Jack & Hana
Di
antara selang masa dua buah bas yang
sampai dan pergi, ketika itulah Jack bertemu dengan Hana buat pertama kalinya,
di hentian bas. Jack, seorang lelaki biasa yang punya impian luar biasa. Hana
pula seorang aktivis alam sekitar yang percaya bahawa bumi ini tercemar kerana
tangan-tangan manusia sendiri yang terlampau rakus mengejar kekayaan sehingga
mengabaikan kebersihan dan keindahan alam. Mungkin dia banyak terinspirasi
dengan senaskah buku tebal yang jatuh dari sebuah kapal terbang ketika melintasi
bumbung rumahnya suatu ketika dahulu. Pandangan mereka bertemu dalam suatu
garis selari yang menyebabkan mata keduanya saling bertentangan. Bzzz! Ada
percikan bunga api di mata mereka.
Jack
dan Hana keluar bertemujanji pada minggu yang seterusnya (selepas saling
berbalas senyuman). Jack, seorang lelaki biasa dengan gayanya yang biasa-biasa,
memilih untuk berpenampilan lebih kemas pada hari tersebut. Hana pula mengelek
senaskah buku tebal di celah ketiak yang sentiasa dibawanya ke sana ke mari.
Mereka berdua lepak minum di sebuah kedai kopi bukan produk kapitalis. Mungkin
pemilik kedai kopi itu seorang sosialis ataupun komunis. Kita semua kurang
jelas tentang hal ini. Yang pastinya, kedai kopi tersebut mesra alam. Sudah
tentulah ia pilihan Hana.
Mereka
tak banyak berborak pada temujanji yang pertama itu. Hanya sesi perkenalan
ringkas, saling berbalas senyuman dan kadang-kadang ketawa dalam nada yang
rendah. Hana kelihatan santai dan mesra, cuma Jack yang sedikit cemas. Mungkin
dia jarang bertemujanji dengan seorang gadis. Namun keadaan kembali terkawal
apabila bayangan arwah neneknya muncul di dalam cawan kopi yang sedang berasap
di hadapannya ketika itu. “Tenang Jack, hirup kopimu perlahan-lahan dengan gaya
seorang lelaki.”
4 Responses to Jack & Hana
Hmmmm
=) power power
cheers!
- Jack
aku terbayang muka hana dengan jack sepanjang membaca cerita ni. kakakakaka
Post a Comment