Reviu Ringkas Bersahaja: Pengembaraan Tanah Jepun (Azaruddin Paiman)

Saya menanti terbitnya Pengembaraan Tanah Jepun (PTJ) dan kedatangan naskahnya ke pangkuan saya atas banyak hal. Hal pertama kerana saya sukakan genre travelog, lagi-lagi yang membabitkan penjelajahan bersama kugiran. Membaca travelog yang bermisi ini lebih inzal perasaannya. Hal kedua kerana saya sukakan negara Jepun, makwe-makwe Jepun yang comel, sejarah, budaya, pemikiran, seni, keretapi dan gunung di negara matahari terbit itu (ketika saya menulis ulasan ini saya baru mengusulkan bahawa hubungan manusia dengan keretapi dan gunung itu sesuatu yang romantik). Hal ketiga kerana buku ini ialah hasil tangan Azaruddin Paiman atau nama punknya Din Akar/Din Root yang mula saya kagumi sejak buku Punk Rock: Disebalik Fesyen dan Bunyi Bising. PTJ ini ialah makalah solo kedua beliau selepas Pengembaraan Tanah Kusir (PTK) terbit dua tahun lalu. Jadi ketika saya mula menyelak penulisan setebal 287 muka surat ini, harapan saya tersangatlah tinggi, setinggi Gunung Fuji!

*PTJ lebih godzilla tebalnya dari PTK. Kualiti kertasnya
juga berbeza!

Penulis seperti karyanya yang terdahulu memang selesa dengan gaya penulisan bersahaja, jujur dan lantang. Dengan lenggok aksaranya, pembaca baharu akan terpikat serta-merta dan peminat sedia ada akan bertambah-tambah sayangnya. Ini benar, kelucuan penulis memang merata. Tetapi sekejap-sekejap beliau akan bongkak, sekejap-sekejap terkenang makwe lama, sekejap-sekejap garang dan tiba-tiba sahaja beliau akan mengamuk. Jaga-jaga, sesungguhnya membaca buku ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Fikiran juga kena terbuka untuk kritikan. Andainya kalian jenis cepat terguris, kurang matang dan rasis, buku ini bukan untuk kalian.

Rekaletak dan susunan teks PBJ tidaklah menyakitkan hati. Sedap-sedap mata memandang. Saiz dan jenis font serta marjinnya mampu diterima akal. Foto-fotonya berlambak, namun seimbang dengan kandungan teks. Jika ditolak kuantiti foto sekalipun, naskah ini tetap mampu berdiri tebal dengan gahnya.



Catatan penulis bermula di tanah Melayu bersama rombongan rakan-rakan kugiran Hellexist sebelum terbang ke tanah Jepun. Okay saya jadi malas nak cerita perihal Hellexist menggegarkan pub Morgana di Kokubunji serta kelab Sogen di Shizuoka, perihal sesi rakaman studio, toko buku anarkis dan kedai DVD porno di Shinjuku, perihal Hachiko di Shibuya, perihal manusia bersemut di Akasuka, perihal roh-roh sadis Aokigahara berhampiran gunung Fuji, perihal Ochanomizu sebagai syurga untuk pemusik, perihal berhala Gundam dan motokar perentas masa di Odaiba, atau perihal misi mencari mainan di Akihabara. Saya malas. Baca sendirilah!


Okay, PTJ ialah sebuah naskah punk-lit. Membawa semangat karya terdahulu, penulis sedaya upaya membogelkan erti dan telunjuk ideologi punk sebenar. Pembaca akan dibawa menonton kemanisan circle of friends antara punk Melayu dan punk Jepun yang menurut penulis, tidak akan difahami golongan rasis. Hubungan persahabatan dan kekeluargaan yang terjalin melangkaui kaum, bangsa dan agama yang pada saya, seronok untuk dihayati. Punk ke tak punk, mesej-mesej dalam bentuk kritikan sosial dari penulis memang berselerak untuk dikutip. Paling kerap diutarakan ialah perbandingan budaya dan pemikiran orang Jepun dan orang tanah air. Sebagai contoh, orang Jepun lebih menghargai seni dan warisan mereka. Orang kita pula sibuk scrap runtuh sana-sini demi sebuah pusat membeli belah. Tsk!

Secara keseluruhan, saya berikan PTJ empat dari lima bintang atas kepuasan saya bergelak tawa, mengutip ilmu baharu, menikmati pengembaraan penulis dan menghargai usaha penulis mengarang draf buku ini dengan teliti sekali hanya menggunakan telefon pintar dan juga mereka yang terlibat secara tidak langsung di dalam penghasilannya. Syabas saya ucapkan. Akhir kata, kepada penulis, teruskan usaha hebat ini, kepada pembaca, rugilah kalian tak ada buku ini, rugi!

*Reka Kulit PBJ edisi PBAKL (kanan) dan edisi khas (kiri).
Sumber: Goodreads
Penulis: Azaruddin Paiman
Editor: Firdaus Abdillah Hamzah
Prakata: Tok Rimau
Sinopsis: Sebuah travelog dan catatan pengalaman penulis bersama rombongan band Hellexist (Johor Bahru, MY) dalam serangan musikal ke atas bumi Jepun.
Penerbit: Neon Terbit (Kuala Lipis), Broken Noise (Ulu Tiram), Akar Press (Senai)
Cetakan Terhad Mac 2015.


Oleh: Sang Gabriel

In by m o y a, Thursday, 18 June 2015