Gadis Berlitup, Kelabu Tahi Anjing
Ketika itu aku berada di satu tempat, di mana majlis ini penuh dengan orang-orang yang sentiasa senyum seolah-olah mengetahui aku sepenuhnya dan dengan tiba-tiba aku didatangi oleh seorang gadis berlitup penuh. Mukanya penuh dengan calitan tahi. Dia memberikan senyuman dan duduk di sebelahku. Aku hanya duduk sambil memerhati orang yang melalui kawasan itu tanpa menghiraukan kehadiran dia. Dia memandangku sambil tersenyum.
"Aku seorang gadis yang baik, menjaga sembahyangku, menjaga auratku dan adabku ketika aku keluar ataupun bertemu dengan orang lain," katanya dengan penuh senyuman yang sopan santun.
"Ooh," balasku pendek.
Dia mula membuka mukadimah, dengan cerita peribadi manusia lain, ceritanya semua dari sumber yang berbeza-beza. Semuanya yang buruk-buruk belaka. Dia menjilat tahi-tahi yang melekit di bibir dengan penuh nikmat. Mulutnya berbau hanyir. Sebolehnya aku tidak mahu mendengar, aku hanya mahu menikmati suasana pagi, emosi yang terkeluar bukan dari manusia.
"Kenapa muka kau penuh dengan tahi?" aku mulai bertanya, inilah persoalan pertama yang aku mahu tahu jawapannya.
"Ooh, ini bukan tahi, ini calitan peribadi yang aku sebarkan. Setiap calitan itu berbeza nama orangnya." Dengan penuh megah dia berkata-kata tanpa rasa sesal.
"Kau rasa dengan menjaga keseluruhan tingkah tetapi tidak menjaga mulutmu itu berbaloi?"
"Maksudmu ceritaku?"
"Ya..."
"Salahkah aku menceritakan tentang buruknya orang lain, dan baiknya aku mengambil tahi-tahi mereka untuk di ceritakan ke seluruh semesta?"
"Bukankah itu satu dosa?" tekanku, separuh bertanya.
"Layakkah kau berkata tentang dosa? Sedangkan aku lebih beramal lebih dari kau?" Balasnya lagi.
"Jadi kau tak perlu minta maaf?"
"Kau tahu dunia ini berbeza, jika aku nampak keadaan itu membahayakan aku, aku akan minta maaf untuk semua, dan mereka akan nampak bertapa jujurnya aku ketika itu lalu mereka hulurkan tangan untuk aku, dan caci mereka-mereka yang telah aku sebarkan ceritanya. Itulah kuasa kejujuran aku, menampakkan aku jahat supaya mereka nampak aku baik." panjang lebar dia berkata-kata dengan penuh megah.
"Kalau orang bercerita tentang kau, cerita peribadi kau dan memburuk-burukkan kau, apa kau rasa?"
"Nescaya masuk nerakalah orang itu, aku sudah cakap, yang dunia ini berbeza, di mana jika ceritaku disebar, aku mempunyai teman di mana teman ini akan digunakan sebagai benteng aku. Aku orang yang baik-baik, menjaga amalku, menjaga tingkahlakuku dan dosa itu sifar bagiku," katanya dengan penuh yakin.
Aku berdiri tanpa berkata apa-apa. Aku hanya mencalit tahiku ke mukanya dan dia berterima kasih dengan senyuman yang penuh makna.
Aathif Aali
3 Responses to Gadis Berlitup, Kelabu Tahi Anjing
dunia ini berbeza. bukan hanya dengan bertudung litup penuh maka dosa itu sifar.
kadangkala, malaikat sendiri tidak mahu memandang kita andai kita ujub.
perhh cerita yg menarik...
"tell me who your friends are, I will tell you who you are" ;)
Terbaik!
Post a Comment