Unik Misteri
Karya : NaoChan (penulis import)
Nama pertama gadis bertocang dua, kulit separa gelap, itu ialah Unik. Dia membetul-betulkan kaca mata bingkai putihnya yang hampir jatuh dari hidung, terlalu berpeluh dia hari itu. Nama keluarganya pula Misteri, kiranya pada kad ID dia tersusun aksara gelap fon Haettenschweiler saiz 26, semi-kabur membentuk Unik Misteri.
Dia berpeluk tubuh, sedikit ruang antara dia dan dadanya, sebuah buku tebal berkulit putih, buku yang kelihatan agak berumur.
Ada coret tajuk 'The Nature and Properties of Soils' di tepi. Terdapat juga sebuah novel terhenyak di tengah. Warnanya agak kusam, kulitnya hampir terkoyak gara-gara acapkali diulang baca.
Gadis itu terhenyak di satu sudut gelap, dikibas-kibas sedikit punggungnya sebelum duduk, muka depan buku novel yang kelihatan malu-malu untuk melekat lagi dicabutnya, terus jari-jarinya dengan cuai membelek muka surat yang ditandanya dengan daun kering yang melekat pada begnya semalam.
Buku tebal putih masih dalam pegangan. Si gadis mengeluh. Beban dalam hatinya seberat buku tadi.
"Sekarang kau pergi jauh-jauh!" cakap dia kepada buku tebal putih.
Buku tebal putih dicampak ke tepi. Bunyinya hampir menggegar ruang sunyi yang si gadis duduki. Si gadis seakan-akan terlihat kelibat putih keluar dari buku mengangguk faham. Si gadis senyum menyeringai. Novel tercabut kulit kembali menjadi perhatian.
Si gadis mula membaca. Matanya seolah-olah taksub dengan susunan aksara kusam dalam novel itu. Cerita dalam buku sudah masuk bab bunuh-bunuh, hati si gadis berdetak laju. Kiraan detak jantung dalam seminit sudah menjadi mustahil lagi.
Kepulan asap muncul dari tengah selit buku, dan tanpa semena-mena, menelan gadis bersama kaca mata putihnya.
Si gadis jadi kaget.
"Ni lagi teruk dari asap fogging!" fikir dia dalam hati.
Dia batuk-batuk kelemasan dengan bunyi 'kowkowkowkow' berulang kali. Dia tergeletak jatuh ke bawah. Lemas. Selemas menghirup bauan asap rokok yang dilepaskan sang 'naga'. Selemas menghirup bauan karbon monoksida keluaran motor usang bapanya di pagi hari yang indah. Hatinya memanjat doa moga-moga sang asap cepat pergi.
Tak lama kemudian asap mulai menipis. Si gadis masih lagi di atas lantai; terbaring dengan mata separuh terpejam. Dalam kelam pandangannya, dia terlihat susuk jin separuh buncit dengan mulut ala-ala hampagas dalam cerita Teletubbies menyedut sang asap. Si gadis pengsan terus.
Sedar-sedar, dia telah berada sebuah tempat asing. Si gadis membuka spek lalu menenyeh-nenyeh mata. Gelap! Si gadis meraba koceknya, mencari kalau-kalau ada barang berguna.
"Nasib baik ada tongkat sakti yang Harry bagi pinjam hari tu," desis si gadis dalam hati.
"LUMOS!" jerit si gadis. Tongkat sakti tak menyala. Baru si gadis sedar tongkat sakti dah separuh patah akibat didudukkan. Muka si gadis berubah marah seperti muka Angry Bird. Dia menjerit geram dengan nada memekik lalu mencucuk tongkat sakti pada dinding tempat asing. Gelap, campuran warna merah hitam perang dan melekit, euw.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi seakan-akan suara jin dalam iklan Super Power menjerit, "AAAAAAARGHHHHH!!!!". Tahulah si gadis bahawa sebenarnya dia kini berada dalam perut jin separuh buncit yang dia lihat sebelum pengsan tadi.
Lubang kecil terbentuk pada perut jin hasil cucukan tongkat sakti. Si gadis mengorek-ngorek supaya lubang yang lebih besar terbentuk. Si jin terus-terusan menjerit dengan nada frekuensi tinggi "AAAAAARGGHHHH!" sambil terbang melayang ke Australia.
Si gadis yang mengintai dari celah lubang terpana. Australia, tanah yang menjadi angan-angannya. Di kanannya dia nampak makhluk bernama koala, enak diulit mimpi di atas pohon eucalyptus.
Di kirinya, dia nampak makhluk bermulut itik dengan badan seperti beaver terapung atas kolam.
"Makhluk apa ni?" Si gadis menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.
Di depannya dia ternampak kanggaru! Kanggaru! Hati si gadis berbunga riang.
Jin masih tak berhenti melolong dan terbang laju-laju. Si kanggaru pula menguap kebosanan melihat temannya main kick boxing. Mulut si kanggaru ternganga luas; jin terbang masuk, direct ke dalam mulut kanggaru.
Suasana dalam perjalanan ke perut kanggaru terang kerana sinaran cahaya harapan dari muka si gadis.
"Hai oesofagus kanggaru! Hai trakea kanggaru!" si gadis berkata dengan penuh eksaited.
Jin melongo. Baru sedar ada budak perempuan dalam badannya melihatkan ada kepala terjengul keluar dari lubang pada badannya.
"Hai duodenum kanggaru! Hai paru-paru kanggaru! Hai jantung kanggaru!" kata si gadis lagi.
"Demo kecek gapo ni? Tok pehe kawe," kata sang jin dengan suara garau.
Si gadis buat muka tak peduli. Dia terus mengucapkan hai kepada semua jenis organ dalaman kanggaru.
Jin terkebil-kebil, tak faham dengan terma asing yang muncul dari mulut gadis bertocang dua. Sang jin syak si gadis mesti dah dirasuk jin! Perasaan kasihan terbit dari dalam diri jin lalu membuatkan dia berniat untuk memberikan tiga permintaan kepada gadis tersebut. Malangnya bait-bait ucapan hai pelik si gadis kepada organ dalaman kanggaru membuatkan dia terlupa.
Kepalanya terus pening, sakitnya seolah-olah meletupkan otaknya dari dalam, jin itu lekas-lekas cabut kepala gadis itu, malangnya kepalanya tercabut dari jasadnya, lalu dilemparkan dekat-dekat kantung kanggaru bersama anak kanggaru yang sedang enak menghisap puting ibunya.
Dengan satu kepulan asap merah, jin itu menghilangkan diri. Jasad gadis tadi terjatuh pula ke dalam perut kanggaru, lunyai dimamah asid. Tercapailah cita-cita sebenar gadis itu untuk menghelakan nafas terakhir, tanpa sempat mengucap kalimah syahadah, di bumi Australia. Unik Misteri.
5 Responses to Unik Misteri
sebenarnya ini karya bersama :
80% NaoChan dan 20% aku.
:)
farha-chan editor. :D
terus terbayang memey dalam citer upin ipin. lulz~
start dr nmpk NaO-chan tuhh mcm da knal plak spe..
*pandang kiri dan kanan*
Post a Comment