Minggu Pantun : Pernikahan Ini
PERNIKAHAN INI
Oleh: Suffyanrazzaq
Intip. Lari-lari kecil tuju ke dapur. Cedok air dua gayung dari tempayan lalu curahkan. Cerek tua seusia dilabuhkan atas dapur. Nyalakan api. Bila sudah bersiul bingit, pulas pemetik biar terpadam. Sudukan gula, kopi dan ikhlas hati ke dalam teko putih bercorak awan larat kuning-biru. Tuangkan jerangan, pantas harum aroma memenuhi atmosfera seisi teratak pusaka, seiring alir baunya menusuk-nusuk dinding hidung. Kacaukan, biar mesra. Rasa. “Nyaman,”. Letak teko atas alas warna sama yang dari tadi setia. Tersusun kemas cangkir dan piring di sebelah. Lepat ubi jadi pemanis, tanda budi ibunda tiada mati. Ummi lantas mengangkat talam menuju serambi sambil ekor mataku mengekori. Aku berdebar di hati.
Anak merbah di hujung kawat
mersik bercanggai lagu senada
tepak disembah menjunjung adat
cincin merisik sebagai tanda
Selang dua purnama. Rombongan dari selatan tiba lagi bersama dulangan persembahan. Semuanya berhias serba indah. Dalam suku jam, ummi menguak tabir merah pintu kamar daraku. Kanannya menggenggam kananku, kirinya mengusap perlahan belakangku. Aku diam membatu, debar masih memalu kalbu. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Sekadar tunduk tebalkan sipu. Ummi membalas dengan senyum dan berlalu. Serambi teratak pusaka berderai tawa, setiap mereka bersyukur dan bergembira. Sama-sama aminkan doa. Aku kini tunangan orang, sentiasa manis luar dan dalam.
Jambangan mawar gubah bertingkat
lata hamparan tualang jati
pinangan dihantar janji diikat
berserta hantaran dulang berkaki
Bulan ketiga kalendar Qamari menjadi pilihan kedua belah pihak. Segala persiapan sudah siap, hanya menantikan tiba harinya sahaja. Setiap yang penting telah ummi perturunkan, buat bekalan bersama keluarga baru. Semakin hampir waktu dihitung, semakin sayu di hati mahu meninggalkan ummi, abi dan Zikri. Jiwaku debarnya menjadi-jadi. Kuatkan hati, biar kental bagainya cekal bahaduri.
Inilah harinya. Sanak saudara, jiran tetangga sama bergandingan menegakkan khemah dan menyediakan lauk-pauk tradisi. Ulam-ulaman dan sambal colek juga menanti di meja hidangan buat para tetamu. Sepupu-sepupu kiri sibuk menyiapkan hantaran dan bunga pahar. Sepupu-sepupu kanan membersihkan laman, meluruskan bunga manggar keliling taman. Teman sekolahan meracik-racik helaian pandan, kuntuman mawar dan kenanga.
Kompang dipalu. Berteriaklah semuanya. Beras kunyit ditabur, menyambut tiba. Ibu rumah pusaka menjadi saksi rakaman manis detik indah walimah. Lafaz yang meluncur kemas di bibir, disambut syukur khalayak yang hadir. Selawat nabi terus basah di hati, meski debar masih menari-nari. Cincin pun disarungkan, lantas kucium tangannya. Dahi luasku dikucup antara kena dengan tidak. Adam Rusyaidi mengusap kepalaku. Mata kami bertentangan. Bibir kami berkuntum senyuman.
Terbang cecawi melangit tinggi
lambai tiupan pawana merah
akad bersaksi, berwali abi
mahligai impian terbina sudah
Mekar kemboja menguntum seri
rumpunnya rendang di tengah persada
atas pelamin raja sehari
bagai pinang dibelah dua
Gembira, tiada dapat terkata. Salam tahniah, ucapan dan doa berbalas-balas di capangku. Zikri, saudara kecilku mencium pipiku. Semoga kau terus gagah di samudera luas, adik. Abi dan ummi mengucup dahiku tanda restu. Air mata tiada dapat tertahan. Pernikahan ini moga seisi langit dan bumi merahmatinya, mendoakannya. Terima kasih abi, terima kasih ummi. Kauthar mohon diri.
Aku kini halal.
Post a Comment