Review : Nyaman Si Puding Roti tulisan Cikha Sidinaali

Membaca 40 certot (cerita kontot) dalam Nyaman Si Puding Roti mampu membuat kita terkerisin (vocab yang aku suka dalam buku ni) sorang-sorang walaupun perut dah mula nak buat permintan lagu di bulan puasa macam ni. Aku syak kebanyakan kisah zaman kanak-kanak yang penuh dengan imaginasi comel warna-warni dalam buku yang juga bersaiz comel ini mungkin saja pengalaman penulis sendiri, Cikha Sidinaali. Boleh jadi juga cerita rekaan semata-mata tapi mampu mendekat hati pembaca dan melempar korang (terutama kaum awek) dengan mesin masa balik ke zaman cekedis dan Ding Dang melalui kisah-kisah seperti Pokok Renek Berbatang Senget Di Tepi Sawah, Skirt Kembang Warna Merah Hati, Kenapa Perut Abang Besar Buncit?, Mekap-mekap, Lari Dari Rumah, Baki Karipap Gemuk-Gemuk dan Janji Bidadara Berperut Buncit.

Pari-pari, bidadara berperut buncit dan debu-debu magik berwarna kelabu adalah sebahagian dari imaginasi tanpa batasan yang digambarkan oleh penulis dan sangat terkesan (boleh feel) di hati walaupun jalan cerita yang panjangnya cuma dalam 150 perkataan. Bagi aku, penulisan sebegini ini sangat-sangat mencabar.

Perumpamaan-perumpamaan yang digunapakai oleh penulis seperti ‘batu sebesar punggung Cikgu Bahasa Inggeris yang garang’ dan ‘putung kayu sebesar paha Malek Noor’ umpamanya memberi mood yang sinikal dan kelakar. Tak nampak terlalu berusaha untuk buat lawak tapi memang lawak selamba kata orang.

Dalam banyak-banyak cerita comel, terselit juga beberapa kisah kemanusiaan bermesej serius tapi disampaikan dengan gaya yang santai. Dia Mahu Terbang, Bodohnya Berharap Air Sungai Yang Keruh Menjadi Air Coklat Yang Boleh Diminum, Lupakan Juga Percikan Cinta Di Atas Pedati Tua, Proses Pemulihan Hati, Bukan Perempuan Biasa-Biasa, Robot Milik Bobi dan Gadis Penjual Mimpi adalah sebahagian daripada kisah yang aku maksudkan. Ia berkisar tentang harapan, impian dan rencah permainan duniawi yang penuh suka-duka.

Nyaman Si Puding Roti sangat berbaloi untuk dimiliki bagi yang mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Terima kasih buat Zoul Yazix kerana merekomenkan aku buku yang sangat comel ini.

review oleh: Dark Half

p/s: Kalau anda rasa stim membaca review ini dan teringin untuk membelinya sila layangkan email anda ke pemburupudingroti@yahoo.com.