Reviu: Mannequin Marionette dan Bulatan Yang Terlekuk


Mannequin Marionette
Aku mulakan pembacaan zine Mannequin Marionette oleh M. Faiz Syahmi a.k.a Peddo di bahagian reviu buku. Smash yang bertalu-talu kepada penulis buku, perekaletak dan penerbit buku agak menikam kalbu jugaklah, tapi kedengaran ikhlas. Aku sifatkan penulis lebih kepada mengkritik berbanding mengutuk. Jadi, kepada sesiapa yang terkena penangan molotov cocktail dari Peddo, semoga kritikan beliau dapat memberikan impak positif.

Bebayang Homles Buruk Busuk muncul sebagai pembuka gelanggang. Ia (mungkinlah) menggambarkan perasaan insekur penulis terhadap masa depannya tapi aku berpendapat perasaan ini normal bagi sesiapa saja untuk perkara yang tak pasti. Kebetulan aku baru lepas membaca Suicide dari Eduoard Léve di mana dalam salah satu babak, watak utama dalam novel itu turut melihat dirinya yang berkemungkinan memilih jalan hidup sebagai ‘homeless’ kerana bosan dengan rutin hidup yang semakin menekan tatkala bertembung dengan seorang gelandangan di dalam sebuah tren.

Zine dengan 104 mukasurat ini memang berbaloi dimiliki kerana ia lebih tebal berbanding ketebalan zine standard tapi harganya tetap dengan harga zine yang biasa kita jumpa, RM5. Selain reviu buku, ada juga himpunan certot, kispen, puisi, monolog dan kwot. Secara personal, aku kurang gemar dengan certot-certot yang dihidangkan seperti Awan Temujanji sebab metaforanya terasa macam baru nak melahap ayam goreng yang sedap tiba-tiba ayam tu jatuh tergolek atas lantai.  Perisa rempah ratus tak sempat pun nak bersenggama dengan reseptor lidah. Dan aku masih tercari-cari apa mesej yang ingin disampaikan atau mungkin aku sendiri yang buta menghayati seni certot.

Tapi kispen-kispen Peddo berjaya menebus kebosanan aku terhadap certotnya seperti Setiakawan Yang Binatang (kispen kesukaan aku), Misled Ke Futura dan Vaporisasi Adiksi Adiktif.Walaupun Peddo ada menyatakan dia sendiri kurang gemar dengan istilah Inggeris yang dimelayukan tetapi itu tak bermakna dia tidak cuba bereksperimentasi dengan menggunakan istilah yang dimaksudkan. Aku jumpa banyak juga istilah sebegini yang digunapakai, antaranya muvmen, trafiklite, indesens dan kongker. Penulis mungkin cuba bersarka bila kispen yang bertajuk Misled Ke Futura itu sendiri menggunakan istilah inggeris yang dimelayukan sebagai tajuk, sebaliknya dialog di antara watak Shaiful dan Burhan Pancasuria adalah dalam bahasa Melayu yang kedengaran seperti dialog filem-filem Melayu yang berkisar di zaman Kesultanan Melayu Melaka berlatarkan tahun 2032. Begitu juga penerangan tentang sistem pemerintahan ketika itu, kerajaan, sosio budaya hidup dan carakerja masyarakat masa depan yang digambarkan dalam bentuk glory from the past. Menarik!  

Di celahan certot dan kispen, ada puisi dan monolog yang kebanyakannya lebih bersifat personal. Aku syak ia ditulis ketika penulis sedang berperang dengan emosinya sendiri. Zine ini diakhiri dengan Bukan Quote Dari Mana-Mana Buku (atau dengan kata lain, ini kwot dari penulis sendiri) yang kalau kau familiar, kebanyakannya pernah terpapar di timeline Facebook penulis. Baca dan hadamkan. Aku tak pasti zine ini masih ada lagi ke tak stoknya, tapi boleh saja hubungi penulis sendiri di nurel.imann@gmail.com atau zinesatumalam@gmail.com.


Bulatan Yang Terlekuk (BYT)
Pertama kali aku dapat tahu tentang tajuk zine sulung Luc Abdullah di bawah Kerat Studio ini, aku sangkakan ‘Bulatan Yang Terlekuk’ itu bermaksud hati yang aku sinonimkan dengan kasih sayang dan cinta, tapi nampaknya sangkaan aku kurang tepat. Jadi aku sarankan kau jangan skip bahagian yang biasanya orang sebut ‘intro’ atau prakata kerana penulis ada menerangkannya dengan jelas di situ.

Seawal pengenalan lagi , penulis telah menekankan BYT adalah suatu dedikasi dalam bentuk himpunan karya yang menghampiri peribadi. Bagi aku, penulisan yang mampu meninggalkan kesan di hati pembaca adalah bila mana penulis berani membogelkan sebahagian atau keseluruhan latar dirinya ke dalam karya penulisannya. Bagi yang ingin berkenalan dengan Luc Abdullah manusia misteri ini dengan lebih dekat, BYT ini aku anggap adalah suatu percobaan penulis membogelkan ‘sedikit’ tentang dirinya. Sebab apa aku cakap macam ni? Sebab dalam BYT, ada buah tangan berbentuk lakaran lukisan dan tulisan tangan penulis, koleksi foto peribadi dan catatan berbentuk travelog yang secara tak langsung memperkenalkan pembaca dengan negeri kelahiran penulis. Penulis juga bereksperimentasi buat pertama kalinya dengan titipan puisi-puisi yang mana aku rasa sangat-sangat dengki bila membacanya. Kalau cubaan pertama dah buat aku rasa dengki, kau bayangkan saja apa agaknya yang akan terjadi kalau suatu hari nanti penulis rilis sepenuhnya buku antologi puisinya? Aku bunuh jugak kau, Luc!

Kalau kau membaca BYT dan tiba-tiba kau terasa tekak kau tersangkut, pedih atau semacam ada serangga menggigit biji mata, ini mungkin kerana kau jenis spesis yang cepat emosi atau secara positifnya karya penulis telah berjaya main sentuh-sentuh hati kau lalu terkesan. Lupakan drama Korea atau telenovela yang melampau melodramatik itu sebab aku berpendapat coretan fiksyen (yang mungkin juga fusion dari kisah benar) yang digarap kemas dan longgar oleh Luc Abdullah tidak kelihatan desperate atau terlalu beriya-iya dalam merobek-robek hati pembaca sehingga kelihatan tidak logik seperti drama-drama di kaca tivi.


Mungkin akan ada yang menganggap aku bias dalam mereviu sebab penulis sendiri adalah rakan komrad dalam Kerat Studio. Itu terpulanglah pada kau tapi kali ini aku tak mampu lagi nak mengkritik karya sesiapapun secara ‘tanpa-belas’.

Satu je yang aku tak puas hati dengan BYT ni, tajuk setiap kispen dan certot adalah dalam bahasa makhluk asing. Aku sangkakan ia bahasa Braille lalu dengan gigih aku cuba decode, malangnya ia bukan Braille. Hahaha... Mungkin kalau kau juga spesis gigih, kau dapat meneka tajuk setiap kispen dan certot dalam zine ini yang masih kekal menjadi misteri nusantara bagi aku.

Himpunan kispen, puisi, kispen, certot, monolog dan catatan yang dikompakkan ke dalam zine setebal 60 mukasurat ini berharga RM5 dan boleh didapati dengan menghubungi keratstudio@gmail.com.