Beretta
Derap kaki langkah seorang jururawat berstileto memecah kesunyian rumah agam dua tingkat itu menuju ke bilik tidur utama. Pintu dikuak perlahan. Diperhatinya si korporat tua itu sedang menikmati sarapan pagi di atas katil. " Selamat pagi, encik. " Sapanya sambil mengukirkan senyuman manis kepada majikannya. Farid Asnar membalas senyumannya dengan pandangan sinis sambil mengunyah perlahan roti bakar yang bersadur kepingan keju. " Kau lambat lah, Juli. " Kelu lidah Juli dengan air muka yang bertukar mendung. Dia segera membuka kotak ubat-ubatan yang terletak kemas di atas kabinet sebelah katil meneruskan rutin hariannya.
Usai menikmati sarapannya, Farid Asnar bangkit dari perbaringan menuju ke jendela. Diperhatinya tukang kebun sedang khusyuk mendandan taman bunga yang mengelilingi kolam kecil. Pemandunya pula sedang menyandar pada kereta mewahnya berbual mesra dengan seorang wanita yang bertubuh giur berambut ikal mayang. Wanita itu isteri Farid Asnar yang sah digomoli tiga tahun yang lepas. Dia menajamkan renungannya pada dua susuk tubuh itu. Mereka bertepuk tampar mesra. Isterinya tampak benar-benar gembira. Farid Asnar mengeluarkan cerut yang tersisip di celah langsir, disembunyikan supaya dia dapat melepas ghairah ke atas cerut yang sekian lama menghantui paru-parunya.
Sebaik sahaja cerut diletakkan di tubir mulut, Juli merentapnya. " Encik, tak boleh, paru-paru mesti jaga.Tsk tsk tsk. " Dahi Juli berkerut dan mulutnya terherot sedikit. Farid Asnar tersenyum lalu memeluk tubuh. " Aku orang tua malang, penat lelah cari nama, kayanya baru di waktu senja, ada bini hatinya bukan pada aku. Haha. " Dia kembali baring di kamar yang penuh dengan bantal empuk berkain sutera. Juli mematahkan cerut tadi lalu memasukkannya ke dalam tong sampah. " Kau, sudah ada calon suami? " Persoalan Farid Asnar membuatkannya tersentak.
" Soalan itu agak personal untuk seorang gadis, encik. " Tingkahnya.
" Anggap saja aku ni sebaya seperti kau. Boleh jadi teman bicara tentang hidup, kan? " Luah Farid Asnar dalam memecahkan ruang yang dingin di antara mereka.
" Calon itu belum ada, pakwe tu ada lah, encik. "
" Eh, pakwe tu tak sama dengan calon suami ke? "
" Calon, haruslah dicari yang dapat menjamin masa depan, tapi sekarang, hati ini perlukan belaian. Hehe. " Dia tersipu-sipu malu.
" Ceritakan lah, tentang pakwe kau. "
" Cuma lelaki biasa yang meriki jalan mencari kejayaan dalam hidup, encik, tetapi dia seorang lady man. Manis di mata saya. Manis juga di hati saya. "
" Umur kau tak jauh dari isteriku, sepastinya dia menggemari lelaki yang manis, kan? " Farid Asnar tersenyum sinis.
" Tidak juga, encik. Encik punya keistimewaan sendiri yang menyebabkan isteri encik terpikat. Saya sendiri kagum dengan isteri encik yang sangat berkarisma. " Ujar Juli sambil menghulurkan pil-pil harian yang harus ditelan kepadanya.
" Kenapa kau bergaduh dengan anak tukang kebun minggu lepas? " Juli terkelu lidah sebentar. Segelas air kosong dihulurkan kepada Farid Asnar. " Dia... perempuan murah. " Luahnya, geram. Farid Asnar menaikkan kening kanannya, sedikit. " Kenapa cakap macam tu? "
" Dia, memeluk Azim, semberono. "
" Oh, pemandu aku tu, pakwe kau? " Juli mengangguk sambil menggigit bibir.
" Kau cemburu terlebih mungkin. Azim nampak terlalu baik. " Sinis senyuman Farid Asnar.
