Stimulasi atau Metamorfosis


panas betul tengahari ni. tekak rasa kering, perut rasa lapar benar. kelopak mata pula rasa berat semacam ada beban yang menekannya turun. menunggang motosikal dalam kondisi ini boleh mengundang kecelakaan. aku buat brek kecemasan apabila melintas di depan kedai mamak. kurang dari tiga puluh seken, aku sudah berada dalam kedai mamak tersebut.

tanpa berlengah, aku menuju ke bahagian nasi dan lauk. astaga! ramai sangat pelanggan sedang beratur. barisan yang terhasil melimpah keluar dari dalam kedai sampai ke blok bangunan bersebelahan dan kini aku berada paling belakang dalam barisan. benar kata orang, penantian adalah suatu penyiksaan. aku sempat tumbuk dinding tanda protes sebelum pandangan jadi gelap secara total.

sedar-sedar, aku nampak kedai mamak itu lengang. ah, ini situasi yang jarang terjadi di sebuah kedai mamak. mana pergi semua pelanggan? keadaan kedai juga nampak berselerak dan agak huru-hara. seorang mamak datang memberi penjelasan. dia cakap, tadi aku pengsan sebelum berstimulasi menjadi makhluk yang besar berwarna biru turkois. seorang lagi mamak datang mencelah dan cuba membetulkan penjelasan kawannya. dia cakap, tadi aku bermetamorfosis menjadi hulk versi biru turkois dan makan semua pelanggan yang sedang beratur. yasmeen arau jadi kecoh gara-gara aku, katanya.

aku tarik nafas dalam-dalam sebelum menampar kedua-dua orang mamak tersebut. kenapa syirik sangat penjelasan mereka? hulk versi biru turkois? mengarut betul. lagi pun, mana ada hulk makan orang. pekan arau terasa sunyi sekali. selepas mengalihkan kerusi dan meja yang berselerak, aku melangkah keluar dari kedai mamak itu. oh ya, sebelum itu aku sempat pekena nasi kandar beserta teh o ais dengan harga lapan ringgit dua puluh sen. tengahari yang aneh, kata mereka. kata aku, biasa lah tu harga kedai mamak. 

dua orang mamak tadi sengaja bikin aku panas. aku masuk ke pasaraya c-mart bagi meredakan kepanasan. sedap juga pekena udara sejuk pendingin hawa dengan perut kenyang begini.