Minggu Pantun : Pantun Non-Fiksyen

Pantun Non-Fiksyen

oleh : Esah Ezral

Pernah satu malam yang gila kami seperti biasa dengan rutin sneak out – keluar rumah senyap-senyap tanpa pengetahuan ibu bapa ya kami masih bawah jagaan ibu bapa – dan lepak bersama, lepak pun bukanlah ke mana sangat pun, sekadar kedai mamak yang sekangkang kera dari rumah. Waktu malam memang sentiasa dikaitkan dengan gila, kau pernah dengar kan nama notorious si Laila Majnun? Laila itu ertinya Malam, dan Majnun itu pula ertinya Gila. Malam = Gila. Makin malam, makin menjadi. Inikan lagi sudah lewat malam beransur awal pagi. 

Waktu itu sebenarnya semua sudah mengantuk letih kepenatan, pandangan sudah berpinar, mata sudah terkebil cuma disengkang dengan batang mancis halimunan. Sudah berhijrah dari kedai mamak pertama ke kedai mamak kedua. Masih tegar lagi mahu lepak, jiwa muda konon. Jadi untuk memecahkan kesangapan, entah kenapa dan bagaimana, atau terinspirasi dari apa sebab masa ni belum ada program Super Spontan tu, mungkin jauh di sudut hati dan minda ada terselit memori cerita Laila Isabella yang banyak pakai pantun – ingat tak “sori naik lori”? Eh nama Laila lagi terselit dalam cerita ni. Secara tak sengaja pada mulanya, salah seorang dari kami sedang menyampaikan sesuatu, dan secara tidak sengaja ayat yang disampaikan itu mempunyai rima akhir. Rima akhir itu bagi korang yang tak tahu, adalah bunyi dan nada akhir dalam sesuatu perkataan. Contohnya untuk perkataan 'contohnya' rima akhirnya boleh jadi bunyi 'aa' atau 'nyaa'. Kalau pantun, biasanya ada empat baris, dan rima akhir bagi baris pertama dan baris ketiga harus sama, baris kedua dan keempat juga begitu. FAHAM DAH? 

Aku rasa korang semua dah lama hidup dengan pantun dan harap korang semua focus la masa matapelajaran KOMSAS & bahasa melayu dulu kat sekolah, takde masa aku nak bukak kelas kat sini. Jadi, bermula daripada ketidaksengajaan menimbulkan pantun tu, kami semua mula menonjolkan bakat berpantun masing-masing. Yakni setiap apa yang disampaikan, disampaikan dalam bentuk pantun. Kebanyakannya dua kerat, dan dua kalimah saja, mudah. Dan kelakar. Kelakar nak mampus. Waktu itu, jam hampir lima pagi, hanya kami di kedai mamak itu bersama mapley-mapley, suasana dihangatkan dibingitkan dengan hiruk pikuk gelak tawa kami melayan pantun masing-masing yang macam haprak tapi kehampehan itu yang buat benda jadi lawak. Dan keadaan terhegeh-hegeh sesiapa untuk mempantunkan sesuatu ayat itu, untuk mencari rima akhir / bunyi yang sama bagi setiap ayat, itu yang paling kelakar. Haa maknanya pantun ni jadi suatu bahan gelak bahan lawak? Warisan bahasa melayu kita tu. Sastera agung yang dah jadi sastera picisan? Entah, mungkin sebab dah jarang digunakan sekarang. 

Pantun diklasifikasikan sebagai sajak tradisional kalau dalam matapelajaran KOMSAS dulu. Takpelah kalau jadi bahan gelak pun, yang penting bagi aku sekurang-kurangnya orang masih tahu apa dan bagaimana sebenarnya pantun tu. Selesai kelas sastera – aku sambung cerita. 'Malam berpantun' tu memang masuk kotak memori aku sebagai satu malam yang sangat seronok dan harus dikenang. Malam kejadian tu turut dijadikan inspirasi untuk aku propose One Word Summary untuk kelas Idea&Storytelling aku. One-word-summary yang akan diterbitkan sebagai short film. 

Summarynya begini: 'Sekumpulan kawan sedang melepak kebosanan di kedai mamak dan tiba-tiba bermain suatu permainan di mana mereka semua hanya boleh berkomunikasi menggunakan pantun.' Dan surprisingly, idea tu sangat laku! Ramai yang nak 'membeli' idea tu untuk diterbitkan sebagai short film. Maknanya, mereka nampak humor dan keunikan pantun di situ. Well itu saja yang mahu aku kongsikan. Nak bercerita dengan teknik keperihalan tentang pengalaman aku berpantun tu .. aku tak reti. Aku fail menulis fiksyen. Mungkin orang lain boleh terinspirasi dan tuliskan? Cuba-cubalah kau amalkan, atau sekadar bayangkan, macam mana kalau dalam sehari tu, atau dalam sesi lepak, kau dan kawan-kawan hanya boleh berkomunikasi menggunakan pantun? Siapa bersuara tanpa berpantun akan didenda. Mungkin keadaan akan menjadi senyap sepi, atau riuh rendah dengan gelak tawa dan cubaan berpantun yang sangat epic fail. 

Seronok kan? Pantun for life!

by zoul yazix, Wednesday, 18 April 2012