[Kispen] Gabrielle dan Theodore.

"Bergembira sahajalah nampaknya aku ini. Daripada terus-menerus berharap dan jatuh kecewa dalam pengharapan penantian aku." Gabrielle menongkat dagu sambil duduk mencangkung di hadapan cermin tinggi. Mukanya ceria. "Iya, aku rasa aku patut. Dengan cara itu, hidup aku akan lebih berwarna-warni dengan keceriaan!" Dia menggoyang-goyangkan jari telunjuknya. Seakan-akan budak yang baru belajar bagaimana mahu menunjuk guna telunjuk.

"Gab, kamu cakap dengan siapa tu?" Seorang lelaki masuk ke dalam bilik itu.

"Ah, bapak rupanya. Tak ada apalah. Gab saja cuba-cuba guna cermin ni. Bagus jugak ada cermin setinggi ni dalam bilik. Atas sampai bawah nampak jelas refleksinya." Gabrielle lantas bangun. Dia duduk di birai katil.

"Kenapa kamu ni? Nampak macam ada masalah saja?" Theodore duduk di kerusi meja bacaan Gabrielle.

"Hmm. Nampak jelas sangatkah saya ni bermasalah? Heheh." Gabrielle garu kepala. Dia tersipu-sipu. Bukan malu kerana punyai masalah, tetapi malu kerana masalahnya perlu dibincangkan dengan bapaknya.

"Tak adalah sangat. Tapi kalau dah makan pun tak habis macam selalu, tengok televisyen pun macam ziarah kematian, takkanlah tak ada sesuatu yang tak kena dengan kamu ni. Lagipun, kamu tu dah hidup 18 tahun dengan bapak. Setiap perubahan kamu tu bapak nampak, Gab." Theodore menjawab sambil mengusik-usik pen, kertas, buku, apasaja di meja belajar itu. "Kamu.. sudah jatuh cintakah?" Terus tepat memandang mata Gabrielle.

"Erk? Sampai begitu sekali konklusi bapak? Kenapa tak cakap saya ada masalah dalam pelajaran ke, masalah memandu ke.. masalah penglihatan ke..? Masalah cinta pulak yang bapak konklusikan?" Gabrielle tersengih-sengih.

"Tengok ni." Theodore lempar bukulakaran pada Gabrielle. Gabrielle terus sambut. "Siapa tu gadis tu? Bolehtahan lawa dia tu. Bapak nak kenal boleh tak? Kurang, kurang, bapak boleh pasang lagi satu. Heheh." Theodore sengih kambing.

Gabrielle omel perlahan-lahan tanpa bunyi yang jelas kedengaran. Dia buka satu-satu mukasurat bukulakarannya sambil tersenyum-senyum. "Iya, dia gadis idaman saya."

"Idaman sahajakah? Bila nak gerakkan tulang empat kerat tu, romeo?" Theodore bangun. Dia mahu pulang ke biliknya. Tiba-tiba sahaja rindu nak melihat wajah isteri tercinta. Tiba-tiba sahaja rindu nak membelai setiap inci tubuh isterinya.

"Hm. Sudah, bapak. Kata gadis ni, dia belum bersedia. Ada pelbagai lagi perkara yang dia perlu selesaikan sebelum mula bercinta." Gabrielle tutup bukulakaran. Dia juga bangun, lantas letakkan kembali buku itu di atas meja.

"Siapa namanya?"

"Natalie."

"Cantik nama tu. Tak apa, walaupun dia kata begitu, kamu janganlah berhenti memikat hatinya. Mungkin suatu hari nanti dia akan jatuh hati pada kamu seperti kamu jatuh hati padanya? Siapa tahu bukan? Yang penting, jangan putus asa. Kalau kamu penat, rehat sebentar. Duduk dahulu, uruskan kehidupan kamu yang lain. Akan tetapi, jangan pula kamu putus hubungan dengannya. Nanti melepas pula. Jangan sampai dia sangka kamu tidak serius dalam mengejarnya. Parah kamu nanti. Faham tak, Gab?" Sambil berbicara, sambil Theodore berjalan perlahan ke arah pintu. Matanya juga melilau-lilau ke seluruh inci bilik anak lelakinya itu. "Bilik kamu ni.. bagai ada mistletoe. Heheh." Sambung Theodore lagi.

"Mistletoe? Apa tu?" Gabrielle garu kepalanya lagi.

"Google-lah. Baiklah Gab. Bapak nak kembali ke bilik. Rindu pula pada mama kamu tu. Selamat malam. Tahniah kerana telah jatuh cinta. Semoga bertuah juga beroleh hati Natapadia tatau tu." Theodore senyum mesra.

"Natalie-lah bapak." Gabrielle juga balas senyum dengan senyum.

"Haa, ya. Apa-apalah. Malam." Theodore tutup pintu bilik.

"Malam... Nate." Bisik Gabrielle perlahan sambil tersenyum memandang lakaran wajah gadis yang dicintainya.