Gembira

Di kota kotak yang bertempatkan ruang hitam putih di atas seketul batu ketiga dari matahari, aku bekerja terlalu keras untuk mendapatkan dosej-dosej gembira yang mampu membuatkan aku terawang-awang dalam atmos kelabu, tersenyum tanpa memikirkan persepsi manusia lain. Lama-lama, aku mulai malas untuk bekerja keras kerana ianya tidak setimpal dengan setiap kelelahan yang aku tempuhi.

Di kota kotak beratmos kelabu ini, aku bertawaf mencari mereka-mereka yang mampu menyuntikkan aku dosej khayal yang bisa membuatkan aku lupa akan racun kesedihan yang menjalar ke setiap urat yang berselirat di dalam tubuh, tapi aku lupa, setiap suntikan itu menghapuskan setiap sel kewarasan aku dan menjadikan aku seorang penagih tegar apabila suntikan itu hilang kesannya. Setelah gagal aku perolehi dosej-dosej itu, aku rompak dari mana-mana manusia yang mempunyai bekalan dosej gembira yang banyak.

Di kota kotak yang siangnya dibanjiri peluh para penduduk mengukuhkan ekonomi masing-masing, dan malamnya dipenuhi coretan hitam yang menjalang, aku terdampar di tepi lorong gelap dengan temulang tubuh yang remuk. Remuk kerana aku jatuh dari awangan yang tinggi tingkat khayalnya. Aku perhati atmos kelabu yang tidak pernah warnanya berubah, berharap yang akan ada sesuatu yang bakal menerangi lorong gelap ini, walau sebenarnya aku takut, bingung akan apa yang wujud jika lorong ini kembali terang.

Di kota kotak yang bakal ranap ini, aku baru tersedar, yang dosej gembira itu sebenarnya sejenis virus yang menghakis diri aku yang dulunya gagah melangkaui dunia berubah menjadi seekor makhluk keding berwajah cekung, terbaring di atas jalanan, keseorangan. Aku perhati jauh-jauh, di balik bangunan-bangunan sana, ramai lagi yang sedang khayal di atas awangan. Aku tersenyum, kerana terlalu ketagih akan dosej gembira itu yang melenyapkan aku perlahan-lahan. Langkah pertama untuk bangun, adalah dengan gembira secara natural. Kalau lah aku sedar akan langkah pertama itu, tidaklah aku patah remuk di tepi lorong gelap ini.


In by Anonymous, Saturday 7 January 2012


5 Responses to Gembira

lavender harum wangi said...

Untung kau tersedar.

H Y D E said...

pawer nak mampus. respek.

Isaac Ismael said...

betoi. power nak mampus.

respek seperti biasa.

Penjiwa Jalanan said...

RESPEK LUAR BIASA

Anonymous said...

Let me quote this:

"Theoretically there is a perfect possibility of happiness: believing in the indestructible element in oneself and not striving towards it." , Kafka.