Hal Bipolar, Proses Kreatif, Yoda, Fiksyen dan Geneva.

Dari ingatan saya, sebetulnya saya tak berapa pasti siapa antara kenalan saya yang mengajukannya tetapi kenyataan tersebut berbunyi lebih kurang begini, "Aneh bila mana aku membaca semula tulisan yang aku karang semalam-semalam, dan aku tidak mampu menghasilkan yang serupa hari ini." Oh ya, si Api. Beliaulah yang mengutarakan  kenyataan itu usai tamatnya acara Buku Jalanan Titi di Taman Tasik Titiwangsa tempohari. Acara itu membawa diskusi berkenaan sindrom bipolar dan beliau sedikit runsing akan kaitan bipolar dan sisi kreatif penulis (bermula dari situ kami saling mengesyaki sisi bipolar masing-masing. Kami jadi ragu-ragu).

Okay ketepikan dulu hal bipolar, nyahlah dari sini, kerana saya ingin menekankan akan kenyataan beliau itu. Ya, ianya benar. Pada malam yang agak panas dan berbahang, saya telah membaca semula hasilan kerja-taip saya yang dulu-dulu sampai yang terkini (termasuk belasan draf yang saya tinggalkan atau tak terdaya menyambung) lalu terlintaslah di fikiran saya, kerja-taip saya dahulu lebih menarik dari sekarang. Mungkin perasaan sahaja, entahlah. Tetapi sejujurnya kerja-taip saya sekarang banyak dikekang diri sendiri. Saya mahu itu ini begitu begini dan akibatnya ia menjadi terlalu rigid. Proses kreatifnya menumpul, ia telah memakan terlalu banyak masa dan tenaga yang tidak perlu. Tiada santai. Tiada seronok. Macam saya cakap tadi, dikekang. Draf-draf yang terabai banyaknya berpunca dari itu. Ini bikin saya runsing.

Adakah semakin dewasa saya menjadi seorang yang tidak 'fun'? Adakah pengalaman dan ilmu yang ditimba telah membunuh kanak-kanak di dalam diri? Adakah saya akan bertukar menjadi grumpy serius seperti klisenya watak-watak wise old men di dalam fiksyen-fiksyen filem? Mungkin tidak. Saya rasa saya masih lagi mampu mengukir tawa manis gegadis, jadinya saya menolak dalil bahwasanya saya bukan lagi seorang yang 'fun'.

Kerja-taip saya dahulu, lebih jujur, lebih santai menaipnya, lebih seronok, menurut pandangan saya. Fiksyennya memang tipu, namun mesejnya jujur. Kamu faham kan maksud saya? Fiksyen haruslah menipu sedikit-sebanyak. Saya seorang pelupa. Saya tak mampu cerita balik dengan terperinci, satu demi satu, apa yang saya alami. Saya cuma ingat benda penting yang menarik. Ambil contoh, saya nampak beberapa ekor kucing duduk di dalam sebuah pasu. Dari situ, saya akan bina cerita yang membawa kepada poin penting tersebut, atau secara longgar menyampaikan poin itu. Ia mungkin tiada kaitan langsung. Saya boleh taip yang ketika saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, saya telah dikejar anjing lalu jatuh ke dalam longkang. Usai sampai di rumah, saya nampak rumah saya bersepah dan beberapa ekor kucing duduk membentuk bulatan di dalam pasu. Sebuah objek seperti UFO datang dan membawa kekucing itu pergi. Di atas pasu itu sekarang cuma ada sesuatu seperti crop circles. Ah jauh pula saya bersembang, bagaimanapun kamu dapat maksud saya bukan?

Orang khabar satu-satu karya itu ialah bentuk bogel pentaipnya. Sekarang bayangkan pentaip itu seorang perempuan cantik persis Rina Suzuki drummer kugiran Scandal. Karya pertama ialah Rina Suzuki membuka baju sejuknya. Karya kedua ialah Rina Suzuki membuka t-shirtnya. Seterusnya gunakan imaginasi. Poinnya ialah setiap karya menampilkan sisi kebenaran dari sang pentaip, mungkin pengalaman peribadinya. Tetapi pentaip pandai mengaburinya dengan tipu-tipuan, maka jadilah fiksyen, yang pembaca baca, cari dan hadam sendiri-sendiri. Ianya terbuka untuk interpretasi. Takkanlah pentaip nak cerita benda yang benar belaka, baik dia jadi cikgu matematik!

Okay sebenarnya lima perenggan di atas ini ialah introduksi pada topik utama yakni promosi zine kumpulan kerja-taip saya dulu-dulu; Geneva. #ZineGeneva ini memuatkan cerpen-cerpen yang bila saya baca balik saya, tak sangka saya pernah menaip sesuatu yang comel/mengarut macam itu, kah! Kenapa Geneva? Merujuk pada draf saya yang gagal disiapkan (lagi), Geneva itu ialah tempat di mana terowong ideaskap dan mimpiskap bertemu, macam satu dimensi asing, tempat paling tinggi di dalam proses kreatif. Saya namakan Geneva juga kerana pada tahun 2012 saya telah ponteng kelas dan bergerak dari Johor Bahru ke Petaling Jaya menonton gig Russian Circles yang ada antara lagu mereka yang menjadi kegemaran saya bertajuk Geneva dan ia sangat berbaloi. Eh suka hati sayalah!


Kalian boleh dapatkan zine ini di booth ZineSatuMalam di acara-acara seni sekitar Lembah Klang. Jemput ikuti ZSM di laman rasmi berikut untuk informasi pergerakan kolektif ZSM serta hal-hal berkaitan zine: