guni
Terjaga saja dari tidur, Wahi sudah terkurung di dalam satu karung guni. Guni? What the f? Dipacu panik yang memiring, dia meraung, meronta-ronta cuba mengoyakkan guni tersebut, tapi gagal.
Guni itu ada dua lubang, kita namakannya Lubang 1 dan Lubang 2. Lubang 1 berada betul-betul 45 darjah di atas garis mata Wahi manakala Lubang 2 betul-betul di hujung jari kakinya, itu jika dia melunjurkan kedua-duanya dalam posisi sekarang, iaitu 18.5 darjah membengkok di pinggang. Kedua-dua lubang hanya muat tiga batang jari Wahi sahaja, maka sebarang niat untuk lolos menerusi kedua-duanya ialah di luar persoalan.
Dua hari sudah berlalu. Begitulah mengikut jam tangan Casio F91W-1 vintaj hitam kepercayaannya. Kalau lapar Wahi hanya perlu ketuk-ketuk dinding guni dengan kuat, kemudian ngangakan sahaja mulut di bawah Lubang 1. Kalau sakit perut pula Wahid tonggeng saja di atas Lubang 2.
Wahi sekarang sudah makan tanggung berak cangkung, secara literalnya. Mudah bukan? Kehidupan idaman. Bukan?
Tak payah mandi, tidak perlu pergi kerja, tidak payah menentang kerajaan yang korup, tiada perlu duit, heck, tak perlu susah-payah mahu berpakaian pun. Oklah, mungkin tempat sekarang ini sempit amat, sedikit hanyir, dan buat pinggang Wahi lenguh-lenguh, tapi yang penting dia tidak perlu puaskan hati masyarakat yang menghakimi. Bebas, sebetul-betulnya bebas, tapi terkurung.
Masuk hari keempat, terjadinya satu gegaran yang agak menakutkan, melontar Wahi yang baru sahaja usai makan melantun ke sana ke mari di dalam guni. Ah! Celaka haram apa pula ni! Gegaran itu berterusan, menolak jeluak Wahi berdikit-dikit menuju tekaknya. Namun, sepantas ia bermula sepantas itu jualah gegaran itu berakhir. Tenang seketika sebelum...
Eh, ini pergerakan yang beritma. Berbeza daripada tadi. Macam aku sedang dikendong dari titik A ke titik B. Itu Wahi berkata dalam hati, setelah meneliti konsistensi pergerakan tersebut.
Ada bunyi engsel dikangkangkan. Dengan tidak semena-mena, Wahi disedut rakus oleh satu mekanisma aneh ke dalam Lubang 2. Belumpun sempat Wahi mengukuhkan kekuda, seluruh tubuhnya sudah pun menembusi Lubang 2 (aneh, boleh pula tembus walhal lubang itu sebesar 3 jari sahaja) dan menggelongsor melalui satu terowong yang panjang, sangat panjang. Ke kiri, ke bawah, ke kanan, ke bawah. Terlalu lama sampai Wahi naik bosan.
Setelah agak-agak setengah minit perjalanan, Wafi ternampak kelibat satu tompok cahaya sebesar syiling 50 sen. Ah akhirnya, penghujung terowong.
Tapi tidak, dia masih belum mahu keluar. Dengan sedaya upaya Wahi cuba mencapai apa saja pada dinding terowong untuk bertahan tapi ternyata sedutan itu berganda lebih kuat, dan pantas sahaja menghenyak kederatnya. Wahi redha, dia pun sudah habis upaya. Dibiarkan sahaja badannya menggelungsur keluar. Mungkin ada hikmahnya.
Tiba-tiba intervensi! Perutnya menjadi penyelamat super, menjadi deus ex machinanya. Syukur!! Rupa-rupanya ukurlilit perut Wahi tidak melepasi had mulut terowong itu, dan telah menyekat Wahi daripada keluar. Perut Wahi sudah menjadi gabus, yang menyumbat botol wain. Tidak rugi Wahi makan banyak.
Kedua-dua belah kaki Wahi pula sedang terkapai-kapai di luar, menjenguk dunia bebas lepas.
Namun selamat hanya seketika. Setelah berkali digesa tujahan dari atas kepala dan dinding terowong, Wahi akhirnya terpaksa juga menikmati sapaan bayu pada pipinya. Dijenguknya ke kiri, ke kanan, dalam gerak perlahan. Hey, ini pun ok juga. Nafasnya ditarik sedalam boleh, mengalu-alukan aroma alam. Melayan. Melayang. Wahi menutup mata, merapatkan kedua-dua belah tangan dan melabuhkannya ke pipi kiri. Kedua-dua lutut dirapatkan ke dada, kemudian senyum diukir. Senyum sesenyumnya. Bagaikan bermimpi.
Walaubagaimanapun, Wahi, sebagai seorang realis, pantas sahaja sedar dalam realiti jasadnya sedang digesa graviti. Wahi menjenguk ke bawah. Ada satu kolam kecil. Cepat-cepat Wahi membuat satu pusingan mudah lawan arah jam, 2 setengah balik kuang, luruskan badan dan akhirnya menjunam jatuh bersama percikan air minima ke dalam kolam air itu. Wahi pandai berenang tapi dia perlu segera mencari daratan sebab sejuk gila kot air tu, boleh kena hipotermia ni.
Tidak sampai sedetik, deruman air yang sangat banyak jatuh menggila daripada dinding sekeliling Wahi, dan memusarkan air kolam dengan dahsyat sekali. Sedaya upaya Wahi cuba untuk mengapungkan diri tapi gagal kerana pantas sahaja dia semput dan ototnya kejang. Klisenya, pada waktu-waktu sebeginilah baru nak menyesal kerana tak bersenam. Pusaran air menghentam kepala Wahi ke kiri, menghentaknya ke kanan. Hentakan yang kelima pada dinding telah menghalau kesedaran Wahi jauh-jauh.
Wahi membuka mata. Berkemeja merah motif bunga-bunga dan berseluar bermuda tiga suku. Dia sedang terawangan di udara, sedang menjunam laju ke bumi. 3 pusingan balik kuang terbalik seterusnya Wahi sudah melutut cantik di sebuah pulau kecil dgn sebatang pokok kelapa di tengah. Seorang gadis genit bertempurung kelapa di payudara dan berskirt daun kelapa sedang menari hula di puncak pokok kelapa. Syurga?
7 Responses to guni
peh, awalnya aku predict ini situasi dalam perut ibu tapi endingnya lain plak . kahkahkahkah
keguguran membawa wahi ke sorga...
oh tidak. kamu berdua silap, sila cuba lagi.
wahi itu TAHI...!
oh tidak. ini memang proses nyahtinja
tapi wahi bukan tahi, cuma dalam keperluan cerita dia tiba2 sahaja berada dalam perut seseorang
nais!
keh
keh
Post a Comment