Organik Organ [Kispen Satira KontrolHisteria]
Bir. Cinta. Dendam. Nafsu. Benci. Senggama. Manusia. Falsafah. Rasionaliti. Segalanya menjadi satu bullshit jika difikirkan sekaligus. Membuatkan aku gusar, risau, kucar-kacir, serabut dan serabai. Berteleku aku duduk di tengah keramaian mencari sesuatu yang aku rasa dapat memberi sedikit keindahan. Keindahan dalam kepuasan. Kepuasan dalam kehidupan. Kehidupan dalam jasad. Jasad yang membaluti roh. Roh yang sentiasa menginginkan sesuatu, yang sentiasa lapar dan dahagakan sesuatu yang bukan milikku.
Aku tertanya-tanya, samada aku patut lakukan ini, buat entah yang keberapa kali atau tidak. Aku punya dia, aku punya ia. Aku punya itu, aku punya ini. Katakan apa sahaja, segalanya aku sudah miliki. Perempuan? Kereta? Jam tangan? Pakaian? Rumah mewah? Anak-anak? Binatang peliharaan? Pulau? Tasik? Tanah? Bahkan kalaulah langit itu berharga, nescaya aku juga mampu milikinya. Cuma yang ini, yang satu ini, yang membuatkan diriku rasa tidak lengkap walau ke mana sahaja aku pergi.
Kilang pemprosesan baja organik yang kumiliki itu, semuanya ada sebabnya. Mudah dan senang aku membersihkan segala. Bunuh? Aku? Pembunuh? Mayat? Jika kalian sangka aku yang membunuh dan meletakkan mayat di samping bahan-bahan organik untuk memproses baja itu, kalian salah. Benar-benar salah. Bukan, bukan. Aku bukan pembunuh. Aku pembersih dan peng-imarah bumi. Setiap yang kulakukan segalanya punya niat yang alami.
Setiap kali aku duduk di sini, aku tertanya-tanya. Soalan yang sama sentiasa menjengah. Kenapa perlu aku berada di sini? Kenapa aku perlu wujud di dunia ini? Dan kenapakah aku antara manusia yang sedar akan hal ini, akan tugas meng-imarahkan bumi ini? Kenapa manusia lain yang sentiasa mengkucar-kacirkan dunia ini tidak sedar yang mereka harus sentiasa melakukan itu-ini yang tidak merosakkan bumi? Kasihan aku lihat pokok-pokok. Kasihan aku lihat binatang-binatang. Habitat flora dan fauna kian pupus sepertimana Dodo dan Unikorn yang pupus dek manusia yang tamak haloba dalam merancang kehidupan.
Memang itu semua bukan salah manusia, tidak. Manusia hanya fikir mereka harus terus hidup walaubagaimana shittypun kehidupan mereka. Tanpa memikirkan alam sekitar, mereka penuhi hawa nafsu dengan memburu pelbagai binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan eksotik yang bagi mereka adalah patut mereka miliki. Apa kurangnya aku dengan mereka? Aku memberi tempat dan habitat untuk flora dan fauna ini diami. Pulau yang aku katakan aku miliki tadi? Pulau yang seluas sejuta hektar itu? Semua daratnya aku tumbuhkan ia dengan tumbuhan yang disenaraikan akan pupus paling tidak lebih kurang tiga tahun lagi. Semua pelusuknya aku lepas bebas binatang yang disenaraikan hampir pupus paling tidak lebih kurang 10 tahun lagi.
Iya, aku biarkan sahaja mereka lepas bebas, memanjat ekosistem dengan rantai makanan mereka yang tersendiri, tanpa harus diganggu oleh manusia sepertimana mereka hidup lepas bebas di habitat-habitat mereka yang terdahulu. Pulau yang aku biarkan ianya tanpa orang, tanpa manusia, hanya aku dan beberapa saintis pembiakan lain yang kupercayai dapat memegang rahsia aku sahaja yang aku benarkan duduk di situ, di dalam kabin eskapee yang aku minta arkitek khas aku binakan untuk aku.
Habis, habis. Manusia ini manusia binatang. Aku sudah nampak apa perlu aku lakukan hari ini. Aku sudah nampak apa tujuan aku keluar hari ini. Target aku sudah memunculkan diri. Laju aku menaip pesanan ringkas dan hantarkan kepada sebuah nombor yang aku gunakan untuk khidmat-khidmat sebegini. Sampai hati dia membiarkan kucing itu kelaparan? Sampai hati dia menolak kucing yang meminta-minta itu ke bawah lantai? Paling teruk lagi, ditendangnya kucing itu agar menjauhkan ekor darinya? Satu tidak apa lagi, kerana kucing itu boleh cari manusia lain yang lebih murah hati daripada manusia ini. Akan tetapi, masuk kali ini sudah lebih lima ekor anjing dan kucing meminta sedekah dari manusia ini.
