Abuya yang merentas masa.


Maka sekonyong-konyong selepas api yang marak padam, orang-orang kampung berpusu ke madrasah kuno yang sekian hangus itu. Sudah tua madrasah itu. Empat ratus tahun lamanya. Didirikan Abuya semasa penjajahan Benggali Putih atas tanah air kita suatu masa dahulu. Kata orang Abuya mendalami ilmu tauhid dua belas alam. Dan tempat ini menjadi pusat ilmu mistik. Madrasah itu tidaklah sebesar mana. Dindingnya kayu manakala atapnya berdaun nipah. Namun ini sajalah madrasah yang tunggal di kampung ini. Tidak lagi dijaga orang, apatah lagi didirikan solat didalamnya.

Api menyala kelaparan, memamah tiang-tiang, mihrab dan kitab-kitab agama. Hamka, Hamzah Fansuri, Syeikh Tahir Jalaluddin hilang begitu sahaja. Madrasah kami tumbang menyembah bumi.

Jadi kami pun tertanya-tanya, apa gerangan yang berlaku? Tiada pula dikhabarkan tentang kabel elektrik sial ataupun letupan generator di sebelah madrasah itu. Semuanya baik-baik sahaja. Siapa mulakan api memusnah?

Maka tika bulan masih mengambang itu, saat mereka masih tertanya-tanya siapa lakukan, Mat Amin, pemuda kampung kita yang baru sahaja keluar daripada pusat pemulihan akhlak itu terus bersuara, "Aku tahu siapa buat! Aku nampak dengan mata kepala sendiri."

Dalam kekecohan itu, kami memandangnya. Suasana menjadi sepi seketika.

"Ada lelaki tua, pakai jubah hitam. Dia datang sini setiap malam jumaat pukul 12 malam. Setiap minggu dia datang. Malam tadi, ABUYA! Dia datang dan..."

Kami berkerut. Ah, jadah apa dia karutkan ini? Bukan ke Abuya sudah lama meniggal? Dan kalau orang lain pun, siapa pula yang rajin-rajin sangat nak melawat madrasah ini setiap malam jumaat? Kita duduk rumah layan anak-anak, layan bini...

Tambah lagi, masyarakat kampung ini mana ada pergi madrasah itu sudah. Semua ke masjid baru yang terletak disebelah hotel kelab malam. Satu penghinaan sebenarnya kepada kami muslim tapi apakan daya, kerajaan sendiri yang memutuskan lokasi masjid. Kami hanya akur..

Esok hari, di warung Pak Mail, di kedai kopi Haji Lingkup, mamak juga turut menyebarkan cerita panas mengenai kejadian malam tadi. Ada orang kata, penyangak-penyangak dari kampung sebelah yang lakukan. Maklumlah, mereka mat rempit. Sudah bencikan agama. Alpa dalam dunia sendiri. Ada juga yang katakan angkara jin. Ini kerana bomoh terkenal Koboya sendiri katakan sedemikian. "Itu jin munafik. Kerjanya memusnahkan rumah agama." ujar lelaki berilmu hitam itu.

Tapi apapun, cerita Mat Amin memang tidak pernah sensasi. Siapa mahu dengarkan cerita budak bekas penyangak? Pelbagai ejekan menimpanya. Katanya dia sudah gila. Lebih-lebih lagi bila dia katakan Abuya datang kembali untuk membakar madrasah sendiri. Ah, Abuya itu sendiri sudah mati tentunya.

Sehingga satu malam, kami berjalan untuk ke warung. Apa tarikhnya kami sendiri sudah lupa. Entah idea siapa, kami ikutkan jalan yang lain. Gunakan jalan panjang, melalui madrasah itu sekali lagi. Sekali kami lihat, bumbung madrasah itu sudah berlubang tampaknya. Dinding rapuhnya sudah dimakan ulat. Kosong, sepi. Seperti kubur pun ada.

Tiba-tiba ada satu wajah yang keluar dari tingkap. Kami tergamam. Siapa pula yang ada di madrasah tua pada tika ini? Jam pukul 1 pagi...

Lelaki itu sangat tua wajahnya. Kami amati betul-betul, dan kami terkejut! Kami hendak melolong tapi suara menjadi sekat. Wajahnya amat menakutkan. Sesekali dia memandang kami dengan wajah penuh benci. Entah syaitan mana yang merasuk, kami cepat-cepat lari. Langkah menjadi deras. Langsung tak ingin pandang ke belakang.

Kami tahu siapa lelaki itu. Pernah sekali lihat potretnya bergantung tersergam di balai.

Abuya!

Maka pada esoknya, kecohlah kampung lagi dengan kehilangan Mat Amin. Seperti biasa, setiap kes akan ada juga khabar angin yang menurut. Hanya lima belas hari kemudian, terlihat Mat Amin bertahajud dalam madrasah lama itu. Disaksikan Mak Bedah dengan anak-anaknya semasa dalam perjalanan ke pasar tani pada awal subuh. Menurut anak Mak Bedah, Cik Zaweeyah pula, Mat Amin juga memakai jubah. Dia bertahajud serorang diri. Selepas itu, tiada lagi berita mengenai Mat Amin. Dia hilang begitu sahaja. Itulah berita yang terakhir yang kami dapat tentangnya.

Koboya tampil ketika majlis pnghulu-anak buah kampung. Seperti biasa, badannya berbaur kemenyan. Kami duduk sahaja, ingin mendengar.

"Mat Amin sudah pergi bersama Abuya. Mereka ke alam lain."

Semua penduduk hanya mampu terlongo.

Cerita inilah cerita paling sensasi dalam kampung kami. Kemana sahaja kami pergi, ke warung, ke bendang, semua akan cerita hal sama. Tentang Abuya dan Mat Amin. Dalam pasar malam pun cerita ini tak pernah lekang.


Biasalah, ini hanya satu cerita dari kampung. Tukang cerita pula hanyalah orang-orang yang kolot pemikirannya. Dan seperti biasa, setiap cerita daripada orang-orang kolot tidak akan dipercayai. Kamu orang bandar. Orang sains. Buka fesbuk dan blog setiap hari. Tak akan nak percaya cerita kolot seperti ini. Mana ada orang mati hidup semula. Kan? Kan? Arghh!


Ah, siapa dalam madasah hangus itu sebenarnya?

by jhnrdzi, Tuesday, 2 August 2011