Review : Syahadah Gadis Ateis
Tajuk : Syahadah Gadis Ateis Halaman : 377 muka surat Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd (http://www.pts.com.my)
Novel ini sebenarnya dahulu dikeluarkan sebagai E-Book dengan bertajuk 'Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist' kemudiannya diterbitkan dengan judul ' Syahadah Gadis Ateis'. Jalan penceritaan novel ini lebih kepada dialog di antara Nizam, anak muda yang belajar di UiTM Shah Alam dan Rini, gadis yang mengambil jurusan Sains Gunaan di salah sebuah universiti tempatan mengenai ketuhanan di mana Rini yang menolak kewujudan Tuhan.
Pertemuan mereka yang bermula di dalam sebuah koc kereta api dan kemudiannya Nizam digasak dengan persoalan ketuhanan daripada Rini tetapi Nizam membalas pertanyaan Rini dengan analogi yang boleh diterima akal. Jujur saya katakan, olahan novel ini tidak mencabar dari segi susunan, pembukaan dan sangat ringkas bunga bahasanya tetapi, dari segi pengisian, ia adalah sebuah penyusunan yang baik dalam mengungkapkan persoalan-persoalan umum manusia yang meragui ketuhanan.
Maka, buku ini amat sesuai untuk mereka yang kurang arif hendak mencari sumber tentang ketuhanan atau pun mereka yang malas mengkaji dan hanya tahu kopipes, atau pun mereka yang mahu kenal apa itu agama, apa itu tuhan. Saya mempromosikan buku ini khas bagi mereka anak muda yang masih jagung-jagung mahu kenal ketuhanan dan bagi mereka yang terkedu hendak menjawab soalan-soalan yang dikeutarakan oleh orang bukan Islam atau orang Islam itu sendiri apa benar Tuhan itu wujud, kenapa tuhan kita adalah Allah, apa benar agama Islam ini adalah pilihan jalan yang betul, hak perempuan di sisi Islam, perbedaan konsep hak di antara lelaki dan perempuan, hukum hudud serta lain-lain perihal yang diungkapkan sebanyak 13 bab.
Bagi mereka yang tidak pernah membelek buku ini, atau hanya menjengah muka-muka depan, persepsi dalam kepala mungkin rasa " Bosan lah buku ni, hanya dialog ringkas. " Nanti dulu, buku Islami yang sarat dengan analogi kritis ini harus ditelusuri dengan sabar. Bahasanya juga mudah difahami supaya orang-orang yang tidak begitu kenal dengan bahasa bunga-bunga sastera dapat menangkap isi-isi yang mahu disampaikan kepada pembaca melalui jiwa.
Penulis buku ini menggunakan nama pena Imran Haaz atau nama sebenarnya Mohd Aswanizam bin Alias ini dilahirkan di Pulau Pinang dan tamat belajar di UiTM dengan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik. Walau pun dia bukan jurusan agama, tidak semestinya buku Islami digarap oleh orang-orang agama sahaja. Seelok-elok dakwah adalah mereka yang mempunyai pengetahuan ilmu di segenap bidang, tetapi bukan bermakna dia harus menjadi sebuah Google, tidak, biar tahu apa yang patut tahu, yang ilmu kopipes pun perlu tahu di mana asal sumbernya.
Dari pengalaman jujur saya membaca buku ini, saya tertidur-tidur di bahagian mulanya, maklum lah plotnya bergerak lambat manakala saya penggemar plot yang temponya laju, tetapi apabila penulis membawa masuk pembaca ke dalam dialog soal jawab di mana Nizam dan Rini berhujah antara satu sama lain lalu membuka minda Rini atas persoalan-persoalan ketuhanan yang sering terungkap di mindanya. Jadi, bergeraklah gear di otak saya turut bermain analogi yang diungkapkan dengan ringkas tetapi padat.
Oleh yang demikian, saya ungkapkan dalam isi ringkas di bawah:
- Bab petama menceritakan perihal pertemuan mereka dan bermulalah detik di mana Nizam dan Rini berhujah tentang kenapa dia harus menyembah Allah.
- Bab kedua mengenai bagaimana Nizam mengantalogikan tentang bagaimana dia membuktikan pada Rini yang tuhan itu ada, perbezaan muslim dan mukmin dan bagaimana melihat tuhan.
- Bab ketiga pula dialog kenapa yang disembah itu Allah, bukan tuhan lain dan Nizam ungkapkan dengan sifat tuhan yang maha segalanya dalam konsep mudah untuk Rini fahami.
- Bab keempat mengenai doa di mana manusia suka mempersoalkan kenapa doa tidak dikabulkan atau lambat.
- Bab kelima, Rini mempersoalkan tentang nasib orang kafir. Adakah mereka dibakar selama-lamanya di dalam neraka?, dan Nizam menganalogikan dengan mudah mengenai orang kafir, dan penerangan tentang panggilan orang kafir pada bukan Islam, sedangkan pada agama lain, turut mempunyai panggilan kepada orang yang bukan seagama sepertti Naastik - panggilan kepada bukan penganut agama Hindu.
