Malam yang Hening


Aku mengira mutiara-mutiara kejora yang bertaburan di langit. Lima puluh dua..lima puluh tiga.. Eh, bukan. Sepatutnya dah enam puluh.

Pening betul.

Lupakan tentang jumlah bintang di langit itu. Aku tak kan pernah mampu menghitung bilangan tepatnya. Terasa ingin ku depakan tangan, menghirup udara malam yang hening dan damai ini. Ala-ala dalam filem dan drama. Tappp. Tanganku terlanggar objek legap lutsinar yang sejuk, dek kerana suhu rendah penghawa dingin. Lupa, aku dalam bas. Bukannya di sebuah padang yang luas, atau tepi laut yang terbentang indah seperti mana ilusi yang tercipta di kotak mindaku.

Ah, sudah pukul berapa ini? Baru pukul lapan empat puluh? Bukannya jauh sangat destinasi yang aku tuju ni, tapi mengapa lambat sangat nak sampai? Aku paling tak suka naik kenderaan yang slow. Pening. Tak thrill. Lambat. Apatah lagi aku ni ada penyakit mabuk kereta/bas sejak kecil lagi. Kalau gerak laju, barulah otak aku tak sempat hantar mesej ‘sila muntah’ ke bahagian tengkak.

Aku memandang sekeliling bas. Atau lebih tepat, aku memandang penumpang-penumpang lain yang setia bersemayam di kerusi masing-masing. Ini bukan rutin aku; memerhatikan tingkah laku manusia. Jarang sekali aku begini. Cuba tanya, apa warna baju roommate ku semalam, atau warna cadar katilnya? Nah, pasti aku tak dapat jawab pertanyaan seringkas itu sebab aku memang tak peka dengan keadaan sekeliling. Tapi, situasi sekarang telah menarik deria peka aku untuk keluar dari sangkar dunia sendiri.

Lampu dalam bas malap, maka ketajaman pandanganku harus diguna semaksimum mungkin. Bermula dengan seat depan. Siang tadi, mereka galak bercerita hingga sampaikan aku di belakang boleh dengar. Dua gadis berselendang lilit leher, baru tamat zaman sekolah kot. Masih belasan tahun. Di belakangnya, seorang lelaki 30-an. Semasa menunggu bas tadi, aku terdengar dia bercakap di telefon. Abangnya baru sahaja meninggal, lemas semasa memancing ikan di sungai semalam. Dia bergegas untuk pulang ke kampung, namun tak sempat melihat jenazah untuk kali terakhir. Sabar bang, sabar. Aku menyuruhnya sabar, tapi dia tak mendengar sebab kata-kata itu hanya terucap dalam hatiku. Kemudian, di seat lain, ada seorang perempuan muda. Cukup bergaya. Rambut perang. Dari tadi asyik menjawab panggilan telefon, sekejap sekejap. Boyfriend mungkin. Sebab suaranya cukup lembut semasa bercakap, dan antara jelas atau tidak. Biasalah tu kan. Di hadapan ku pula, ada sepasang remaja lelaki yang mencurigakan. Ada banyak faktor kenapa aku kata begitu. Sejak petang tadi, mereka asyik menoleh ke belakang. Ada yang pelik ke dengan muka aku? Atau aku tidur ternganga tak sedar? Mereka asyik berbisik-bisik, dah la berkongsi earphone. Otak jahat aku cakap, gay lah nih. Tapi otak baik aku lawan, tak baik tuduh macam tu. Jangan prejudis melampau! Okay, okay, kita beralih ke koordinat seterusnya. Seat tepi aku. Seorang akak yang masih muda belia, bertudung kelabu dan blaus ungu. Akak ini lah tadi yang buat deria bau dan isipadu perut aku menjerit-jerit. Mana taknya, tiba-tiba aja bau KFC semerbak dalam bas. Mana tak terancam kan. Terus aku menyesal tolak sandwich hasil nukilan Nur yang sedap gila tadi. Kononnya tak lapar dalam bas. Padahal dah tahap kebulur ni.

“Pak cik, laju lah sikit!” Tak tahan. Aku dah tak tahan. Hungry man is an angry man. Aku nak cepat sampai, itu aja yang aku tahu.

Speed bas tiba-tiba bertambah. Bintang-bintang yang tadi dapat aku kira satu-persatu, kini seperti biasan cahaya yang bergerak laju. Tapi cahaya itu tidak lama, bila tiba-tiba dunia ku gelap sepenuhnya. Aku tak nampak apa-apa. Lampu bas padam ke? Booommmm! Bunyi apa ni? Badan ku tergolek ke lantai bas. Kepala ku pula terasa sangat sakit, dan kaki ku tak dapat bergerak. Aku terdengar jeritan penumpang-penumpang lain, ada yang menjerit 'arghh', bertakbir, dan ada yang menjerit ‘mak’. Tap, tap, tap. Darah. Darah dari kepala laju mengalir di atas kelopak mata dan pipi ku, hingga akhirnya mata itu tertutup sendirinya.

. . .


“Dik, bangun dik”.

Gelap. Hanya sedikit cahaya yang kelihatan. Aku cuba membuka mataku sedikit demi sedikit. Ternampak bintang-bintang yang setia bertaburan di dada langit. Tanganku terasa sejuk menyentuh rerumput. Ramai yang berkumpul di sekelilingku, termasuklah beberapa anggota beruniform merah dan putih.

“Dik, adik okay? Bertenang dik, kami akan cuba selamatkan adik,”

Selamatkan? Apa yang terjadi? Kepala ku sakit, gagal mengingati apa yang terjadi.

37 mangsa lain termasuk pemandu bas terkorban. Hanya aku seorang yang selamat dalam kemalangan ngeri antara bas ekspres dan lori simen, pada malam yang hening itu. Itulah yang tercatat dalam akhbar keesokannya harinya.

Malam yang hening..sewaktu aku mengira bintang-bintang di langit, memerhati manusia sekeliling dan kemudian menengking pemandu bas.

Malam yang hening, bilamana akulah penyebab kemalangan itu. Akulah pembunuh itu..


“Sila tangkap saya, tuan.” Kedua tanganku dihulur ke depan sewaktu aku nekad melangkah masuk ke balai polis itu.