Kipas Fiksi atau nama comelnya FanFic

Fan Fiction atau nama bahasa ibundanya, kipas fiksi ialah sejenis karya bila mana penulis mencedok karakter-karakter atau kisah atau kedua-duanya sekali seperti mencedok dari novel, rancangan tv, filem, artis-artis dikenali ramai dan yang seangkatan dengannya menjadi sebuah fiksyen baru.
Contohnya: Harry Potter kini sudah bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat selepas dipecat menjadi auror berikutan kedegilannya untuk melawan Voldermort. Dia berazam mahu memegang semula kayu magis dan beraksi semula menyelamatkan dunia ketika jaman dia muda-muda dulu.

Karya kipas fiksi juga boleh dilakukan secara cross-over di mana penggabungan watak-watak dalam sesebuah karya adalah daripada kisah-kisah berbeza.
Contohnya: Superman akhirnya tiba di bumi Jepun sebagai pelarian setelah kriptonit ditanam di dalam badannya oleh pihak musuh, di sana dia bertemu dengan salah seorang ahli pelindung bumi Jepun daripada raksasa dan dia diserap masuk ke dalam pasukan walaupun dia sudah menjadi orang biasa. Ketika Jepun diserang raksasa seperti klise-nya, rakan seperjuangannya itu tiba-tiba menghilangkan diri lalu Ultraman muncul di hadapan raksasa itu. Dia kagum dan merindui zaman kegemilangannya. Dia akhirnya pergi bercuti dan membuat janji temu dengan Dr. Gregory House dengan harapan beliau dapat merawat penyakit kriptonitnya.

Karya kipas fiksi ini sebenarnya berkronologikan daripada peminat-peminat sesebuah filem, artis, rancangan tv mahupun novel atau pun yang seangkatan dengannya dan tidak perlu digarap secara skema mengikut fakta kisah asal dengan gaya bebas sama ada hendak digarap secara seksual, aksi, thriller, fantasi, pulp fiksi, skema dan lain-lain. Karya sebegini banyak mencetus sisi yang tidak klise dan unik daripada karya asal yang dicedok dan keinzalan yang ekstra sekiranya karya tersebut adalah sesuatu yang kita sendiri minat atau kenal perwatakannya.

Boleh jadi protagonis itu antogonis dalam karya fiksi, boleh jadi juga ada pembelitan putar alam mengikut daya kreativiti penulisnya dengan mengubah jalan cerita asal, menambah watak baru, mengubah bahagian penamat, menambah sub-plot, menterbalikkan jalan cerita dan yang seangkatan dengannya mengikut selera penulis. Karya yang baik adalah karya menginzalkan pembaca. Maka, selamat berinzal. Bukan, maksud aku, selamat menikmati dengan mata terbulat sedikit dan rahang jatuh sedikit sambil menikmati popkorn.

Yang mentaip dengan nada skema secara tak sengaja,
Люцифер

In by Anonymous, Saturday, 23 July 2011