- Bab keenam menceritakan perihal mengapa banyak agama yang ada di dunia dan mengapa tidak dikekalkan satu sahaja dari zaman Nabi Adam, pada yang ingin mengetahui mengapa dan kenapa, silalah membelinya di kedai yang menjual buku PTS Islamik atau pun belilah atas talian.
- Bab ketujuh pula adalah mengenai bagaimana Nizam membuktikan pada Rini tentang ketidak-sahihan kitab agama lain dalam analogi ringkas dengan menggunakan perbandingan isi kitab dan keselariannya dengan sains. (bab ini bab kegemaran kerana ia menghuraikan bible dengan cara santai dan merupakan bab terpanjang)
- Bab kelapan dalam judul ini mengenai hal ehwal wanita dan kedudukannya dalam Islam di mana orang masa kini melihat Islam merendahkan martabat wanita dengan mengongkongnya, sedangkan konsep hak dan samarata bagi wanita dan lelaki berbeza seperti berbezanya alat-alat sulit di antara wanita dan lelaki sedangkan konsep feminisme mengejar sama rata lelaki dari segenap ceruk sedangkan kelebihan wanita dan lelaki berbeza tapi samarata.
- Bab kesembilan pula mengungkapkan tentang poligami dalam Islam. Nizam mengungkapkan dialog ini dengan menarik apabila dia mengkronologikan sejarah dulu hingga sekarang pada Rini mengenai poligami.
- Bab kesepuluh; Masih juga mengenai hal ehwal wanita dari segi pembahagian harta pusaka dengan menggunakan analogi kertas. Nak tahu analogi kertas itu bagaimana? Hehehehehe, beli lah dan baca lah.
- Bab kesebelas menceritakan mengapa Allah menyuruh para malaikat dan iblis menyembah Adam sedangkan menyembah makhluk adalah perbuatan mensyirikkan Allah kisah kiblat solat yang pernah bertukar kedudukannya dahulu.
- Bab keduabelas; menggarapkan tentang isu agama Nabi Muhammad sebelum menerima wahyu pertama pada umur 40 tahun.
- Bab ketigabelas mengungkapkan tentang hukum hudud dalam Al-Quran dan aplikasinya dalam kehidupan semasa.
Kedengaran skema buku ini, tetapi buku ini memang skema dan ringkas. Oleh kerana pembaca ZineSatuMalam kebanyakannya jiwa-jiwa muda, sesuai untuk mereka yang mahu mengenal dan meragui tetapi tiada basis yang kuat dalam keagamaan.
Salah satu analogi yang saya gemar dalam buku ini adalah ajukan burung kakak tua. Kita solat tanpa memahami bacaannya dengan hanya menghafalnya, serta hanya melakukan rukuk, sujud, takbir dan lain-lain pergerakan tanpa memahami perngetian solat, dalam erti kata lain, kopipes perbuatan imam tanpa mengetahui betul atau tidak pergerakan mahu pun pengertian pembacaan dalam solat, sama saja golongan ini dengan burung kakak tua yang mengajuk perbualan manusia tetapi tidak mengerti tentang apa yang dia ajukkan itu.
Sekian, selamat membaca. (blog penulis buku: http://satuhala.blogspot.com/ )
8 Responses to Review : Syahadah Gadis Ateis
saya baru sahaja memiliki ebooknya semalam. Terima kasih kepada penulis.
gua ada novel nih. hadiah seorg blogger. besh!
kalau zaid akhtar pun puji kata best buku ni, memang aku tergoda. sebab aku suka baca karya ustaz aku tuh.
terima kasih. aku akan cuba dapatkan and blabla.
review menarik.
belum miliki. akan usahakan untuk baca sebab eksaited baca reviu ni. hehe...
rebiu sgt menarik, cuma tidak tertarik dengan kulit bukunya. seolah2 tidak sirius, seolah2 buku cinta remaja tiga segi
Aku pun fikir macam tu, kenapa lah kulit buku nya sangat biasa dan tipikal, seorang sahabat yang menghadiahkan buku ini, jadi aku pujuk diri aku baca, walau pemula kata tak memikat, setelah ditelusuri, yang menarik adalah pengungkapan analogi di dalamnya, rujukan ayat bible, penceritaan sejarah yang membuatkan aku menghabiskan pembacaan, dan bagi aku buku ini selayaknya di perpustakaan sekolah, 1000 kali lebih layak berada di rak buku daripada cerita cinta overrated serta fantasi cinta mengarut yang dijual aliran mainstream.
bila baca ayat luc tentang rujukan bible, aku teringat. Ada siapa siapa pernah baca buku bertajuk Isabella? Kisah anak perempuan seorang paderi yang memeluk islam. Dialog Islam - Kristian di dalamnya sangat membuka mata.
byk rupanya novel yg bincangkan perihal faith ni, yg aku tahu cuma tuhan manusia saja. apabila ada quote dari bible dalam karya buat aku benar2 kagum kerana penulis betul2 buat kerja rumahnya.
semua ni sgt membuka mata aku utk kembali membaca novel melayu, dah lama sangat aku tak baca
tetap, kulit bukunya mengurangkan keterujaan. haish
Post a Comment