" Ini bukan kali pertama dia dipeluk semberono oleh perempuan entah siapa-siapa, waima di kelab malam sekali pun, ada jalang yang kemabukan duduk di pangkuannya lalu mengulit bibirnya, saya yang duduk di sebelah tampak ghaib di matanya. Hurm. " Dadanya sebal.
" Jangan dirundung emosi. Mungkin Azim cuma terlalu melayan. Anak muda. Biasalah. "
Kedengaran pintu dikuak. Susuk tubuh yang amat dikenali Farid Asnar berjalan menuju ke arahnya. Dahinya dikucup lembut. " Sayang, I nak ke Boulevard sekejap. " Farid Asnar hanya mengangguk tanpa seulas senyuman.
" Nak pesan apa-apa, sayang? "
" Habiskan hartaku sepuas-puas yang boleh, ok, sayang? " Mata Farid Asnar mencerun. Isterinya masih tetap dengan senyuman manisnya. Tubuhnya yang montok itu tidak lagi mampu mengecurkan air liurnya. Dia berlalu pergi meninggalkan bilik itu selepas cubaannya untuk bersalaman ditepis.
" Sambung cerita kita tadi, Juli. " Juli mengangguk. Masih setia berdiri di tepi katil.
" Dia, bagi saya, terlampau mesra. Si jalang yang duduk di pangkunya tidak dia tolak, malah dilayan dicium diramas. Kalau tak mengenangkan kami berada di pub, sudah lama saya kerjakan. Hemph. " Mimik mukanya berkeriut mengikut isi cerita. Anak tukang kebun sudah berparut lehernya akibat dicakar keras oleh si Juli. Farid Asnar berganjak dari perbaringan menuju ke jendela, perlahan, sambil terbatuk-batuk. Rasa kelat di tekaknya.
Diperhatinya dari jauh, isterinya yang bertubuh giur itu menarik lengan si pemandu menuju ke dalam rumah, pastinya pergi berjimba mengulit nafsu seperti hari yang lepas-lepas. Dia kembali ke kamar, lalu menyelimuti dirinya. Juli hanya memerhati perilaku Farid Asnar. " Juli, tolong keluarkan pistol di dalam laci bawah almari baju. " Arahnya sambil menahan sebak dadanya.
" Untuk apa, encik? " Dia terpinga tetapi tetap menuruti arahannya.
" Aku nak minta tolong Azim. Tolong sampaikan, boleh? " Ujarnya sambil memerhati sepucuk Beretta 92 di tangan Juli. Tangannya menggenggam kuat selimut tebal. Urat lelakinya timbul berselirat.
" Okay, minta tolong apa? "
" Pistol ni namanya Beretta 92, keluaran Itali tahun 1972, antik dan sudah lama tidak diservis. Aku nak minta tolong Azim bersihkannya, hati-hati, pistol itu masih bernyawa dengan beberapa peluru. " Juli mengangguk patuh, kagum dengan sepucuk pistol yang berada dalam tangannya.
" Sayang betul dengan barang antik, ya, encik. "
" Apa guna barang baru kalau tak berkhidmat untuk tuannya, kan? Pergilah sekarang. Azim mungkin di biliknya seperti biasa. " Senyumannya melebar, matanya memicing, sinis. Dadanya mulai berombak kencang. Juli kurang faham tetapi tetap akur. Dia meninggalkan Farid Asnar menikmati cahaya pagi yang memancar dari jendelanya.
Suasana kembali sepi, matanya terpejam celik menahan kantuk, kesan dari ubat-ubatannya. Pandangan mulai kabur. Kelabu. Putih. Kelabu. Bang! Bang! Dua kali tembakan yang berturut-turut merentap kesunyian rumah agam. Jeritan merencah suasana yang hingar-bingar. Farid Asnar kepingin mahu menyoroti hingar-bingar itu dan menikmati suasananya tetapi badannya terasa lelah, kelopak matanya degil mahu menutup pandangannya dari dunia. Kelabu. Hitam.
4 Responses to Beretta
suka cerita ni :)
dill.
perempuan selalu terlupa kalau sikap dayus lelaki itu boleh membunuh.
ehm, sedap.
yang kalah jadi abu, yang menang jadi abu juga. hah hah!
perempuan. boleh jadi racun boleh jadi senjata. hati-hati sajalah.
Post a Comment