Review : Tuhan Manusia

Novel hasil nukilan FT, Faisal Tehrani bukan Faizal Tahir yang berjudul Tuhan Manusia terbitan Al-Ameen Serve Holding Sdn. Bhd yang setebal 340 muka surat ini berkisar tentang isu pluralisme yang digarapkan dalam pemerhatian seorang remaja tingkatan lima yang mencari kebenaran dalam kemelut keluarga di mana abangnya telah murtad. Pada hemat saya, ia sesuai untuk dibaca oleh mereka yang ingin mengetahui apa itu pluralisme dan mereka yang terkinja-kinja mengikut 'trend' menyingkirkan agama dalam kehidupan tanpa menyelidiki dahulu apa itu agama.

Setiap bab di dalam Tuhan Manusia dimulakan dengan;
" ANDAI kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama. "
Ali Taqi dan keluarganya menghadapi kemelut murtad abangnya yang menimbulkan turut kegemparan di persada berita negara di mana dia hilang seorang abang yang dikatakan terpengaruh dengan pluralisme agama di mana ia menyamakan semua agama dengan menganggap semua agama adalah betul.

Dalam perjalanannya mencari apa itu pluralisme, bagaimana pluralisme berlaku dan mengapa ia berlaku, Ali Taqi mengharungi detik-detik perbualan yang mencerahkan mindanya termasuk perbualannya dengan seorang pemandu teksi yang dilihat secara luarannya rendah ilmu nya akan tetapi pemandu teksi itu umpama perpustakaan isu semasa bagi Ali Taqi. Jelas menunjukkan yang pekerjaan tidak melambangkan ketinggian ilmu tetapi sebaliknya pengalaman yang diraih membentuk sebuah ensiklopedia diri.

Pluralisme ditolak dalam saduran agama berikutan taktiknya yang menyamakan agama sedangkan ikan ialah ikan, tidak logik untuk menghujah ikan juga bukan ikan. Seperti huraian dalam buku ini saya petikkan;
" Bagaimana kita nak menerima yang Islam itu memperakukan keEsaan Allah dan dalam masa yang sama memperakukan pula agama Kristian yang menerima teologi triniti iaitu adanya Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Dua perkara yang bertentangan tidak boleh diterima. "
Buku ini lebih kepada perdebatan di antara mereka dalam mencernakan isu pluralisme agama yang berbuah-buah daripada sebuah pokok yang ranum. Bagi pluralis, mereka menganggap agama cumalah garis panduan dalam memenuhi keperluan kehidupan dalam erti kata lain, agama berfungsi sebagai produk budaya manusia. Jadi, pluralis berhempas pulas menanam idea bahawa semua agama itu sama, dan semua orang boleh bersatu di bawah fahaman pluralisme.

Memetik lagi ayat hujah dalam buku ini;
" John Hick mengatakan agama adalah jalan yang berbeza-beza, untuk menuju jalan yang sama. John Hick selalu memetik kata-kata Maulana Rumi( Jalaludin Rumi ) : The lamps are different but the light is the same, it comes from beyond. Tapi awak perlu tahu, ya, benar semua memberi cahaya, ada yang cahaya kelam, ada cahaya suram, ada cahaya benderang... awak harus ingat lampu Islam yang memancarkan cahaya adalah cahaya yang terang benderang sehingga cahaya itu dapat dijadikan pedoman yang lurus ketika menelusuri dunia yang gelita ini. "
Zehra, rakan sekelas Ali Taqi yang berfikiran pluralisme hasil sentalan ayahnya yang merupakan pendukung pluralisme dan juga seorang peguam yang dianggap oleh Ali Taqi sebagai pembawa kemurtadan abangnya, acap kali berdebat mengenai isu tersebut sedang persekitaran mereka masih tidur akan tusukan halus yang mulai menggamit masyarakat. Hasil usaha Ali Taqi dan rakan-rakannya yang lain dalam menjayakan sebuah dialog di antara bapa Zehra, Encik Aris Iskandar dan Profesor Mahfuz di sekolah mereka menggamit suasana di mana hujah-hujah Encik Aris Iskandar meluapkan kemarahan anak muda yang sayangkan Islam.

Antara hujah Encik Aris Iskandar adalah seperti;
" Kita perlu melepaskan agama yang kita fahami hari ini baik agama Hindu, Kristian, Yahudi, Islam, Buddha, Shinto dan sebagainya. Dua faham baru yang lebih waras dan elok kita pertengahkan ialah cumulative traditions dan faith. Yang pertama ialah kumpulan budaya, tradisi, mitos dalam agama.. macam siapakah yang menyalib Jesus dan kemudian kisah Nabi naik ke langit, semua itu kita cantumkan menjadi kumpulan mitos atau tradisi... "
Arwah ibunya menginginkan Ali Taqi menjadi seorang ulul albab yang bermaksud sekumpulan manusia yang memperolehi hikmah dan pengetahuan daripada Allah S.W.T di mana mereka merupakan pemikir yang mendapat pelajaran dan dapat membuat keputusan untuk insan lain mengenai kehidupan ini yang bukan sahaja intelektual tetapi Islamologis.

