Reviu: Mannequin Marionette dan Bulatan Yang Terlekuk
Mannequin Marionette
Aku mulakan pembacaan zine Mannequin Marionette oleh M. Faiz Syahmi a.k.a Peddo
di bahagian reviu buku. Smash yang bertalu-talu kepada penulis buku,
perekaletak dan penerbit buku agak menikam kalbu jugaklah, tapi kedengaran
ikhlas. Aku sifatkan penulis lebih kepada mengkritik berbanding mengutuk. Jadi,
kepada sesiapa yang terkena penangan molotov cocktail dari Peddo, semoga
kritikan beliau dapat memberikan impak positif.
Bebayang
Homles Buruk Busuk muncul sebagai pembuka gelanggang. Ia (mungkinlah) menggambarkan
perasaan insekur penulis terhadap masa depannya tapi aku berpendapat perasaan ini
normal bagi sesiapa saja untuk perkara yang tak pasti. Kebetulan aku baru lepas
membaca Suicide dari Eduoard Léve di mana dalam salah satu babak, watak utama
dalam novel itu turut melihat dirinya yang berkemungkinan memilih jalan hidup sebagai
‘homeless’ kerana bosan dengan rutin hidup yang semakin menekan tatkala bertembung dengan seorang gelandangan
di dalam sebuah tren.
Zine dengan 104 mukasurat ini memang berbaloi
dimiliki kerana ia lebih tebal berbanding ketebalan zine standard tapi harganya tetap dengan harga zine yang biasa kita jumpa, RM5. Selain reviu buku, ada juga himpunan certot, kispen, puisi, monolog dan kwot.
Secara personal, aku kurang gemar dengan certot-certot yang dihidangkan seperti
Awan Temujanji sebab metaforanya terasa macam baru nak melahap ayam goreng yang sedap tiba-tiba ayam tu jatuh tergolek atas lantai. Perisa rempah ratus tak sempat pun nak bersenggama dengan reseptor lidah. Dan aku masih tercari-cari apa mesej yang
ingin disampaikan atau mungkin aku sendiri yang buta menghayati seni certot.
Tapi kispen-kispen Peddo berjaya menebus
kebosanan aku terhadap certotnya seperti Setiakawan Yang Binatang (kispen kesukaan
aku), Misled Ke Futura dan Vaporisasi Adiksi Adiktif.Walaupun Peddo ada
menyatakan dia sendiri kurang gemar dengan istilah Inggeris yang dimelayukan
tetapi itu tak bermakna dia tidak cuba bereksperimentasi dengan menggunakan
istilah yang dimaksudkan. Aku jumpa banyak juga istilah sebegini yang
digunapakai, antaranya muvmen, trafiklite, indesens dan kongker. Penulis mungkin
cuba bersarka bila kispen yang bertajuk Misled Ke Futura itu sendiri menggunakan
istilah inggeris yang dimelayukan sebagai tajuk, sebaliknya dialog di antara watak Shaiful dan
Burhan Pancasuria adalah dalam bahasa Melayu yang kedengaran seperti dialog
filem-filem Melayu yang berkisar di zaman Kesultanan Melayu Melaka berlatarkan
tahun 2032. Begitu juga penerangan tentang sistem pemerintahan ketika itu, kerajaan, sosio budaya hidup dan carakerja masyarakat masa depan yang digambarkan dalam bentuk glory from the past. Menarik!
Di celahan certot dan kispen, ada puisi dan
monolog yang kebanyakannya lebih bersifat personal. Aku syak ia ditulis ketika
penulis sedang berperang dengan emosinya sendiri. Zine ini diakhiri dengan
Bukan Quote Dari Mana-Mana Buku (atau dengan kata lain, ini kwot dari penulis
sendiri) yang kalau kau familiar, kebanyakannya pernah terpapar di timeline
Facebook penulis. Baca dan hadamkan. Aku tak pasti zine ini masih ada lagi ke tak stoknya, tapi boleh saja hubungi
penulis sendiri di nurel.imann@gmail.com atau zinesatumalam@gmail.com.
Bulatan Yang Terlekuk (BYT)
Pertama kali aku dapat tahu tentang tajuk zine
sulung Luc Abdullah di bawah Kerat Studio ini, aku sangkakan ‘Bulatan Yang
Terlekuk’ itu bermaksud hati yang aku sinonimkan dengan kasih sayang dan cinta,
tapi nampaknya sangkaan aku kurang tepat. Jadi aku sarankan kau jangan skip
bahagian yang biasanya orang sebut ‘intro’ atau prakata kerana penulis ada
menerangkannya dengan jelas di situ.
Kalau kau membaca BYT dan tiba-tiba kau terasa tekak kau tersangkut, pedih atau semacam
ada serangga menggigit biji mata, ini mungkin kerana kau jenis spesis yang
cepat emosi atau secara positifnya karya penulis telah berjaya main sentuh-sentuh hati kau lalu terkesan. Lupakan drama Korea
atau telenovela yang melampau melodramatik itu sebab aku berpendapat coretan
fiksyen (yang mungkin juga fusion dari kisah benar) yang digarap kemas dan longgar oleh Luc
Abdullah tidak kelihatan desperate atau terlalu beriya-iya dalam merobek-robek
hati pembaca sehingga kelihatan tidak logik seperti drama-drama di kaca tivi.
Mungkin akan ada yang menganggap aku bias dalam mereviu sebab
penulis sendiri adalah rakan komrad dalam Kerat Studio. Itu terpulanglah pada
kau tapi kali ini aku tak mampu lagi nak mengkritik karya sesiapapun secara ‘tanpa-belas’.
Satu je yang aku tak puas hati dengan BYT ni, tajuk
setiap kispen dan certot adalah dalam bahasa makhluk asing. Aku sangkakan ia
bahasa Braille lalu dengan gigih aku cuba decode, malangnya ia bukan Braille.
Hahaha... Mungkin kalau kau juga spesis gigih, kau dapat meneka tajuk setiap kispen
dan certot dalam zine ini yang masih kekal menjadi misteri nusantara bagi aku.
Himpunan kispen, puisi, kispen, certot, monolog
dan catatan yang dikompakkan ke dalam zine setebal 60 mukasurat ini berharga
RM5 dan boleh didapati dengan menghubungi keratstudio@gmail.com.
2 Responses to Reviu: Mannequin Marionette dan Bulatan Yang Terlekuk
Terima kasih abang dark.. awwwww
Astaga, mati mati aku ingat bahasa Braille jugak...ish
Post a Comment