kau

Masa yang agak ke hadapan di satu pekan yang mundur;

Semasa kita mula-mula kenal dulu kau sudah kudung kedua-dua belah tangan. Kau kata akibat kemalangan tapi pemandu-pemandu teksi di situ kata kau tak bayar hutang along. Aku lebih percayakan versi pemandu teksi sebab kau pun setuju kan, kata-kata pemandu teksi lebih jujur intipatinya berbanding kata-kata menteri. Tapi kalau diikutkan, kata-kata sesiapapun lebih konkrit daripada kata-kata menteri. Ah, abaikan. Itu bukan persoalannya di sini.

Berbalik pada kisah kau. Kau mencari nafkah halal melalui satu-satunya kepakaran kau, iaitu membuat pertunjukan lagak ngeri BMX tanpa memegang hendal. Bab ini aku memang kagum sangat, aku yakin dalam masa 3 tahun kau boleh jadi pro.

Malangnya suatu hari basikal kau telah bergesel dengan sebuah lori sarat dengan unta untuk Raya Haji dan kau terpelanting menghentam asfalt. Ambulans datang. Sebelum kau hilang kesedaran, aku nampak kau, dengan pen di mulut, telah menandatangani satu borang.

Betapa terperanjatnya kau sebaik terjaga dan menyedari bahawa kau sudah kembali berlengan. Tangan manusia yang betul, dengan kehangatan, aroma dan setiap otot yang berfungsi sempurna secara default. Kau gembira namun kau inginkan klarifikasi lalu kau bertanya kepada misi.

Rupa-rupanya malam tadi kerajaan dah luluskan satu akta baru - iaitu Akta Bebas Oku - bersempena dengan keberkesanan satu prosedur novelti hasil penyelidikan nano-saraf universiti lokal yang mampu menggantikan setiap anggota badan yang tiada dengan anggota orang yang sudah mati. Ditambah pula dengan kepesatan industri pembedahan rekonstruktif masakini, hasilnya bak kata orang putih, flawless. Tak ada siapa pun akan perasan itu bukan tangan ori kau.

Kosnya? Percuma sahaja. Pilihanraya sudah dekat barangkali.

Lepas tu lama aku tak jumpa kau. Setelah beberapa bulan baru kita bersua kembali tapi malang jasad kau sudah terbujur tidak berlengan dihurung langau dicarik gagak.

Kata teman-teman rapatku kau ingin menikmati kehidupan lalu kau berhutang lagi, jadi rasanya kita sudah boleh meneka kesinambungan kisah itu bukan. Tapi nampaknya ada satu lagi versi. Kisahnya, apabila anggota kau sudah kembali sempurna secara ironinya kehidupan kau menjadi cacat. Kau sudah tak boleh cari makan. Ya, aku juga akui lagak ngeri BMX bagi orang bertangan adalah pemandangan yang amat biasa dewasa ini, lagi-lagi dengan skil kau yang suam-suam saja itu. Jadi kau potong tangan kanan kau dan kemudiannya menawarkan 5 ringgit kepada seorang mat pet untuk mencantas lengan kiri kau. Malangnya sebelum sempat kau mengupah orang untuk menjahit luka itu kau dah kehilangan darah yang terlalu banyak dan kau jatuh terjelepuk tidak bernyawa.

Mungkin patut bertanya kepada pemandu teksi untuk kesahihan tapi sebelum itu aku harus melabuhkan sayap dan menyertai teman-teman menyiat daging kau. Maaf, kelangsungan hidup harus diteruskan kawan.


by ahmad, Friday, 23 December 2011


8 Responses to kau

Päk Läng said...

kau tak nak apply tangan
percuma ke aberun?

dekat2 nak pilihanraya ni
kalau mintak sponser majlis
perkahwinan termasuk seorang
bini pun silap2 dapat ni

kehkeh

mega senja said...

Aku cuba imajinasi bagaimana dia cantas tangan itu...perghh..sadis!

mirachantek said...

aku terbayangkan darah yang membuak-buak.




seperti sos tomato pada burger aku ni.

makwe joni said...

mohon diangkat jadi filem pendek.

bajet? boleh mohon sama menteri

jhnrdzi said...

Aku adalah burung vulture ._.

Unknown said...

mohon menteri-menteri bagi duit lebih kat students,lebih2 lagi dah dekat pilihanraya ni..

ahmad said...

pak lang - gua dah cukup tangan, kalu lebih jadi makhluk mitos pula. nanti diburu mereka yg laparkan afrodisiak

mega - bayangkan potong lengan macam kartun tom and jerry saja hehe

mira - beger aku lagi suka bersoskan cili. tomato untuk fries

makwe - mohon samsul yusop jadi dairekter

johan - hahahha. aku lagi prefer tu juga sebenarnya tapi setakat ni burung tu tak ada lagi kat pekan mundur itu

april - jgnlah mohon untuk students saja :), saya pun sengkek juga

Päk Läng said...

ala...kau cakap ja mcm tu...manusia kan pesen tak pernah puas...hahaha