Hari Mencari Tuhan (1)

ahad yang baru lepas ini adalah hari mencari Tuhan.

dan bukan, aku bukan seorang Kristian yang ke Sunday Mass. cuma aku hanya terjumpa seorang doktor jiwa.

dan aku seorang manusia yang sering mengugut untuk membunuh diri. lalu doktor itu beri sebilah pisau.

ambillah, kerat nadi kamu sekarang.

aku pandang pisau itu kosong. marah dan kecewa sedikit kendur.

tengok. kamu belum depresi. cuma stress. mahu cerita sesuatu?

angguk.

aku sandar ke kerusi zero-gravity warna putih itu. aku ambil nafas. pendek, berat. hembusan pula sedikit panjang. dalam berkira-kira mahu cerita apa mulut aku gatal muntahkan ayat ini.

Doktor psikiatri sekarang guna zero gravity chair yang trendy macam ini.


aku benci hidup aku, doc.

dia angguk, biarkan aku hanyut dengan perasaan sendiri. biarkan matanya saja yang bertanya. biarkan mulut aku memuntahkan segala isi yang tertepu dalam hati. tentang ibu aku yang tak pernah mengerti mahukan aku menjadi saintis walhal aku mahu menjadi penulis, tentang ayah aku yang nampak lembut tetapi sering memberi penampar jepun, tentang abang aku yang pulang ke rumah seminggu sekali setelah menghabiskan masa di kelab malam dan rumah perempuan.

tentang kawan-kawan yang pandai menikam dari belakang. yang berlakon depan orang lain, memburukkan aku tapi di depan aku siap laga-laga pipi.

tentang ketiadaan seseorang untuk mengisi ruang kosong di hati.

itu saja?

banyak lagi, doc. tapi cukuplah itu sebagai sebab-sebab yang punya signifikan besar dalam hidup.

dia hela nafas, lebih panjang dari nafas aku.

bagaimana kamu dengan Tuhan?

aku angkat muka, tenung matanya. kemudian aku tundukkan pandangan sebelum jungkit bahu.

mari aku beri kamu satu ubat. ubatnya hanya peringatan. bahawa Tuhan itu dekat dengan kamu, lebih dekat dari urat nyawamu.

benar?

angguk.

beritahu aku selama kamu hidup, pernahkah kamu berhenti bernafas?

geleng.

makanya? jelas bukan, Dia tidak pernah lupakan kamu. untuk kamu dicintai manusia, kamu perlu cintai Dia dulu. kerana Dialah pemberi nafasmu, jiwamu, rohmu. tahu bagaimana?

tidak.

doktor itu berdiri dari sofa, menuju ke peti ais. dia tuang dua gelas air. kemudian berjalan kembali ke arah aku.

Doktor tuangkan aku air tapi tekak aku terlalu pahit untuk menelan.

bercakaplah denganNya. beritahu apa saja. minta apa saja. tentang mimpi kamu bertemu big foot, tentang kamu perlukan wang untuk beli baju baru.

tapi, adakah akan makbul?

gelas berisi air itu dia berikan pada aku. aku sambut, terkena sedikit jarinya.

tiba-tiba, dalam bilik dingin itu, aku dapat rasakan darah aku menjadi lebih panas.



bersambung...