Penumpang Pesawat.

Nama aku Hasyim. yang kat sebelah aku nih, Mia. Belakang aku, aku tak kenal. Yang depan tu aku tak tahu siapa. Mia nih aku baru jumpa. Baru je kejap tadi, dan aku percaya, nanti dia akan hilang juga, tanpa dapat dikesan. Sama macam Rashid, Boy, Deen, Azma, Haris.

Sejak hari pertama aku kat sini, ramai yang aku jumpa. Semuanya sekejap aje. Pastu hilang. Memang sesak kat sini. Beribu-ribu lemon banyaknya. Sebab tu aku takkan jumpa lagi diorang kot. Walau ke ceruk mana aku pergi.

Hari-hari kena bergerak. Kejap ke utara. Kejap selatan. Belok kiri, belok kanan. Pusing-pusing, tempat sama juga. Bosan aku. Tapi haritu Razak ada bagitahu aku, nanti kami akan naik flight. Whoa ! Nak ke mana? Aku tanya Razak. Razak kata Venezuela. Kahkahkah. Dia ketawa. Sumpah aku kabur.

Kalaulah aku boleh jumpa Razak lagi. Aku tengah buntu nih. Mana sebenarnya hala tuju aku entah. Mana boleh macam ni. aku kene tahu hala tuju aku. Baru boleh berjaya. Razak, mana kau ni. Puas aku cari. Ada siapa siapa boleh tolong aku?

Pesawat akan berlepas beberapa minit sahaja lagi. Sila siapkan diri anda. Di daerah baru ini, siapa rajin, dia akan berjaya. Kalau tidak, anda akan mati sia-sia di sini.

Amboi, keras betul amaran petugas pesawat nih. Takkan sampai mati kot kat Venezuela tuh. Gila! Err, takpe lah, aku tak nak naik pesawat nih. Aku nak...

Anda telah sampai ke Venezuela. Sila menghala ke Orstacum. Siapa cepat, dia akan mendapat tempat istimewa. ingat, anda di sini adalah pelarian. Jika tidak mendapat tempat, anda akan dibunuh dalam masa 48 jam. Selamat berjaya.

Oh, tidak ! keadaan jadi huru hara. Semua sudah mula bergerak laju. Owh, itu dia Deen, Azma. DEEEENN, AZMAAA!!!! Aku jerit bagai nak gila panggil. Tapi tak bersahut. Masing-masing mengejar untuk mendapat tempat istimewa.

Aku nampak Razak. Aku kejar dia. Aku perlu tahu sesuatu dari Razak. Kenapa kami dibawa ke Venezuela? Kenapa harus merebut tempat di Orstacum? Kenapa kami dibawa ke sini untuk di bunuh pula? Dunia ini kejam ! zalim !

Kalau kau nak hidup, ini yang harus kau tempuh. Hidup ni penuh dengan ujian, cabaran. Ini yang pertama. Kalau kau berjaya, banyak lagi kau kena hadapi. Kau kena rajin. Pandai guna tipu helah. Pandai rebut peluang. Macam-macam lagi. Kau harus pantas belajar, Syim !

Razak dah jauh tinggalkan aku. Aku dah tak larat. Biarlah. Dari awal aku dah sesat, tak tahu hala tuju. Biar aku mati. Tapi, aku  tetap ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi. Biar aku lambat sampai. Aku cuma mahu tahu apa sebenar permainannya. Biar aku tak mati sia-sia, sekurang-kurangnya aku tahu cerita.

Saat aku sampai, mereka sedang cuba menembusi tembok Orstacum. Aku lihat macam-macam cara digunakan. Mereka guna senjata yang mereka bawa. Macam-macam. Aku duduk tepi sahaja.

Beberapa jam berlalu. Dan salah satu dari kami berjaya masuk ke Orstacum. Tembok Orstacum makin kuat. Bagai ada satu kuasa magis yang dihantar untuk dibuat pertahanan.Yang lain mengeluh. Ada yang menangis. Ada yang mengaruk, mengamuk. Semua wajah hampa. Aku cuba dapatkan kepastian. Aku menyapa satu dari mereka.

Apa seterusnya?

Dia yang dapat masuk ke Orstacum akan membesar menjadi janin. Kemudian akan dipindahkan ke dunia lain, menjadi bayi. Dibesarkan lagi menjadi manusia. Bertempur dan terus menjadi pahlawan, untuk hidup di dunia. Dan kemudian mati, bertemu Tuhan. Dan kemudian dipersoal tentang kehidupannya. Amal baiknya. Jahat tingkahnya. Dan masuklah ke syurga atau neraka, atas kemahuan Tuhannya.

Dan kita? 

Kita hanya sperma yang gagal. Sekadar mati, di sini sahaja.



Nukilan Yana Mat Shah,
Untuk Sains Fiksi