Simbiosis manusia, phoenix, dan bulldog ditengah-tengah sahara.

Sharifah Sally yang sudah berkelana jauh ke negara arab akhirnya sudah menjumpai apa yang dicari-carinya. Burung phoenix yang sering diperhikayatkan didalam mitos orang-orang tua. Burung itu bertenggek diatas pepohon urma ditengah-tengah padang pasir sahara. Ada juga seekor anjing bulldog yang kurus keding dibawah pepohon mengeluarkan tahi dan kencing. Sharifah Sally tertanya-tanya juga kenapa ada bulldog di tempat seperti ini. Tetapi soalan itu cepat-cepat diketepikan kerana anjing itu tidak membawa apa-apa mudarat kepadanya. Cuaca sedang-sedang saja. Walaupun sesekali angin kusam meniup garang dari barat daya. Cermin mata hitam, losyen perlindungan, piring, mayonis, dan gincu merah menjadi teman seorang wanita yang gila isim.

Burung itu diam dengan mata memerhatikan Sharifah. Mengikut mitos yang sharifah dengar-dengar semasa dia di universiti dulu, memakan abu daripada jasad phoenix yang mati boleh menambahkan jangka hayat. Ini membuat beliau takjub dengan pemburuan phoenix dan sesudah 35 tahun mencari, akhirnya dia sudah jumpa mengikut peta yang dibeli daripada seorang penulis kolum surat khabar.

Mengikut perkiraan, phoenix itu akan menjadi abu didalam masa sepuluh jam lagi. Maka dengan itu, Sharifah Sally pun berkelah dibawah pepohon itu dengan rasa tamak haloba menggerhani jiwa. Dia tidak kisah dengan taufan yang garang dan sinar yang sesekali mencucuk-cucuk tubuhnya. Habis badannya legap hitam. Ah, tak mengapa. Asalkan dapat abu phoenix itu, apa-apa yang menghalangnya akan segera dihadap dengan tabah.

Akhirnya, pada jam kesepuluh, burung phoenix itu menjerit kuat, sehinggakan kesunyian malam dipecahkan dan telinga si bulldog dan Sharifah Sally pekak sebentar. Badan burung tersebut dimamah api yang entah datang dari mana, perlahan-lahan menjadikan ia abu hitam kemerah-merahan. Bulldog tadi menyalak-nyalak. Sharifah Sally sangat gembira melihat akan ini. Senyuman lebar melintasi bibirnya yang digincu merah jambu.

Perlahan-lahan, abu phoenix jatuh daripada dahan keatas pasir. Sharifah Sally cepat-cepat mengambil piring untuk menadah. Sesudah cukup semuanya, hati dia pun menjadi girang. Lalu disapukan mayonis pada atas abu tadi untuk jadikan lebih nikmat kepada lidah. Tanpa fikir panjang lagi, Sharifah Sally menyuapkan abu kemerah-merahan campur putih itu kedalam mulutnya menggunakan tangan dengan rakus.

Ngap! Ngap! Ngap!

Habis kesemua, dia pun duduk sambil menunggu keajaiban. Dia bayangkan immortaliti seperti yang didengar dari kisah-kisah Yunani. Tidak lagi kulit berkedut, tidak lagi direndahkan oleh kerabat-kerabat elitis. Berbaloi juga akhirnya setelah bertahun-tahun menggembara mencari jangka hayat yang tidak terekstensikan. Bulldog yang ada disebelah patuh menunggu. Ledih dijelir. Seperti sudah lama menunggu semua ini agar cepat berlaku. Sedang enak Sharifah duduk, tanpa amaran, perutnya terasa sakit yang amat. Ada panas yang menggelegak. Dia mahu menangis dan meraung tetapi desibel suaranya tidak pantas untuk melintasi padang pasir sahara yang maha luas. Kulitnya menggelupas, biji mata tersembul, dan sesekali dia termuntah api!

Sakitnya bukan kepalang sakit. Akhirnya, Sharifah Sally tewas. Dia jatuh tumbang. Badannya terus ditelan api, daging menjadi abu. Sementara tulang rangka badan masih kukuh. Daripada abu tadi, seekor phoenix menjelma semula lengkap dengan sayap dan pelepah. Sesudah manifestasi, burung tadi bertenggek semula diatas dahan sambil matanya kenyit kepada bulldog. Bulldog erti ini lantas menjalankan tugasnya mengambil tulang tengkorak Sharifah Sally yang masih panas lalu dinajiskan sebelum ditanam dibawah pepohon kurma, bersebelahan dengan tengkorak-tengkorak mangsa lepas.

"Ini namanya simbiosis mutualisme yang efektif.", kata phoenix tadi tiba-tiba berbahasa melayu dengan suara lembut seperti perempuan di pertengahan usia kepada Bulldog. Bulldog hanya menggoyang-goyangkan ekornya tanda setuju.

In by jhnrdzi, Wednesday, 21 December 2011