Zine Lelaki A

Pada zaman dahulu, tak ada dahulu sangatlah, mungkin awal 90an, ada seorang lelaki bernama A yang bukanlah siapa-siapa pada siapa-siapa. Betul-betul nobody. A suka menulis. Walaupun sampah, beliau tulis dan tulis juga. Tak pernah berhenti. Itu saja kemahiran yang beliau ada.

Nak dijadikan cerita, suatu hari, A teringin nak bikin zine. Dia buat zine bukan nak duit sangat, sekadar nak bagi orang tahu apa yang dia tulis dalam tulisan dia, nak kongsikan apa dia rasa dan fikir dengan semua orang, nak bagi tulisan pergi jauh katanya. Bukan A tak tahu berblog; satu medium pantas, mudah, murah dan meluas untuk menulis, tetapi memang dia tidak tahu. Tak pernah dengar.

Jadi bermulalah misi A untuk membikin zine solo dan pertamanya. Disebabkan A cuma tahu menulis guna pen atas kertas sahaja, A salin balik semua tulisan karyanya yang dah ada dalam buku latihan sekolah ke atas helaian kertas-kertas kosong A4. Untuk kulit kaver dan grafik-grafik menyerikan zinenya, A guna kaedah mudah gunting dan tampal. A tak tahu photoshop. Gunting gambar apa-apa dekat surat khabar lama yang macam menarik, tampal dekat zine dia. Siap. Ada bekas-bekas gam yang comot, tapi mesti tak nampak bila dah fotostat. Maka bergeraklah A berjalan kaki bersama deru-deru angin yang mengibas helaian rambutnya ke kedai fotostat Ah Hong. Hatta, A pun cetaklah zine dia. Adalah dalam 30 naskah. Hitam dan putih, tanpa warna. Kalau cetakan berwarna lagi mahal, duit tabung A tak mampu tanggung.

Lepas semua urusan cetak mencetak bayar-membayar tawar-menawar dekat kedai Ah Hong selesai, duduklah A menjual zine di tepi jalan yang dia rasa ramai orang lalu-lalang, sambil baca kuat-kuat tulisan dalam zinenya. A tak rasa malu langsung. Apa dia tulis, dia baca dengan penuh perasaan. Kadang-kadang menjerit-jerit.

Hari pertama, orang tak kisah langsung pasal A dan zinenya. Tak kisah, tak perasan dan tak beli. Semua orang lalu buat tak tahu macam dia beg plastik tepi jalan. Siap ada yang terlanggar lagi. Tersungkur A jatuh.

Hari kedua, adalah seorang budak perempuan 8 tahun yang duduk tengok si A berpuisi sambil makan lolipop. Peminat pertama mungkin. A segan juga, tapi dia teruskan membaca zinenya bahkan lebih bersemangat.

Hari ketiga, budak perempuan semalam tu datang lagi bawa member dia, juga perempuan, tengok si A bercerita/ berpuisi. Dah ada dua orang peminat, bisik hati si A.

Hari keempat, budak perempuan tu bawak mak dia pulak. Risau A. Risau pertama, mak budak ni mesti nak bantai dia. Risau kedua, mak budak ni mungkin sukakan dia. Mak budak ni boleh tahan ayunya. Tapi itu lebih kepada perasan sendiri. Risau pertama lebih releven. Tiba-tiba, budak perempuan tu buka mulut, "Mak, adik nak buku orang tu jual. Belikan boleh?". Punya terkejut si A. Risaunya musnah, ganti perasaan teruja. Bukan main hepi lagi. Walaupun sekadar budak, tapi budak tu akan baca zine tulisan dia. Wow!

Hari-hari seterusnya A makin galak berpuisi sambil menjaja zinenya. Makin hari-makin ramai yang berkerumun. Makin ramai berkerumun makin ramai yang membeli. A terpaksa mencetak lagi 30 naskah. Dan 30 naskah. Dan bernaskah-naskah. Orang ramai sukakan tulisan A. Mereka terhibur dengan A. Puisi A dekat di hati mereka. Tepukan paling gemuruh dihadiahkan sebaik sahaja A selesai berpuisi. A akhirnya menjadi seseorang pada semua orang.

***
Hari ini hari Sabtu. Sarah, budak perempuan lapan tahun yang sukakan lolipop berjalan keluar dari rumah, berpimpin tangan dengan emaknya. Hari ini mereka berdua nak menghabiskan waktu petang yang bagus-bagus sahaja suasananya dengan sesuatu yang istimewa. Sesampai mereka sampai di tepi sebuah jalan, manusia-manusia dah pun mula bersemut. Masing-masing memegang senaskah zine di tangan. Lelaki dan perempuan. Tua dan muda. Melayu dan Cina. Hindu dan Kristian. Sarah dan emaknya berhimpit mencelah masuk ke dalam himpunan orang ramai. Dahulu, dalam beberapa bulan yang lepas, ada seorang lelaki yang menjaja zine tulisannya sambil berpuisi di sini. Sarah ialah pembeli pertamanya. Sekarang lelaki itu dah lama hilang. Tak tahu mengapa dan bagaimana. Sarah dengar khabar lelaki itu jatuh sakit dan meninggal. Entah betul entah tidak. Tak pasti.

Hari ini hari Sabtu, dan biasanya setiap hari Sabtu orang ramai di kawasan itu akan berhimpun di tepi jalan yang sama, bergilir-gilir membaca puisi dan tulisan yang tercoret di dalam senaskah zine yang dimiliki mereka semua. Zine lelaki A.