Review : My Name is Red.

"To God belongs the East and the West." - Al Baqarah, 115. (Al-Quran)



Jika ada orang datang kepada saya dengan dua buah buku tulisan Orhan Pamuk, Snow dan My Name is Red dikedua belah tangannya sambil menanyakan mana satu yang lebih baik, saya akan kata, "Dua-dua membawa magik yang tersendiri."

Jika Snow membawa kita ke perkampungan Kar pada zaman revolusi, My Name is Red adalah pengembaraan ke zaman kegemilangan Turki Uthmaniyyah dimana Sultan menjadi "Bayang-bayang Tuhan", para ulama dan "Hoja", dervishes (para sufi), janissari (Unit ketenteraan Elit), dan seni lukisan yang dikira sebagai satu penjalangan kepada tauhid islam.

Buku ini adalah gabungan kesenian Islam, Barat, Mistikisme, falsafah, sejarah kebangkitan dan kejatuhan Turki Uthmaniyyah, mitos, pengembaraan roh selepas mati (seperti yang ditafsir Al-Ghazali), dan terselit juga kisah cinta (dan seks) antara dua watak utama, Black, dan Shekure.

Plotnya tentang sekumpulan seniman dan pelukis yang telah diarahkan oleh Sultan untuk membuat satu koleksi lukisan yang paling ideal, yang akan dapat mengungkap kegemilangan Kerajaan Islam itu untuk mereka persembahkan kepada orang-orang Eropah. Krisisnya bermula apabila salah seorang daripada mereka, Elegant Effendi, telah ditemui mati didalam perigi dengan cara yang amat kejam.

Membaca My Name is Red adalah seperti membaca satu koleksi diari, kerana setiap chapter bermula dengan  "I am Black" atau "My Name is Shekure." Ceritanya mengikut kronologi tetapi diceritakan daripada persepktif mereka yang tersendiri. Lebih menarik lagi, Orhan Pamuk memberi "suara" kepada objek-objek yang tidak hidup (seperti pokok, duit syiling) dan abstrak (seperti Kematian, Syaitan) untuk mereka luahkan perasaan dan apa yang mereka lihat dan fikir sepanjang penceritaan. Chapter yang pertama, "I am a Corpse" sudah cukup untuk mengajak saya larut didalam tulisannya dan membiarkan saya lemas, tidak keluar-keluar. Yalah, buku mana lagi yang mempunyai mukadimah yang sebegitu radikal?

Monolog si pembunuh, atau "murderer" juga diberi peluang untuk berkata-kata disini. Apabila membaca, ia telah mengizinkan kita menyelami perasaan seorang pembunuh dengan sebegitu dalam kedasar lubuk sehinggakan saya berasa sayalah yang membunuh Elegant Effendi pada masa itu! Seolah-olah Orhan Pamuk meletakkan si pembaca didalam kasut seorang pembunuh, sepertimana Edgar Allan Poe lakukan didalam buku "Telltale Heart." Ada diwaktu-waktu lain pula, anda akan berasa kasihan dengan si pembunuh apabila dia melontarkan kebimbangan dan keresahan yang menggamit kalbunya. Keupayaan Orhan menagih simpati dan empati yang sebegitu luhur daripada pembaca adalah amat saya kagumi.

Tema utama didalam novel ini adalah pertembungan dua budaya, Kesenian Barat dan Timur. Adapun kesenian Timur berpinsipkan melukis dengan apa yang Allah sudah aturkan, manakala kesenian Barat pula  melukis dengan individualiti dan seperti apa yang dilihat mata. Mereka yang diasuh mempelajari teknik kesenian Islam memandang Kesenian Barat sebagai satu pencemaran kerana ia kelihatan seolah-olah cuba meniru sifat Tuhan, Maha Pencipta.

Walaubagaimanapun, adalah sedikit membosankan apabila Orhan menulis dengan cara deskriptif. Ini banyak terjadi, terutamanya apabila dia cuba menerangkan setiap persatu lukisan dengan warna, objek, subjek, dan sebagainya secara meleret dan terperinci. Cara begini memperlahankan dinamika plot dan bagi sesetengah orang seperti saya, ini kadang-kadang akan membuat kami letak buku kebawah sebentar, menghirup nafas, dan berkata, "Okay saya akan membaca satu deskripsi tentang gambar yang saya tak pernah lihat."

Ironinya, apabila dalam salah satu chapter dimana Sultan mengarahkan para pelukis untuk melukis "seekor kuda yang paling ideal," kita berhadapan dengan satu persoalan. Bagaimanakan satu kuda yang ideal itu? Adakah kuda itu seperti yang telah Allah ciptakan atapun adakah kuda itu imaginasi pelukisnya? Apabila setiap daripada para pelukis itu cuba melukis (dengan gaya masing-masing), minda saya diserbu dengan pelbagai imej kuda dan betapa upaya saya cuba membayangkan "satu kuda yang ideal", saya buntu.

Harus diakui, buku ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menelaahnya. Mungkin ia berat sedikit, tetapi percayalah, tiada mesin masa yang dapat membawa kita ke zaman turki uthmaniyyah disamping merasai isi hati manusia dan masyarakat disana seperti apa yang ditawarkan oleh My Name is Red.

by jhnrdzi, Tuesday 15 May 2012


One Response to Review : My Name is Red.

mirachantek said...

aku sangat suka Orhan Pamuk.

sudah punya dan selesai baca My Name Is Red, The Black Book, Snow, dan Museum of Innocence.

setiap tulisannya ada kuasa tersendiri yang bikin hati aku mau lagi dan lagi.