Jack & Hana (ii)
Selepas peristiwa bayangan arwah
neneknya muncul di dalam cawan kopi tempohari, Jack kini jadi lebih tenang dan
berkeyakinan. Tak perlu terlalu gelabah di depan gadis pencinta alam itu, getus Jack di dalam hati. Bagi Hana pula, dia rasa dia sukakan Jack.
Lelaki itu bersifat keanakkan dan comel, fikir Hana. Lagi pun, kening dia tebal
dan nampak ada ciri-ciri seorang pencinta.
Temujanji mereka yang kedua, Hana
ajak Jack kutip sampah di sebuah taman. Jack tenang mengutip sampah dan
membersihkan taman sambil dengar Hana membebel tentang sikap tak bermoral
segelintir manusia yang suka membuang sampah merata-rata walaupun tong sampah
telah disediakan. Bagi Hana, manusia begitu tak layak hidup di atas bumi kerana
mereka langsung tak menghargai keindahan alam. Jack setuju, betul cakap Hana.
Ketiak mereka lencun dengan peluh,
jadi mereka ambil keputusan untuk berehat di bangku taman. Hana bawa sandwich dan
air sejuk dalam bekas mesra alam. Jack bawa mulut dan perut. Lepas makan, Jack
cucuh sebatang rokok. Asap disedut dan dihembus penuh nikmat. Kemudiannya, Jack
terpaksa dengar Hana membebel. Tentang bahaya asap rokok pada kesihatan, tentang pencemaran udara, tentang puntung rokok yang bersepah dan sebagainya. Ia berlarutan selama 15 minit.
Beberapa hari selepas itu, masa
keluar dengan Hana, Jack hisap ‘rokok elektrik’. Baru beli. Hana buat muka
jelek.
Post a Comment