protagonis
Faridz ialah protagonis ulung dalam trilogi novel sains fiksi best-seller yang telah memecahkan rekod iaitu 'Pseudo-Asteroid'.
Dalam satu temuramah, seorang wartawan telah bertanya,
'Fenomena Pseudo-Asteroid bukan sahaja telah melanda geeks, tapi juga hipster, malah golongan pemikir pun tidak terkecuali teruja dengan sisi filosofiknya.
Apakah perasaan Faridz menjadi watak utama dalam fiksi magnum opus se-grandeur ini ?'
Jawab Faridz,
'Kau ingat macam mana?
Novel ini hanyalah satu jeluak metafor.
Cuba kau bayangkan; hidup kau ini, hidup yang kau telah curahkan segenap kudrat, emosi, perasaan, darah, air mata, sperma, segala jerih segala payah kau, rupa-rupanya hanyalah satu embodimen bagi suatu makhluk atau kejadian lain yang langsung tiada kena mengena dengan kau, malah kau pun tidak sedar ianya wujud.
Rasa-rasanya apa perasaan kau?'
Dan Faridz pun beredar dari temuramah itu.
Sebab itulah dalam prolog edisi penutup 'Pseudo-Asteroid', tanpa persetujuan pengarang, Faridz telah membunuh dirinya dengan terjun dari kapal angkasa yang berada di dalam kelajuan warp.
Sepak-sisinya Toya (watak paling tidak digemari pembaca. Watak jenaka yang diwujudkan semata untuk menjelmakan sisi tidak kelakar pengarangnya kepada dunia) terpaksa diangkat menjadi protagonis utama.
Edisi penutup trilogi Pseudo-Asteroid dihentam teruk pengkritik juga peminat dan hanya layak menjadi penyendal meja yang senget.
Post a Comment