[SIRI BERSIRI] Malam Pertama (vii)

Siri i | ii | iii | iv | v | vi
Cahaya terang tadi mulai suram perlahan lahan, menampakkan susuk tinggi seorang perempuan berambut panjang dengan baju kurung polkadot putih hitam.
Neelofa! Sudah aku jangka, kekasih imaginasi akan datang kembali padaku. Melutut, menangis dan merayu kemaafan lantaran belot padaku pada malam tersebut. Dan pasti dia akan minta aku kembali padanya. Ah, tak mungkin serendah itu harga diri aku sebagai satu-satunya lelaki kacak di muka bumi ini. Apatah lagi aku sudah penat berfalsafah tadi, tentang erti cinta dan kasih, maka aku perlu segera mencari cinta sejati di alam realiti.
Silap. Telahanku silap. Ini bukan Neelofa! Senyumannya bak Ramlah Ram, tapi bila diamati, dia jauh lebih muda. Aku terkaku. Bidadari dari kayangan mana ini? Cantik yang amat.
“Jadi, kanda lah yang pernah merampas jasad Neelofa ya?”
Aa sudah. Saudara Neelofa kembali menuntut tubuhnya yang terperangkap dengan jiwa ku. Tiba-tiba, lagu Hujan pula yang kedengaran, menggantikan Yuna dengan Terukir di Bintang nya.
Wangi kau lalu..wangi bagaikan bunga..
“Kanda? Apa kanda mendengar ucapan dinda?”
“Engkau ini dari zaman Merong Mahawangsa ke? Tak payah nak berkanda dinda,”
“Ya benar, nama dinda, Embun. Dinda datang dari zaman lalu, lantaran mendapat perkhabaran bahawa Neelofa dalam bahaya. Maka dinda ingin mengucapkan terima kasih, kerana memulangkan tubuh Neelofa dengan selamat pagi tadi.
“Ah, tipu. Kalau betul kau datang dari zaman Merong, tak kan pakai baju polkadot kot?!”
“Ini baju Neelofa. Dinda pinjam, kerna tak mahu disalah anggap oleh penduduk bumi, Sebentar lagi dinda akan pulang ke tempat asal dinda,” Embun menuturkan bait-bait itu penuh sopan, kemudian menjeling manja penuh makna. Langkah gemalainya diatur ke arah pintu bilikku.
Berseri bagaikan bintang.. Ku tak mahu kau kan hilang di waktu siang..
Kenapa tiba-tiba terasa ada yang aneh ya? Pesta fiksyen belum tamat ke? Embun, pandangan matanya menusuk ke jantungku. Perihal Neelofa, sudah tidak ku pedulikan. Aku mengamati setiap inci jisim Embun,. Rambutnya yang ikal mayang, beralaskan selendang panjang, kulitnya yang cerah melepak dan bibirnya yang merekah merah.
Hinggakan..aku hampir terlupa untuk berkelip dan bernafas. Dapat ku rasakan, malam pertamaku bersama kekasih realiti akan tiba tidak lama lagi. Gembiranya, bila cinta datang di depan mata. Bukannya sekadar menghuni dalam ruang fantasi. Embun, kita pasti bersama sayang, aku yakin. Tak sabar nak beritahu mak dan ayah, dan semestinya bekas-bekas awekku yang kini menyandang jawatan-jawatan tinggi dalam persatuan andartu.
“Embun, em, boleh kau terus tinggal di sini..?” soalanku bergema dalam hati.
“Dinda tahu apa yang kanda fikirkan. Jika benar kanda cintakan dinda, datang ke mari,”
Aku melangkah ke arahnya tanpa berfikir panjang. Cahaya putih tiba-tiba kembali memenuhi ruang bilikku dan angin menderu kuat. Tidak disangka-sangka, Embun berubah wajah menjadi seseorang yang pernah ku kenali. Aku masih bermimpikah?
“Ha ha, senangnya engkau tertipu! Apa pun, akhirnya aku berjaya mencari engkau. Dendam ini perlu dibayar!” ucap susuk tubuh yang seketika tadi telah mencuri hatiku, namun kini telah menarik-narik bulu roma ku untuk tegak berdiri. Aku cuba lari, apabila menyedari corak polkadot di bajunya itu sebenarnya adalah butir-butir peluru!