Lagi Reviu Poin Empat Puloh Empat

Poin Empat Puluh Empat dah lama aku habiskan tapi sebab aku ada hutang reviu dengan Luc, aku kena baca semula sesetengah kispen dalam buku ni. Jujurnya tak semua aku dapat hadam mengikut pengertian yang sebenar. Ada yang terlalu deep semacam ditulis oleh homosapien dari masa depan. Nak reviu kasi pedas tapi ikhlas macam Wahyudi Yunus balun Amerika rasanya aku tak cukup power lagi. Nah, hambik ni je lah.



Tentang Khrlhsym
Kebanyakan karyanya bersifat konseptual, abstrak dan padat dengan falsafah hidup yang berkait dengan ketuhanan dan kritik sosial seperti entri-entri di dalam blog penulis, khrlhsymbox. Berat dan tricky tapi masih ada unsur ringan-ringan dan mampu buat pembaca rasa terharu. Kebanyakan karyanya dalam buku ini diakhiri dengan persoalan untuk pembaca tafsirkan sendiri.

Aku perasan gaya penulisan Khrlhysm yang gemarkan perkataan yang berulang, contohnya “..aku melihat di bawah-bawah yang boleh melihat terbawah-bawah”, ‘jatuh-jatuh’ ‘hirup-hirup’, ‘diam diam’, ‘bising bising’, ‘pergerakan tanpa pergerakan’, dan banyak lagi.

Tentang Lucifer
Salah satu signaturnya dalam penulisan adalah penggunaan nama-nama watak dan tempat yang kedengaran rare – semacam nama manusia di era Star Wars atau mungkin juga nama-nama penghuni di Atlantis. Banyak kali juga istilah ‘anatomi berkantung dua’ dan sewaktu dengannya muncul dalam karya Lucifer yang mana Zoul Yazix lebih suka kalau diringkaskan dengan menulis ‘kote’ saja. Hahaha..

Suka bermain dengan metafora dan satira halus tapi tajam dalam kebanyakan isu berkaitan kritikan sosial dan politik yang digarap dalam bentuk penceritaan fiksyen. Tembakan Lucifer tak bunyi pompang-pompang tapi dia guna silencer mungkin.


Berlatar Militari

   Poin Empat Puluh Empat dimulakan dengan Hegomonia oleh Lucifer. Sebuah fiksyen tentang dendam dan anti-hero. Bagi sesiapa yang biasa ikut penulisannya sama ada di Kontrol Histeria atau Kotak Pentipu, kau akan perasan penulis ini suka menghasilkan fiksyen dengan suntikan militari. Mungkin terbiasa dengan pengalamannya dalam kadet seperti yang dikisahkan dalam Lantai Berkasih Sayang yang lebih bersifat personal. Poin Lima Kosong Kaliber juga adalah satu lagi kisah anti-hero dengan trademark penulis yang gemarkan penulisan berperisa kejam, hati kering, tiada belas dan kengerian yang kadangkala buat aku rasa teruja bila diimaginasikan.


Kritik Sosial dan Politik

   Kritikan politik secara am mahupun spesifik disentuh oleh kedua-dua penulis terutamanya dalam Perang Hurufhiyah, Taman Permainan Leviathan, Lelucon Modenisasi, Babi Negara dan Pilihan Raya. Lelucon Modenisasi oleh Lucifer lebih kepada garapan kritik sosial dan politik. Menyentuh isu yang berlegar-legar di sekeliling kita, dari soal prinsip individu hingga ke soal konspirasi dalam politik yang sarat dengan jenaka dan kebodohan. Sangat padu, tembak tepat ke kepala guna .44. Mati-mati.

Babi Negara oleh Khrlhsym pula ditulis dengan elemen hikayat klasik moden. Sebuah metafora tentang pemerintah dan rakyat sebuah negara yang takutkan sesuatu yang dianggap ancaman disebut sebagai ‘babi negara’, lalu berusaha untuk menghapuskannya. Sedangkan ancaman sebenar datang dari manusia itu sendiri. Pilihan Raya menempelak janji-janji parti politik yang penuh dengan tahi bersalut gula, menggunakan taktik kotor untuk terus kekal memerintah.

Potret Famili menyentuh tentang institusi kekeluargaan yang semakin tenat. David adalah mangsa kerakusan nafsu. Jika ini adalah salah satu profil pembunuh bersiri, aku faham kenapa nyawa itu dipandang sangat tidak bernilai bagi sesetengah manusia.



Ketuhanan dan Kritikan Kepada Pentopeng Agama

   Fundamentalisuci dan Katarsis oleh Lucifer adalah headshot kepada pendakwah, penegak dan pemimpin agama akhir zaman yang menyeleweng. Bila yang batil semakin banyak menggunakan perisai agama untuk kepentingan nafsu dan pengaruh, hasilnya ramai yang mahu menjadi Tuhan, menghukum atas undang-undang rujukan kitab ciptaan sendiri, ‘penyucian dosa ‘ menurut tafsiran ‘agama’ yang bertopengkan wajah-wajah ketuhanan.

Khrlhsym juga tampil dengan konsep ketuhanan melalui Mesej Untuk Tuhan. Sama ada kita menghantarnya atau tidak, bagi yang percaya akan kewujudan Tuhan, maka dia pasti mesej itu sampai. Aplikasi Bimasakti aku tafsirkan sebagai fiksyen tentang hubungan di antara manusia dan Penciptanya dengan penggunaan istilah ICT.

