Pelabelan Manusia
Kalaulah manusia itu umpama satu produk makanan yang terjual di pasaraya, apakah label yang kau akan paparkan di luar jasad kau?
Semestinya pada satu produk makanan itu ada nama sebenar produk dan jenamanya. Ya kau manusia, dan nama kau siapa?
Ramuan. Ya daripada apakah terbinanya kau? Susunan ramuannya bergantung kepada peratusannya, dan perlu diatur daripada secara menurun. Daripada apa yang banyak kau ada sampailah terpaling sedikit kau ada. Kalau diberi ketaatan, kepatuhan, kesetiaan, kesungguhan, kedengkian, kemalasan, dan sebagainya; yang mana satukah kau akan tulis dahulu?
Pemberitahuan allergen. Supaya pengguna yang punya hipersensiviti yang tertentu akan berhati-hati dengan kau.
Arahan penyimpanan. Cara terbaik untuk kau kekal hidup. Sila jangan abaikan kerana ini adalah langkah terpenting memelihara kualiti hidup kau. Adakah sebaiknya kau itu terlindung daripada kesusahan dan kekal di zon selesa kau? Atau sedikit kepayahan akan buat kau menjadi manusia yang lebih berketerampilan?
Arahan penyediaan dan penghidangan. Seenaknya, bagaimana kau dihidangkan? Mungkin kau rasa kau elok dihidang sebagai hijabista? Tweet famous? Agamawan? Politikus? Pahlawan papan kekunci? Professional? Peniaga? Pengusaha produk MLM?
Alamat pengilang sama seperti di mana kau dibuat? Hanya orang tua kau saja yang tahu. Mungkin boleh nyatakan tempat kelahiran kau.
Tarikh luput. Sesungguhnya yang ini adalah kerja Tuhan. Tarikh luput setiap kita adalah tidak ketahuan, mungkin produk seperti manusia ini tak perlu dilabelkan tarikh luputnya. Hanya diketahui tarikh lahirnya sahaja. Definisi luput ini boleh diterjemahkan sebagai kehilangan nyawa, kehilangan jatidiri atau apa-apa jua kehilangan yang terpenting buat kau.
Jadi, aku mahu tanya kembali. Labelmu itu seperti apa? Aku sebegini.
Post a Comment