Sepurnama di Melaka.
Jadilah melayu yang berpegang teguh pada pendirianmu
Aku tak ingat, siapa yang mula-mula memesankan kepadaku begini. Bagiku, ayat itu cukup filasafi. Dalam maksudnya, dan tinggi maknanya. Ayat itu semacam memberi satu perasaan yang mengigilkan. Tapi siapa yang sebenarnya memesan?
Aku toleh ke kiri, terpandang Drama-drama pilihan Usman Awang. Pernah baca drama "Matinya seorang pahlawan" ? Tentang Jebat dan pengkhianatannya.
Makam Hang Jebat. |
Jadilah melayu yang berpegang teguh pada pendirianmu.
Sebenarnya, ia adalah simbolik yang cukup mudah bak kata A.Samad Said.. Hang Tuah melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada seorang pemimpin dan Hang Jebat pula, dia mewakili satu kepercayaan ketelusan. Dia percaya kepada keadilan bagi semua pihak. Kejadian Sultan menghukum mati Tuah tanpa usul periksa menyebabkan dia naik berang. Itulah sebabnya dia berani menjulang keris menentang Sultan. Adalah dipercayai, Jebatlah yang pertama berani menderhaka. Katanya,
Pahlawan yang sebenarnya pahlawan
berpayungkan dibawah kebenaran;
meski dimana,
kerana kebenaran itu sendiri,
adalah pahlawan suci,
dan duduknya ia adalah yang paling atas,
dimana raja dan rakyat tidak terlintas.
Kisah mereka menjadi satu dilema bagi politikus melayu pada masa kini. Samada perlukah mereka memberi kesetiaan kepada satu kerajaan yang menyeleweng? Maksudku disini, tengoklah kerajaan sekarang. Rasuah sana-sini, penipuan, propaganda-propaganda yang melemahkan rakyat. Percaya atau tidak, kerajaan kita memang penipu besar. Tetapi aku pun bukanlah penyokong pembangkang. Cuma disini, ingin juga aku luahkan kata hati. Aku bukannya mendukung fahaman Anarkisme ataupun anti-establishment untuk berkata begini. Ia amat jelas sekali. Para cendekiawan konservatis berkata, yang salah sebenarnya adalah Jebat. Kerana menjunjung pelaksanaan Duli Yang maha Mulia adalah sifat terpuji, sementara itu mengkhianatinya adalah satu dosa.
Jadilah melayu yang berpegang teguh pada pendirianmu.
Ayat itu terngiang-ngiang lagi. Aku cuba mengingat, mungkinkah cikguku Encik Roslan yang pernah beritahuku suatu ketika dulu. Dia memang arif hal-hal dunia Melayu ini. Sebut sahaja Kitab Melayu mana, semuanya sudah habis khatam. Dia penggemar dunia pendekar dan hulubalang.
Jadilah melayu yang berpegang teguh pada pendirianmu.
Malam itu aku tidak dapat tidur. Atau?
Aku semacam pernah bermimpi.
Ya, jumpa dengan pakcik tua itu. Berkumis tebal. Tubuhnya dilit sehelai kain hitam. Yalah, dia pernah cakap sesuatu. Disebalik asap kemenyan tebal itu, dibelakang wajah tuanya itu ada semacam kekuasaan menggerunkan. Matanya seperti Burung Hantu. Menusuk.
Ya, aku masih ingat. Didalam satu Rumah api berhampiran pulau.
Apa aku buat disana?
Saat itu, matahari mula terbenam. Unggas-unggas berterbangan. Laut bergelora. Tapi tiada bayu. Aneh. Dan lelaki tua itu, dia bertapa tenang. Badan kurus kering itu seperti mayat. Tapi matanya tidak, matanya bernyawa. Suaranya bergema. Gayanya seperti seseorang yang sudah lama menghirup nafas dibumi.
Kelihatan mati tetapi sebenarnya hidup.
Pesan orang tua itu,
Jadilah melayu yang berpegang teguh pada pendirianmu.
Malam itu aku tak dapat tidur. Pesanan itu benar-benar menghantui.
Post a Comment