Bicara Dengan Teman Lama

A. Samad Ismail,
Petaling Jaya, 23 Ogos 1996


Di manakah teman-teman lamaku
Yang sealiran dan secita-cita
Yang dahulu rela mengharungi lautan api
Di manakah teman-teman lamaku
Yang dahulu berani menempuh hutan duri
Memburu impian
Tanpa ragu
Tanpa tanya
Menegak tugu agung martabat bangsa
Wahai sahabatku.

Dimanakah pendekar dan hulubalang setia
Yang dahulu mengisi barisan perjuangan
Tanpa ragu
Tanpa bertanya
Merobohkan gagasan musuh durjana
Membantun bumi dan bangsa merdeka
Wahai sahabatku.

Kini petualang menyambar pejuang
Tokoh korap melagak pahlawan handalan
Meminta menjadi teman
Dalam perjalanan kita mencapai Wawasan
Wahai sahabatku.

Perosak alam, pemusnah hutan, pencemar sungai
Penceroboh tanah, pencabul keadilan dan usahawan rakus
Meminta mewarisi pusaka peninggalan kita
Untuk menyalakan obor wawasan
Wahai sahabatku.

Hulubalang dan pendekar baharu
Wahai sahabatku
Pandai mendendang lagu merdu
Penuh pujian dan sanjungan,
Ikrar sumpah setia di bibir manis,
Sorak sorai
Membeberkan kata-kata sakti wira purba,
Tanpa kejujuran
Tanpa kesunguhan
Mengisi Wawasan
Wahai sahabatku.

Kemanakah hilangnya nilai silam
Yang memberi kekuatan kepada perjuangan,
Ke mana hilangnya rukun perpaduan dan persefahaman?
Yang mengikat persahabatan dan persaudaraan
Dalam perjuangan?

Ke mana hilangnya pendirian
Yang menolak muslihat diri
Dan kedudukan peribadi
Demi kepentingan perjuangan
Wahai sahabatku.

Aku sangsi
Wahai sahabatku
Dalam kesenangan dan kemewahan
Kita tenggelam hilang pedoman,
Aku ragu
Wahai sahabatku
Dalam kesibukan mengejar kedudukan,
Dalam kegilaan memburu kebendaan,
Kita terlepas pegangan kerohanian,
Merapuhkan akar tradisi nenek moyang,
Sesat di jalan terang,
Wahai sahabatku.

Adakah kita telah tersasar
Wahai sahabatku?
Adakah cita-cita sudah pudar?
Tidak mungkin berpatah balik ke belakang
Kembali ke hujung pangkal
Mudik semula ke hulu sungai
Wahai sahabatku.

Dunia terus berubah
Memanggil kita berubah sama
Agar tidak ketinggalan zaman
Wahai sahabatku.

Perjalanan masih jauh
Wahai sahabatku,
Dalam perjuangan
Petualang dan pahlawan berganding bahu,
Hanya pahlawan mengenal
Permata dan kaca,
Hanya rakyat
Mengenal pahlawan tulen,
Membongkar kecurangan
Demi menjunjung perjuangan wawasan,
Wahai sahabatku.

Jangan kecewa
Wahai sahabatku,
Bunga keluhuran dan kejujuran
Tetap berkembang di taman perjuangan,
Pusaka budaya generasi silam
Pasti menguasai kerakusan dan kepincangan,
Memurnikan cita-cita Wawasan,
Mengatasi segala rintangan,
Menguatkan jiwa pejuang,
Inilah hukum semula jadi
Sejarah perjuangan menegak keadilan

Dan kebenaran,
Wahai sahabatku
Kau harus tabah
Wahai sahabatku
Sejarah menuntut kau membawa Wawasan,
Bumi ini yang melahirkan kau
Masih suci dan keramat,
Merestui kau membangun bangsa dan negara baru,
Kau adalah putera pilihan
Memenuhi amanah zaman,
Wahai sahabatku.

Dunia kagumi kau
Wahai sahabatku
Pembela manusia teraniaya dan terhina,
Suara kau bergema di seluruh pelosok dunia
Pejuang keadilan dan kemanusiaan,
Menabur budi
Kepada mereka yang sengsara
Mengharapkan pembelaan,
Wahai sahabatku.

Kau lambang dan contoh teladan
Wahai sahabatku
Membangun negara pesat maju,
Membina bangsa padu.

Jangan kecewa
Wahai sahabatku,
Kita bersama kukuhkan barisan,
Perbarui tekad,
Demi membina bangsa gagah dan negara cemerlang.

Selama hayat dikandung badan,
Selama itu obor cita-cita
Kita nyalakan bersama
Menerangi jalan panjang menuju Wawasan,
Wahai sahabatku.

Cita-cita kau dan kita semua
Wahai sahabatku,
Tingginya tujuh petala langit,
Dalamnya tujuh petala bumi
Dunia terbentang begitu luas
Untuk kita berkelana,
Inilah cabaran kita
Wahai sahabatku
Tanpa mengira generasi,
Tanpa mengira keturunan,
Tanpa mengira bangsa.

Kau dan aku harus bahu membahu
Tanpa bosan dan lesu
Tanpa was-was dan ragu,
Merangsang dan mengilham bangsa
Menerima perubahan
Dalam peralihan menuju era gemilang

In by zoul yazix, Saturday 3 September 2011


5 Responses to Bicara Dengan Teman Lama

zoul yazix said...

Salah satu puisi 'orang lama' kegemaran aku. :)

lavender harum wangi said...

tsk tsk tsk

afiqluq said...

minta izin share boleh abang2 kacak kakak2 cute...

zoul yazix said...

share la sajak A Samad Ismail ni. Lagipun orang sekarang ramai yang kenal Pak Samad satu lagi je.

Anonymous said...

Kalau ia dituju, aku terasa tempias.
Kalau lah.