Fiksyen sains sebagai aliran sastera

Fiksyen sains berbeza dari arus perdana sastera kerana ia menceduk segala metafora ceritanya dari bidang sains dan teknologi, namun perbezaan ini sahaja tidak cukup jelas untuk mendirikannya sebagai suatu genre yang tersendiri.Sebagaimana yang telah dibicarakan sebelum ini, kepelbagaian ragam tema dan spektrum genre yang beraneka menyebabkan fiksyen sains sukar diterjemahkan selaku suatu genre mutlak dalam dunia sastera moden, malah definisi fiksyen sains itu sendiri sering mengundang perdebatan di antara para pelopor dan pengkajinya. Kekeliruan ini seringkali berlaku akibat pertindihan fiksyen sains dengan aliran fantasi. Buktinya, novel ‘Harry Potter And The Goblet Of Fire’ karangan JK Rowlings telah memenangi Anugerah Hugo selaku novel fiksyen sains terbaik tahun 2001, sedangkan ia dikenali umum sebagai suatu karya fantasi kerana penggunaan unsur magis yang begitu ketara selaku jentera penceritaannya.

Kecelaruan ini tambah meruncing akibat perbezaan persepsi yang wujud di kelompok pembaca, kerana latarbelakang setiap individu akan mewarnai kefahaman dan persepsinya terhadap fiksyen sains. Cerita yang dianggap sebagai fiksyen sains oleh seorang peguam, misalnya, barangkali tidak akan dianggap sedemikian oleh seorang jurutera. Fenomena ini dipentaskan dengan jelas dalam gelanggang pencalonan karya untuk Anugerah Hugo dan Anugerah Nebula, yang menjadi tanda mercu kecemerlangan dalam pengkaryaan buat dunia fiksyen sains. Para pendukung Hugo dan Nebula seringkali mengemukakan novel-novel fantasi selaku calon buat anuerah-anugerah berprestij tersebut. Kecenderungan sebahagian daripada para karyawan fiksyen sains untuk menghasilkan novel fantasi turut menambahkan lagi kekeliruan yang wujud.

Ada pihak yang berpendapat bahawa fiksyen sains, fantasi dan ‘horror’ patut diklasifikasikan sebagai juzuk himpunan ‘Sastera Luarbiasa’ (Literature of The Fantastic’). Ada juga pendirian yang mengatakan bahawa fiksyen sains sepatutnya di kategorikan sebagai subgenre kepada ‘Fiksyen Spekulatif’, yang turut merangkumi aliran fantasi, sejarah alternatif (Alternate History), realisma magis (Magic Realisme) dan utopia/distopia, juga aliran gaya unik dan ganjil. 

Polemik mengenai pengkelasan fiksyen sains selaku suatu genre sastera juga telah mencetuskan tiga aliran pendapat yang berbeza, iaitu ‘Continuity Proposition’ (Gagasan Kesinambungan), ‘Differential Proposition’ (Gagasan Pembezaan) dan ‘Proposition For Harmonization’ (Gagasan Harmonisasi). ‘Continuity Proposition’ berpendapat bahawa fiksyen sains adalah juzuk himpunan atau subgenre kepada aliran fantasi, berbeza dengan pendirian ‘Differential Proposition’ yang menganggap fiksyen sains dan fantasi sebagai dua genre sastera yang berbeza. ‘Proposition For Harmonization’ pula berpendapat bahawa tidak ada perbezaan di antara fiksyen sains dan fantasi.

‘Continuity Proposition’ menganggap fiksyen sains sebagai suatu bentuk fantasi. ‘ A Handbook to Literature ‘mendefinisikan fiksyen sains sebagai : "A form of fantasy in which scientific facts, assumptions, or hypotheses form the basis, by logical extrapolation, of adventures in the future, on other planets, in other dimensions in time, or under new variants of scientific law" (Holman).

Buku yang sama turut mendefinisikan fantasi sebagai "a work which takes place in a nonexistent and unreal world, such as fairyland, or concerns incredible and unreal characters or employs physical and scientific principles not yet discovered or contrary to present experience as in science fiction and utopian fiction" (Holman).

Pandangan ini disokong oleh Brian Aldiss , yang berpendapat bahawa 
"[i]n its wider sense, fantasy clearly embraces all science fiction. But fantasy in a narrower sense, as opposed to science fiction, generally implies a fiction leaning more towards myth or the mythopoetic than towards an assumed realism" (Trillion Year Spree .)

Definisi yang sedemikian dengan sendirinya menjadikan fiksyen sains sebagai salah satu aliran cabang atau subgenre dari genre fantasi yang lebih besar.

