Cerita tentang buku : P. Ramlee Yang Saya Kenal.

Tajuk: P Ramlee Yang Saya Kenal 
Penulis: Yusnor Ef 
Penerbit: Pelanduk Publications (M) Sdn Bhd. 
Tahun: 2000 
ISBN: 967-978-752-4


Buku ini bagi aku adalah buku mengenai P. Ramlee yang paling menarik pernah aku baca selepas Bapaku P. Ramlee oleh Nasir P. Ramlee dan buku Sepanjang Riwayatku terbitan Arkib Negara Malaysia yang banyak memuatkan foto foto P. Ramlee. Buku P. Ramlee Yang Saya Kenal ini ditulis oleh Yusnor Ef, seorang cikgu yang meminta P. Ramlee mengajarnya menulis skrip filem. Awal perkenalan penulis dan P. Ramlee, dia terpaksa menunggu sampai jam 12 tengah malam untuk belajar dengan P. Ramlee di rumah, kerana biasanya P. Ramlee pulang lewat daripada studio. Sampai lah jam 2 atau 3 pagi mereka belajar, dan P. Ramlee sentiasa bersedia untuk mencurahkan segala ilmu yang ada padanya. 

Ditulis oleh seorang murid mengenai gurunya, Yusnor sering menceritakan bagaimana P. Ramlee memperoleh idea ideanya yang kebanyakannya datang secara spontan seperti tajuk skrip Syaitan Ke Syurga yang tiba tiba terpacul daripada mulut P. Ramlee sewaktu mereka berdua sedang menyiapkan skrip tersebut. Malangnya skrip ini menjadi milik Dhiresh Gosh yang kemudiannya menjadikannya filem dengan tajuk Dajal Suchi. Malah ada juga diceritakan bagaiman P. Ramlee tergesa gesa naik ke atas dan tidak lama kemudian terus menuju ke pianonya memainkan beberapa rangkap lagu. Katanya waktu berak tadi dia dapat ilham. Malah nama pena penulis Yusnor Ef juga P. Ramlee yang berikan padanya, nama asal penulis adalah  Mohd Nor bin Mohd Yusofe.

Penulis juga ada menyelitkan sedikit cerita mengenai ilmu batin P. Ramlee, sepertimana yang diceritakan oleh Nasir dalam buku Bapaku P. Ramlee. P. Ramlee memanggil Nasir dan menekan di beberapa bahagian tubuhnya sebelum bertanya samada penulis (Yusnor Ef) benar benar ikhlas datang belajar.

Kata penulis, disamping berbincang skrip ada juga masanya beliau memikirkan sesuatu yang aneh dan diberitahu kepada penulis, antaranya kata beliau,

"Abang nak buat bisnes"

"Bisnes apa bang?"

"Jual pisau cukur, semua orang lelaki mesti perlu pisau cukur, tentu kita jadi taukeh pisau cukur"

P. Ramlee adalah seorang kawan kepada semua orang di sekelilingnya. Sifat suka bergurau P. Ramlee amat disenangi teman temannya. Cerita penulis, pernah suatu hari ketika dia sedang belajar di rumah P. Ramlee ada beberapa orang masjid datang ke rumah meminta derma untuk membuat sambutan majlis maulid nabi. P. Ramlee tanpa teragak agak memberikan derma sebelum berkata "Jangan lupa hantar nasi beriani ya...jangan marah aaaa"

Terasa mahu tulis seluruh isi buku tersebut di sini kerana pengalaman Yusnor Ef bersama P. Ramlee sememangnya menarik dan banyak yang kita boleh pelajari daripadanya. Aku kongsikan satu kertas kerja yang ditulis sendiri oleh P. Ramlee

KERTAS KERJA

Untok: SEMINAR KEBUDAYAAN MELAYU-SINGAPURA (1962)

FILM
Oleh: P. Ramlee A.M.N

1. Film, adalah satu alat yang memegang peranan penting sisi-sisi masharakat.

2. Sifat-nya, ibarat gadis yang berkechimpong di-alam maya

(a) Ada yang chantek
(b) Ada yang burok
(c) Ada yang sederhana
     Dan masing masing mempunyai marwah yang tersendiri

(a) Ada yang chantik bermarwah rendah
(b) Ada yang chantik bermarwah tinggi.
(c) Ada yang burok bermarwah rendah.
(d) Ada yang burok bermarwah tinggi.

3. Peribadinya, ibarat penchipta,

Iaitu, menyatakan perkara perkara yang ada dan mengadakan perkara perkara yang tiada.

(a) Film Scientific
(b) Film Hantu Shaitan
(c) Film Tahyul

4. Nasibnya, ibarat hamba yang patuh.

5. Tanggong-nya, ibarat makanan yang memenuhi segala selera

(a) manis
(b) pahit
(c) masam

8. Kesimpulannya.

Film, ibarat kain puteh yang berseh
kalau diwarnakan merah, maka merah lah dia
kalau diwarnakan hijau, maka hijau lah dia.

kain puteh banyak gunanya,

(a) Pelukis mewujudkan lukisan-nya
(b) Pak Haji membuat serban
(c) Mak Haji membuat telekong
(d) Tukang kapan mengapankan mayat
(e) Soldadu yang kalah menjadikan bendera menyerah.

Sebagaimana banyak gunanya kain puteh untok keperluan masharakat,
demikian pula banyak guna-nya film untuk santapan rohani masharakat.

oooooOOOooooo

ARR/DPT
Di-taip di Dewan Pustaka Tuah
No 32B, Great Eastern Park.


No 6. dan 7 tidak kelihatan dalam buku, dan kertas kerja ini sebenarnya ada terselit bermacam macam catatan tambah P. Ramlee yang membentangkannya ketika itu. Buku ini memang betul betul berbaloi untuk dibaca, malah boleh dianggap sebagai satu hiburan, aku ketawa membaca beberapa momen penulis bersama P. Ramlee dalam buku ini.

Di mana boleh beli buku ini aku tidak pasti, tapi rajin rajin lah ke perpustakaan negeri atau universiti, kedai buku bundle ataupun pasar malam yang ada menjual buku buku lama.


by zoul yazix, Saturday, 9 June 2012