Kalian sangka dia manusia biasa seperti kalian? Tidak. Dia manusia peminta sedekah yang aku selalu lihat dan ekori ke mana-mana. Berjalan dengan pasangannya, berjalan dengan anaknya, berjalan dengan entah siapa-siapa lagi meraih simpati kepada manusia-manusia lain di kedai-kedai makan dan minum yang entah dari mana-mana dan entah di mana-mana. Sombong, takabbur dengan kejadian diri. Sudahlah dia itu cacat dari segala segi, kemudian sombong pula dengan kejadian-kejadian Ilahi. Ini tidak boleh jadi. Manusia seperti inilah yang makin merosakkan bumi.
Kulihat seorang lelaki datang menyapanya. Lelaki yang aku tidak kenali. Manusia itu lantas bangun, dengan penuh terpinga-pinga dan senyuman terkejut, mengekori lelaki yang entah datang dari mana-mana itu. Aku bangun dari letakduduk aku, lalu aku ekori mereka berdua. Dari berjalan kaki berubah ke kereta, dari kereta berubah ke motosikal, dan dari motosikal berubah dengan bot. Lelaki yang aku tidak kenali yang menyapa manusia itu adalah lelaki upahan lelaki yang diupah aku. Jalan yang dilaluinya adalah jalan yang ditetapkanku. Lalu akhirnya mereka akan sampai ke sebuah bilik chalet yang bersih, teratur dan kemas lengkap dengan pembantu-pembantu dan penghibur-penghibur.
Manusia-manusia durjana ini aku jamu dengan makanan-minuman mewah, biar lupa dunia, lupa akhirat. Yang buta mata aku sajikan dengan hiburan seni-suara, manakala yang cacat anggota aku sajikan dengan hiburan seni-tari. Seks dan apa entah lagi yang menggabungkan lelaki dan perempuan atau lelaki dan lelaki atau perempuan dan perempuan atau manusia dan binatang aku tidak syorkan dan aku tidak akan galakkan di sini. Di tempat ini. Tempat penyucian suci bersih ini. Selesai mereka berhibur dan kepenatan lantas ketiduran, aku biarkan seorang penghukum yang sentiasa bertukar-tukar rupa menyembelih manusia-manusia ini dalam keadaan mereka tidak bersedia. Dalam tidur, roh mereka diangkat menghadap Tuhan.
Biar mereka tahu, apa itu Syurga sebenar bagi manusia-manusia celaka macam mereka. Leher yang disembelih tadi kemudiannya dipisahkan dengan badan, dihancurkan kepala itu lumat-lumat. Serpihan-serpihan tulang dipisahkan dari kepingan daging hancur lumat dan diberi jin-jin bersantap. Daging-daging kepala hancur lumat dihancur lagi dengan mesin kisar dan ditanam bersama tumbuh-tumbuhan. Badan yang terasing tadi orang aku masukkan ke dalam mesin kisar besar, bersama bahan-bahan organik pemprosesan baja. Lalu badan itu akan hancur lumat bersama-sama baja organik yang kemudiannya diedarkan ke pasaraya-pasaraya besar yang lain, buat menyerikan lagi hasil tanaman dan pembiakan petani dan peladang semuanya.
Jika tidak, mana lagi kilang seperti aku dengan baja yang popular kerana sentiasa dipastikan dapat menyuburkan tanaman? Sudah tentu dengan resepi baja yang ini. Selain fosforus, sulfur, magnesium, potassium dan nitrogen, aku sertakan sekali dengan kalsium, protein dan zat-zat besi yang lain. Kalian tidak percaya? Lawati sendiri kilang-kilang pemprosesan baja dan tanyai pengurus-pengurus kilang tersebut apa rahsia di sebalik resepi mereka. Jika mereka teragak-agak menjawab persoalan, bermakna mereka juga menggunakan resepi yang sama seperti aku.
Kalian katakan aku manusia durjana? Apa yang kalian peduli dengan kehilangan manusia peminta sedekah cacat anggota?
dipetik dari web KontrolHisteria : http://kontrolhisteria.blogspot.com/2012/06/organik-organ.html
Post a Comment