tidak buka dan baca.               
                
“Buku apa tu nak?”
                
“Oh ini? Ni Al-quran. Mak cik nak baca ke?” dia menghulurkan Al-quran di tangannya kepadaku. Aku sambut dengan tangan menggigil. Zip perlahan dibuka. Sehelai-demi sehelai aku selak. Aku berhenti di muka surat 23. Sebahagian muka surat tersebut penuh dengan tulisan yang aku tidak faham, tak dapat baca. Nasib baik ada tulisan rumi. Boleh aku baca.

Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.(Al-Baqarah: 152)
                
Air mata aku tumpah. Sungguh dah lama aku lupa Allah. Aku jual akhirat, untuk berhibur di dunia. Ya Allah, banyaknya dosaku padaMu. Pipiku masih basah dengan air mata. Sungguh aku rasa diri aku kotor. Kotor dengan dosa.
                
“Makcik. Jom ke rumah saya? Makcik boleh tinggal dengan saya,” aku melihat wajah gadis itu. Dia tersenyum. Aku ikut tersenyum. Subhanallah! Masih ada orang seperti ini di atas bumi ini. Di situ juga aku bersujud syukur, ditemani air mata dan rintik-rintik hujan yang mula turun melebat.


Post navigation