[SIRI BERSIRI] Malam Pertama (iii)

Siri (i) | Siri (ii)

Dia memandangku, tepat-tepat ke dalam mata. "Kau kena bacakan aku fiksyen dulu sebelum dapatkan aku." Ujarnya, dengan penuh yakin.

"Fiksyen? Kau mahukan fiksyen? Untuk gadis sejelita kau ini, aku takkan membacakan kau fiksyen, tapi aku akan menunjukkan kau apa itu fiksyen! Rasanya itu lebih baik, bukan?" aku menekan kata di hadapannya dengan wajahku yang mengencang. 

"Itu lebih baik dan lebih sempurna. Di mana fiksyen kau?" tanya kekasih imaginasi aku itu yang aku jadikannya seiras dan sepadan Neelofa. Aku menghulurkan tanganku kepadanya, dia menggapai lalu aku membawanya keluar dari ruang labirin yang berliku-liku itu tanpa perlu pun aku bersusah payah berfikir mencari jalan keluar.
"Kau, seperti biasa dengan jalan-jalan di labirin ini. Kalau aku, boleh saja aku tersesat." kata Neelofa memandangku. Aku tersenyum simpul. Tidak pernah aku tersenyum sebegitu punya simpul melainkan aku di sapa oleh gadis-gadis yang cantik sepertinya
"Ini, dunia aku. Aku yang menciptanya. Jadi kau jangan risau. Tidak lama lagi kita akan tiba di gerbang keluar labirin ini."  

Dan seketika dari itu, kelihatan sebuah gerbang yang bercahaya di hadapan aku dan Neelofa. "Lihat itu. Itulah jalan keluar." aku memandang wajah kekasih imaginasiku itu yang tiba-tiba sahaja berpakaian gaun malam berwarna putih. Dan aku, siap dengan tuksedo hitam, kasut berkilat.

"Cahaya apa itu?" Tanya Neelofa berjalan seiringan dengan ku mendekati gerbang labirin yang bercahaya.

"Itu cahaya lampu pesta di taman. Di luar sana ada sebuah pesta. Pesta fiksyen! Di sana aku akan kenalkan kau kepada beberapa watak yang sentiasa berada di kotak fikiran aku selama ini, wahai cintaku." aku bernada lembut ketika menyebut, 'wahai cintaku' itu. Mendengarnya sahaja, sudah membuatkan pipi Neelofa yang merah dengan blusher itu bertambah lagi merahnya. Tiada kata lain yang dapat aku ungkapkan melihatnya tersipu malu sebegitu selain daripada, Peh!

Aku dan dia melangkah melintasi sempadan labirin dan taman pesta fiksyen. Kami berdua mematikan langkah. Menatap ke semua wajah dan perangai orang-orang yang berada di dalam pesta. Kesemuanya sedang sibuk membawa haluan ragam mereka masing-masing. Tiada sesiapa pun yang menyedari kehadiran aku dan Neelofa di situ. Kecuali seorang pemuda yang turut berpakaian tuksedo seperti aku. Bezanya, dia memakai topi. Sedang duduk memerhati aku dari jauh, menghembuskan asap-asap Cuban Cigar-nya. Pandangannya tajam, mencengkam. Aku jadi tak senang berdiri. Neelofa, perasan akan itu. Dia menggenggam lenganku dengan erat. 

"Siapa itu?" tanya Neelofa.
"Itu, itulah Al-Capone. Seorang ketua mafia."
"Kenapa dia memandang kita sebegitu?"
"Hmm...Dulu..aku pernah cuba membunuhnya, sekali di Nagasaki. Tapi percubaan itu gagal." 
"Membunuh?" tanya Neelofa menatapku. Genggaman tangannya dilepaskan dari lenganku. "Apa, kau seorang pembunuh?" Mataku dan mata kekasih imaginasiku itu saling bertentangan. Aku tidak mampu menjawab pertanyaannya itu. Aku bukanlah pembunuh seperti apa yang bermain difikirannya ketika itu. Ianya suatu yang sukar untuk aku jelaskan dengan kata-kata.

"Kita berada di alam fiksyen, sayang." bisikku perlahan ke telinga kanan Neelofa. Aku terhidu haruman strawberi, dan pantas aku ubahkannya menjadi haruman epal. Dan ketika itu, cahaya pesta tiba-tiba sahaja terpadam. 

Bam!
Satu bunyi tembakan kedengaran di ruang taman yang gelap itu. Aneh, tiada tempikan. Cuma sebuah lagu mulai menyusup perlahan ke telingaku. Terukir Di Bintang, nyanyian Yuna. Seiringan dengan cahaya lampu yang menyala satu persatu. Suasana kembali terang. Dan Neelofa tiba-tiba menghilang. Di tanganku, ada sepucuk revolver di mana muncungnya masih berasap. Dan tuksedoku, ada percikan darah yang masih segar. Aku kebingungan. Aku jadi celaru melihat sekeliling ruang taman pesta. Aku cuba menjelmakan Neelofa semula, berkali-kali. Namun tak berhasil. Aku cuba Yana Samsudin, tetap sama tak menjelma.

Lagu Terukir Di Bintang itu semakin lama semakin kuat dan rentaknya semakin laju. Aku merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan taman pesta ini. Aku menoleh ke belakang, memandang Al-Capone yang masih duduk di situ memandangku seperti tadi. 
Aku kena pergi dari sini, masuk semula ke ruang labirin.

Kakiku melangkah terhincut-hincut menuju gerbang masuk labirin. Baru aku sedar, peha kananku cedera terkena tembakan revolver yang masih digenggamanku. Namun, gerbang labirin itu sudah tertutup. Aku cuba membukanya. Sia-sia. Gerbang itu sudah terkunci rapat.
Bahuku direntap dari belakang. Aku tersentak. Aku cepat berpaling. Seorang pemuda berkaca mata hitam, bertubuh pejal dengan wajah yang cukup aku kenali tersengih-sengih di hadapanku sambil dia memeluk erat pinggang Neelofa.

"Hai, saya PK. Selamat datang ke alam fiksyen. Di sini, khayalan kau menjadi realiti. Menjadi hidup. Kadangkala menjadi liar. Tanpa dapat kau kawal lagi. keh keh keh!"

Aku jadi tak tentu arah di situ. Memandang mereka berdua dengan perasaan yang 'grrr..'


7 Responses to [SIRI BERSIRI] Malam Pertama (iii)

Anonymous said...

Pertamax

Anonymous said...

Pandai kau sambung, kehkehkeh.

ahmad said...

aha
neelofa rupanya

Zoul said...

Makin lama makin payah nak disambung ni. kahkahkah.

Dapat dekat Nasyrun entah macam mana ceritanya nanti. ahahaha

Päk Läng said...

tudia...makin 'pehh' jadinya

Redhzuan Indera said...

dia bunuh penulis seterusnya .

Bidadari Syurga said...

perghhh... nanti aku sambung baca balik sekali lagi....

ps: marathon yeak korang? teror gila....