Ada eloknya buku ini menjadi salah satu koleksi dalam rak buku kalian selain daripada buku fiksyen lain, bila mana fisyen islamis  seperti ini kurang penghasilannya di kalangan penulis. Ia digarap dengan baik, lancar dan mencerahkan cuma, bagi sesiapa yang mudah tertidur ketika ceramah agama, mungkin mudah juga membiarkan buku ini menutup muka pembaca yang terlelap. Ada bibit-bibit percintaan tak kesampaian di antara Zehra dan Ali Taqi, di mana Zehra menyukai pemikiran Ali Taqi yang kritis dan kinetikal walau pun berdiri di paksi yang ketara berbeda di antara keduanya.

Kembali kepada jalan cerita, Ali Taqi akhirnya menanyakan sebuah soalan kepada Encik Aris Iskandar ketika sesi soal jawab dibuka, yang menyebabkan Encik Aris Iskandar tergamam, soalan itu adalah, jeng jeng jeng, miliki lah ia untuk mengetahui selanjutnya tentang perkaitan di antara Encik Aris Iskandar dan ibu bapa Ahli Taqi yang menyebabkan Encik Aris Iskandar menyesal membiarkan Talha, abang Ali Taqi murtad.

Dalam sebuah plot kecil yang lain, rakan sepermainan Ali Taqi yang berketurunan Siam memeluk Islam. Taqi gembira dengan beranggapan dia adalah pengganti kepada kehilangan yang berlaku dalam keluarganya. Tse, cuak untuk memberitahu keluarganya lalu meminta tolong bapa Ali Taqi untuk menyampaikan pengislaman Tse. Ibu bapa Tse menerima khabar itu dengan baik memandangkan keperibadian bapa Ali Taqi yang amat mereka hormati, walau dia kehilangan anak sekali pun, tidak menyebabkan dia untuk membalas perkara yang sama terhadap Tse sebaliknya menolong Tse kembali kepada keluarganya dengan baik.

Pengakhiran cerita menggarapkan kehidupan Ali Taqi yang sudah berkeluarga dan digelar profesor. Akhir kata, membaca jambatan ilmu.

In by Anonymous, Saturday, 6 August 2011


13 Responses to Review : Tuhan Manusia

zoul yazix said...

kebetulan aku tengah memegang naskhah Faisal Tehrani bertajuk Bila Tuhan Berbicara. Ulang membaca.

Anonymous said...

Semasa aku kat pesta buku, dengan berkira-kira duit yang semakin sedikit dalam wallet, aku ragu-ragu nak sambar buku yang mana 1 dalam koleksi Faisal Tehrani, akhirnya aku memilih 'Maaf Dari Sorga' dan meletakkan kembali Bila Tuhan Berbicara., Adeh, aku harus mendapatkannya kembali sekembalinya ke sana.

tepijalan said...

Bila Tuhan Berbicara done! dalam proses mengkhatamkan Maaf Dari Sorga

Anonymous said...

Ada satu perenggan yang aku nak masukkan, tetapi aku ragu. Aku tekankan perenggan satu, ia merely for beginners, kalau otak yang sudah advance dalam perihal begini, memanglah mereka menganggap buku ini sampah, as I said, it's for beginners.

jhnrdzi said...

Aku juga ada buku ini, cool.

Cuba kau baca 1515 luc, isi ceritanya juga boleh tahan.

zoul yazix said...

1515 aku sudah baca. Untuk mereka yang gemar memainkan simulasi imaginasi, buku ini mungkin boleh memuaskan hati kalian.

Anonymous said...

aku rasa 1515 aku dah baca beberapa tahun lepas, terbitan 2003 kan? dah baca, tapi tak ingat sangat plot nya.

syakirindaud said...

waaaa,tuhan manusia. makan masa 2 minggu nak habis jugak. bes bes! buat review saasatul ibaad pulak lepas ni

SUDUT MATA SAYA said...

mana nak dpt buku ni? kat bookstore biase ade x? price cmne lak?

zinesatumalam said...

Cik SMS,

Di MPH ada, harganya 21.90.

TheBentPencil said...

dah lama tak baca Faizal Tehrani sejak 1515. isi karya dia dah mula luput dari ingatan, sedikit demi sedikit.

insyallah,disebabkan review ni, saya nak pergi cari kat MPH.

*bookmark page*

± said...

review ni buat aku terkinja-kinja nak beli Tuhan Manusia

Unknown said...

Bila Tuhan Berbicara sangat terbaik. Ketupat Cinta, Manikam Kalbu, pun sama sangat hebat karya Faisal Tehrani. Sekarang dalam proses baca Tuhan Manusia.