Wakil TuhanTiket Sorga, Sorga, Dosa Dua Kali, Haram dan Mencari Jawaban juga menyentuh soal keagamaan dan ketuhanan. Dalam Dosa Dua Kali umpamanya, sindiran lembut tapi berbisa ditujukan kepada mereka-mereka dari kelompok pemikiran seperti Wahab, Ali, Abu dan Ahmad di mana Ah Chong juga berperanan menggerakkan cara fikir mereka yang mewakili sikap kebanyakan masyarakat Malaysia. Disampaikan dalam olahan skrip teater.

Mencari Jawaban membuatkan aku teringat pada filem bajet Darren Aronofsky, Pi. Genius matematik seperti Max (dalam Pi) dan Anton mungkin merasakan hampir semua kejadian dan permasalahan dalam kehidupan mampu diselesaikan melalui pengiraan matematik yang saling berkait dalam aktiviti seharian manusia seperti penggunaan Golden Ratio dalam indeks jual-beli saham umpamanya. Setelah aku tanya Khrlhysm apa yang dimaksudkan oleh orang tua yang ditemui Anton dalam kisah ini, barulah aku faham tentang penggunaan Nombor Fibonacci dalam perkiraan jarak di antara manusia dengan Tuhan. 


Falsafah dan Konseptual

   Dalam fiksyen Zeus Ikan Sardin dan Mesin Basuh dan Serbuk Pencuci oleh Lucifer misalnya terselit falsafah hidup yang digambarkan secara metafora melalui watak-watak seperti Tufael dan Tsar. Aku sikit tercuit bila membaca Nama Guwa . Abiliti Fidel sebagai transduser itu mungkin lebih menghiburkan dari perut yang kelaparan. Lalu dia memilih untuk terus ditumbuk dan diterajang setiap kali menawarkan khidmatnya. Tafsiran aku, perasaan gembira itu kadangkala mengubat kesempitan hidup.

Khrlhsym yang gemarkan genre penulisan sebegini membawa paling banyak kispen berbentuk konseptual dan falsafah kehidupan dalam Halimunan, Penunggu, Kosong, Mustahil, Sepuluh Pintu, Penulis, Kalah dan Rumah Kecil.

Tafsiran aku melalui kisah Penulis - kalau lidah itu lebih tajam dari mata pedang bagi orang yang berbicara, maka penulisan itu adalah lidah bagi seorang penulis. Penulisan ‘telanjang’ itu aku kira sesuatu yang jujur, tanpa berselindung. Penulisan yang ‘cantik’ mampu memberikan inspirasi kepada dunia tapi tak kurang juga munculnya penulis yang berkarya dengan niat membunuh jiwa-jiwa yang menjadi sasarannya. Jadi, kau dari kelompok mana?

Metafora di sebalik kisah Rumah Kecil bagi aku sangat sinonim dalam banyak hal tentang kehidupan. Seperti Pak Man aku juga idamkan keharmonian rumah kecil. Contohnya bila bekerja dalam sesuatu syarikat kecil, hubungan sesama komrad sangat rapat, saling bekerja keras dan gembira. Semakin maju, syarikat semakin besar. Ketika itu masing-masing pentingkan diri dan mula tikam belakang kerana ketamakan nikmat dunia.


Personal dan Emosi

Bintang Pagi dari Lucifer misalnya lebih bersifat personal. Penulis mengambil peluang untuk mengisahkan perihal sebenar istilah ‘Lucifer’ (juga nama pena penulis) atau bintang pagi yang disebut-sebut sebagai ketua syaitan. Talian Yang Tak Tersahut berkisah tentang gelodak emosi yang biasa terbit dari mana-mana hubungan peribadi sesiapa saja dan terasa sangat menarik bila dilakarkan dalam penulisan yang difabrikasi oleh unsur-unsur surrealisme.

Baju Kusam, Hitam Putih, Tanpa Pergerakan, Halusinasi dan Secawan Kopi Bersama Gudang Garam bagi aku, terasa sangat dekat dengan diri Khrlhsym. Baju Kusam dan Halusinasi agak menggigit jiwa kerana mampu membuat pembaca 'tacing' selepas dihidangkan dengan sajian berat. Cinta bagi sesetengah orang diibarat seperti menukar baju. Tapi bagi yang benar-benar menghargai nilai cinta adakalanya memento dari episod cinta yang telah berakhir tetap diulangtayang sehingga tiba suatu hari kita memilih untuk bergerak ke hadapan dengan membuka suatu episod baru. Halusinasi sepertimana kisah Baju Kusam, aku dapat feel kemurungan Iz yang menafikan kematian kekasihnya.


Fiksyen Popkorn

Di celah-celah karya yang mengerah akal untuk mentafsirkan maknanya, masih ada karya popkorn (ringan-ringan) yang sedap dinikmati. Halo Interaktikal yang aku agak berkisah tentang eksplorasi meth tripping atau mungkin juga Bento benar-benar melalui pengembaraan ‘mesin masa’. Distopia pula adalah sebuah kisah anti-utopia di mana pihak autoriti memerintahkan agar semua buku dibakar. Bayangkan dunia tanpa bahan bacaan bercetak.

Jangan harap ‘happy ending’ dalam karya Lucifer seperti dalam Kisah Seekor Mamalia Genit Yang Walang. Dan Okta sememangnya walang hingga ke akhir hayat. Keh.. keh.. Khrlhsym membawa kisah pecahan personaliti melalui Gila Bayang. Penyakit yang menjadi-jadi dan biasanya susah untuk ditentukan sama ada lakonan untuk menutup jenayah atau ia betul-betul penyakit mental bila berlaku sesuatu kes homosid. Tapi aku percaya Juhari, dia memang sakit.

Tahniah kalau kau berjaya baca reviu sampai di sini. Aku dengar-dengar buku ni dah pun sold-out tapi kalau ada permintaan mungkin Kerat Studio boleh ulangcetak.