‘Differential Proposition’ pula berpendapat bahawa fiksyen sains dan fantasi adalah dua genre yang berbeza. Fiksyen sains dianggap sebagai kelompok naratif yang menjadikan andaian (extrapolation) terhadap konsep masa depan sains dan teknologi sebagai dasar cerita, yang mana andaian berkenaan dibuat menerusi loncatan kemajuan sains dan budaya yang digarap secara lojik.
Agihan pandangan ini turut berpendapat bahawa fiksyen sains konvensional mesti mematuhi fakta sains yang telah terbukti kebenarannya.

Fantasi pula didefinisikan sebagai kemerdekaan dari realiti yang berlaku secara sedar dan merujuk kepada karya yang ditempatkan di dunia khayalan, sebuah dunia imaginasi yang tidak mungkin wujud dalam dunia nyata.

Sebagaimana yang disebutkan terdahulu, adalah menjadi satu kebiasaan (convention) bagi para pengarang fiksyen sains untuk mematuhi fakta sains yang terbukti kebenarannya apabila berkarya (contohnya tahap didih air pada paras permukaan laut di Bumi) tetapi bebas untuk berbuat apa sahaja yang mereka mahu dengan fakta sains yang masih diperingkat teori.

Pengarang karya fantasi tidak merasakan dirinya terikat atau tertakluk kepada peraturan-peraturan sedemikian, dalam ertikata lain, tidak wujud sebarang sekatan bagi para penulis fantasi. 

‘Differential Proposition’ berpendapat bahawa fiksyen sains mempunyai ciri kualitatif yang unik dan tertentu dari segi kandungan dan penceritaannya, yang tidak terdapat pada genre sastera lain. Ciri kualitatif ini merangkumi perkara-perkara berikut:
1. Subjek ( A Subject Matter - Science and Technology)
2. Proses ( A Treatment - A sense of wonder,an inquiry into the nature of progress, The ‘Wow’ Effect )
3. Matlamat ( A Purpose - Speculation about the unknown)

Damon Knight, seorang pengarang fiksyen sains yang terkenal di Amerika Syarikat, telah mengariskan beberapa kriteria fiksyen sains seperti berikut:
1. Sains
2. Teknologi Dan Rekaan (Technology and Invention)
3. Zaman Akan Datang Dan Zaman Lampau, termasuk semua cerita pengembaraan di dalam masa (The future and remote past, includin all time travel stories) 
4. Ekstrapolasi
5. Metod Saintifik (The Scientific Method)
6. Dunia Lain (seperti planet lain, dimensi lain dan sebagainya, termasuk pelawat dari dunia atau dimensi tersebut)
7. Bencana alam, samada secara semulajadi atau akibat perbuatan manusia 

Damon Knight berpendapat bahawa cerita-cerita yang mengandungi tiga atau lebih unsur-unsur yang disebutkan di atas boleh dikategorikan sebagai fiksyen sains, yang mengandungi dua unsur pula berada di persempadanan (borderline) dan yang mengandungi satu unsur sahaja atau tiada langsung bukanlah fiksyen sains.

Hujah ‘Differential Proposition’ ini menarik kerana turut disokong oleh kelompok fantasi yang berpendapat bahawa setiap cerita fantasi mesti mempunyai sistem magis selaku unsur atau jentera cerita. Definisi fantasi sedemikian jelas bertelagah dengan metod saintifik (The Scientific Method) yang menjadi teras fiksyen sains seperti yang digariskan di atas. Suasana dua paksi yang berbeza ini jelas menampakkan polarisasi di antara fiksyen sains dan fantasi selaku dua genre sastera yang berbeza. 

Proposition For Harmonization’ pula berpendapat bahawa tidak ada perbezaan di antara fiksyen sains dan fantasi, kerana sains fiksyen itu sendiri bersifat fantasi dan denan demikian boleh dianggap sebagai bentuk fantasi moden. Arthur C. Clarke, seorang pengarang fiksyen sains yang terkenal berpendapat bahawa ‘Setiap teknologi yang melampaui batas kemajuan tidak dapat dibezakan daripada magis’ Tafsiran yang sedemikian menepati tuntutan definisi fantasi yang mewajibkan penggunaan magis selaku jentera cerita, sekaligus melenyapkan perbezaan di antara fiksyen sains dan fantasi selaku dua genre yang berbeza.

Miriam Allen deFord memberikan kesimpulan yang menarik tentang hubungan diantara fiksyen sains dan fantasi dengan kenyataan berikut:'Science fiction deals with improbable possibilities, fantasy with plausible impossibilities" (Aldiss 26)


Nukilan Ahmad Patria Abdullah, penulis trilogi novel Saga Artakusiad

In by Anonymous, Tuesday, 19 July 2011