Kamu semua kenal si Samad itu? Pasti tidak bukan? Dia tu lah kawan pertama aku.

Aku dan Samad main sama-sama, berkongsi lego dan robot voltron. Kadang-kadang kami berdua macam adik beradik betul, bergaduh bertumbuk sebab dua-dua mahu jadi hero, tiada siapa mahu jadi villen. 

Selalu sangat aku terdengar sayup-sayup esakan ibu, entah kenapa dia menangis. Aku tanya Samad, dia cuma geleng kepala. Agaknya ibu tengah tumbuk bawang, atau matanya masuk habuk. Memang itu alasan klise yang selalu dia bagi, dan kami percayakannya.

Jika dalam mod mahu bermanja, kami akan berlumba siapa lebih pantas sampai atas riba ibu. Bila dapat ke aku Samad nangis, dan begitu juga sebaliknya. Aku hairan mengapa ibu hanya menyepi dengan mata yang mengerling jauh. Kadang kala mukanya kepucatan, bagai disampuk hantu.

Di kelas hanya satu kerusi diwartakan untuk kami berdua. Kami pelik juga walhal ada banyak lagi kerusi kosong tapi kami taklah kisah sangat kerana yang penting kami dapat belajar. Ibu marah kalau kami malas-malas.

Ada masa aku dapat duduk, ada masa Samad. Yang tak dapat duduk, bersila atas lantailah jawabnya. Tiap kali waktu rehat, kami akan dikacau oleh Tengku Irwan kaki berbulu, berjerawat dan bersuara parau dari kelas sebelah, dan konco-konco bingainya. Mereka menganjing kami gila, kami miring, kami mona fendi.

Pulang kami dari sekolah mesti dengan tangis sendu, dengan muka lebam-lebam. Namun hanya seorang yang akan dapat privilej diubat dan dipeluk dikonsol ibu, yang lagi seorang hanya mampu memerhati, derita ditanggung sendiri. Aku tahu sangat perasaan itu, tapi kami faham. Ibu hanya seorang, kami tidak boleh memaksa dia membuat pilihan.

Sewaktu periksa, aku sering bagi Samad tiru jawapan aku. Markah kami? mestilah sama tinggi. Nasib baiklah Teacher Mujahidah tidak mengesyaki apa-apa.

Itu cerita 6 tahun lepas. 6 tahun kami berkawan dan melangkaui labirin kehidupan bersama. 

Hari ini Samad telah mengambil keputusan untuk move on dan menghilangkan diri dari hidup aku. Aku tidak marah, kerana masing-masing sudah besar.

Kata Samad, ini masa yang paling tepat untuk aku pergi Ed, tidak boleh lewat tidak boleh cepat, janji pada aku kau akan belajar hidup sendiri ye.

Dan Samad pun mengabus menjadi siluet dan ghaib begitu saja, bersama keluarganya yang sudah ku anggap semacam famili sendiri. Aku ditinggal berseorangan, menunggu teman lain yang mahukan aku.

Aku perasan ada air mata mengalir ketika aku tumbuk bawang tadi.

n.

Oh lupa nak bagi tajuk. Tajuk benda alah ini ialah : Kronikel Ed, kisah hidup teman imajinari yang sudah berpangkat bekas.

by ahmad, Wednesday 12 October 2011


8 Responses to

Anonymous said...

Ed Gein?

ahmad said...

hehe tidak. lebih pada eddie maskot iron maiden sebenarnya

± said...

ok, ini memang sedih

Päk Läng said...

"hehe tidak. lebih pada eddie maskot iron maiden sebenarnya"

aku taip *LIKE* di sini
sbb tiada butang like.

ahmad said...

dark half - ya aku setuju

pak lang - dulu masa aku sekolah asrama ada member aku tampal poster eddie kat dorm dan ada sesuatu yg terjadi. sampai sekarang tiada siapa mahu cerita tentang itu, ia hanya jadi rahsia sesetengah org saja

jhnrdzi said...

rahsia apa??

ahmad said...

aku pun tak tahu, tapi mengikut sumber2 yg boleh dipercayai ia adalah satu kisah roh gentayangan yg menakutkan haha. biasalah asrama

Päk Läng said...

senang2 kau datang lah jitra,
boleh lihat EDDIE yg besar di
dinding 'penginapan' aku...