Jack & Hana


Di antara selang masa  dua buah bas yang sampai dan pergi, ketika itulah Jack bertemu dengan Hana buat pertama kalinya, di hentian bas. Jack, seorang lelaki biasa yang punya impian luar biasa. Hana pula seorang aktivis alam sekitar yang percaya bahawa bumi ini tercemar kerana tangan-tangan manusia sendiri yang terlampau rakus mengejar kekayaan sehingga mengabaikan kebersihan dan keindahan alam. Mungkin dia banyak terinspirasi dengan senaskah buku tebal yang jatuh dari sebuah kapal terbang ketika melintasi bumbung rumahnya suatu ketika dahulu. Pandangan mereka bertemu dalam suatu garis selari yang menyebabkan mata keduanya saling bertentangan. Bzzz! Ada percikan bunga api di mata mereka.

Jack dan Hana keluar bertemujanji pada minggu yang seterusnya (selepas saling berbalas senyuman). Jack, seorang lelaki biasa dengan gayanya yang biasa-biasa, memilih untuk berpenampilan lebih kemas pada hari tersebut. Hana pula mengelek senaskah buku tebal di celah ketiak yang sentiasa dibawanya ke sana ke mari. Mereka berdua lepak minum di sebuah kedai kopi bukan produk kapitalis. Mungkin pemilik kedai kopi itu seorang sosialis ataupun komunis. Kita semua kurang jelas tentang hal ini. Yang pastinya, kedai kopi tersebut mesra alam. Sudah tentulah ia pilihan Hana.

Mereka tak banyak berborak pada temujanji yang pertama itu. Hanya sesi perkenalan ringkas, saling berbalas senyuman dan kadang-kadang ketawa dalam nada yang rendah. Hana kelihatan santai dan mesra, cuma Jack yang sedikit cemas. Mungkin dia jarang bertemujanji dengan seorang gadis. Namun keadaan kembali terkawal apabila bayangan arwah neneknya muncul di dalam cawan kopi yang sedang berasap di hadapannya ketika itu. “Tenang Jack, hirup kopimu perlahan-lahan dengan gaya seorang lelaki.”