Review: Sebuah Antologi Lama- 'Hadiah'

Salam sejahtera kepada semua pembaca!

Cuba teka siapa yang tulis secara skema ni? Komuniti ZSM yang sejati mesti tahu punya. Baiklah, kali ni aku mahu berkongsi sedikit tentang sebuah buku yang bertajuk Hadiah, Antologi Cerpen Pilihan 1966-1970. Ini kulit depan buku tersebut. 

HADIAH


Nampak using dan buruk kan buku ni? Sebab buku ni sebenarnya diambil dari kampung sebelah ayah, masa tu aku pun masih kecil lagi, darjah 5 rasanya. Sebenarnya buku ni kepunyaan Perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan Raub. Ya, buku perpustakaan yang tak dipulangkan. Hehe. Dulu aku suka sangat membaca. Jumpa buku apa-apa mesti aku tak pergi mana-mana dah. Disebabkan buku ni tebal (328 muka surat semuanya), jadi aku pun curi la bawa balik rumah.

Dalam buku ni, ada 32 cerpen yang ditulis oleh 17 orang penulis kesemuanya. Apa yang menarik tentang buku ni ialah setiap cerpen ada tema dan pengajaran masing-masing. Cerita yang aku suka ialah Ruh Berdialog- Azizi Haji Abdullah, Matinya Si Ibu Ayam-Khadijah Hashim, Tamunya Seorang Menteri-S.Othman Kelantan dan Mimpi Seorang Anak-Zaid Ahmad.

Aku nak cerita tentang cerpen Ruh Berdialog nukilan Azizi Haji Abdullah. Bagi aku, cerpen ni sangat membuatkan aku terfikir tentang kehidupan setelah mati. Banyak kali aku dah ulang baca. Mula-mula baca, memang aku tak faham apa yang penulis nak sampaikan, maklumlah masa aku baca tu pun aku baru umur 11 tahun kan. 

Sinopsis

Cerpen ni mengisahkan tentang perjalanan dua orang insan yang bernama Zuhud dan Prasaut. Konflik yang ingin diutarakan dalam cerita ini ialah tentang bawaan agama masing-masing ketika di dunia. Kedua-duanya telah dibangkitkan semula dan sedang dalam keadaan menanti pertimbangan yang adil dari Penguasa (Tuhan). Zuhud beragama Islam, tetapi dia mengamalkan Islam itu dengan sambil lewa. Prasaut pula beragama Buddha yang sangat taat pada perintah agamanya. Dalam cerita ni, mereka bertengkar tentang kelebihan agama masing-masing. Siapa yang akan ke syurga, dan ke neraka.

Prasaut seringkali menguji tahap pemahaman agama Zuhud. Ditanya tentang puasa, mengucap dua kalimah syahadah, tentang tuhan zuhud, akan tetapi Zuhud tidak dapat menjawab dengan yakin dan maka itu Prasaut sering menyindirnya. Sehinggalah satu loceng besar berbunyi dan Zuhud dibawa ke suatu tempat dan dihisab amalannya. Ternyata Zuhud terpaksa menerima balasan. Kemudian dipanggil pula  Prasaut, malangnya setelah itu, dia dengan penuh sesal menyatakan betapa ruginya dia tidak mengaku bahawa  Muhammad itu adalah pesuruh tuhan. Mereka berdua kemudiannya dibawa ke luncuran yang membawa mereka ke tempat penerimaan balasan.

Apa yang boleh aku katakan, cerita ini buat aku berfikir adakah aku sebagai umat Islam yang betul-betul menengakkan agama? Seperti agama lain, mereka juga punyai kepercayaan. Mereka percaya tuhan mereka. Adakah kepercayaan aku kepada Allah itu teguh, dan adakah lebih teguh daripada penganut lain. Selain itu, cerpen ni menunjukkan perjalanan kita dalam kehidupan ini takkan pernah berhenti. Sentiasa ada sambungannya. Akan ada sahaja ujiannya. Jadi, bolehlah disimpulkan yang cerpen ini mengingatkan tentang amalan di dunia yang akan menjadi pelindung dan bekalan di hidup yang akan datang. Kegentaran dan rasa ingin tahu sering berlegar-legar dalam roh yang dihidupkan semula itu. Banyak unsur saspens ditonjolkan buat aku tertanya-tanya dan terfikir bagaimana keadaan sebenar hari perhitungan nanti.

Kalau bintang, aku kasi 5. Keh3.