(adaptasi lebih kurang) apa yang kita ada dalam poket oleh Etgar Keret
Satu pemetik api, sebiji gula-gula batuk, sekeping setem, sebatang rokok yang sedikit bengkok, sebatang pencungkil gigi, sehelai sapu tangan, sebatang pen, dua keping syiling 5 shekel. Itu semua hanyalah secubit dari apa yang saya ada dalam poket ini. Jadi perlukah ada persoalan kenapa ianya boleh membonjol sebegitu rupa? Ramai yang musykil akan kebonjolan itu. Mereka kerap bertanya, 'Apa ke jadahnya dalam poket kau tu?' Kebanyakan masa saya tak jawab pun, saya cuma senyum. Ada tikanya saya hanya membalas dengan gelak tawa yang pendek dan sopan, seolah-olah si polan di depan saya ni baru saja membuat lawak yang tak kelakar namun atas dasar kemanusiaan saya gelakkan jua.
Dan kalaulah ada yang masih gigih mahu bertanya lagi, saya akan keluarkan kesemuanya, kemudian saya mungkin akan terangkan betapa pentingnya benda-benda itu saya bawa pada setiap masa. Nasib baiklah tiada yang segigih itu. Kronologinya selalu begini; Apa jadahnya, senyum@ketawa kecil, situasi senyap yang kekok, beralih ke topik yang lain.
Pada hakikatnya barang-barang itu telah saya pilih dengan teramat teliti supaya saya sentiasa bersedia. Bersedia supaya saya sentiasa ada 'kelebihan' tatkala momen kebenaran menampilkan diri. Emm, itu tak berapa tepat sebenarnya. Semuanya berada di situ supaya saya tak akan ada 'kekurangan' atau kelemahan tika munculnya momen kebenaran yang kerapkali tak dijangka. Kerana 'kelebihan' apa yang boleh saya dapat dengan pencungkil gigi atau setem? Tapi katakanlah, sebagai contoh, seorang gadis cantik - taklah cantik mana, cuma boleh dikatakan agak menarik, seorang gadis normal cuma tapi dengan senyum paling menawan yang boleh merentap nafas dan melangkau sedetik degup jantung - bertanyakan anda untuk sekeping setem, atau tak tanya pun. Dia cuma berdiri di situ, di tepi sebuah peti surat merah tika malam yang kehujanan, dengan sekeping envelop tanpa setem, kemudian bertanyakan anda lokasi pejabat pos terdekat, diselangi batuk-batuk kecil kerana dia sejuk, dan desperet, kerana gadis itu sedar tiada pejabat pos yang masih dibuka, lebih-lebih lagi pada waktu itu. Dan pada saat dan tika, pada momen kebenaran yang telah muncul, dia takkan tanya, 'Apa ke jadahnya ada dalam poket kau?'. Dia cuma akan terharu atas kewujudan setem yang terselit celah poket anda. Mungkin tidaklah sampai terharu, namun sekurang-kurangnya dia akan mengukir senyuman yang paling menawan itu, ukiran buat sekeping setem. Saya akan menerima urusniaga sebegitu dengan hati terbuka, walaupun harga setem melambung dan harga senyuman dah merudum teruk.
Selepas menawan saya dengan senyum termanis, dia akan ucap terima kasih, kemudian batuk lagi, sebab dia sejuk dan juga sebab dia dah segan. Saya akan tawarkan kepadanya gula-gula batuk yang saya ada. Si gadis akan bertanya 'Apa lagi yang awak ada dalam poket tu?' dengan lemah lembut, tanpa apa kejadahnya, tanpa negativiti, dan saya akan jawab tanpa ragu-ragu, 'Apa saja yang kamu mahukan, sayang. Apa. Saja. Yang. Kamu. Mahukan'
Sekarang anda tahu. Inilah yang saya ada dalam poket. Peluang. Peluang untuk ini. Peluang yang suam-suam sahaja, tidak wow, tak layak masuk dalam peratus kebarangkalian pun. Saya tahu. Saya bukan bodoh. Walaupun dengan peluang miniskul ya amat, tetapi katalah kebahagiaan yang sentiasa sibuk dengan orang lain itu tiba-tiba terlintas untuk datang menjenguk, saya akan ada pilihan untuk kata 'Ya', bukannya 'Maaf, saya tidak ada rokok/pencungkil gigi/syiling untuk apa yang kamu mahu lakukan itu'. Inilah yang saya ada, padat dan membonjol, peluang untuk berkata ya, dan bukan maaf.
2 Responses to (adaptasi lebih kurang) apa yang kita ada dalam poket oleh Etgar Keret
patutlah selama ini aku kurang faham tentang; kenapa aku simpan garfu plastik boleh lipat, pencungkil gigi, klip kertas, selotep, ubat penyedut hidung, pen, cebisan kertas atau resit, setem terpakai dari luar negara dan entah-apa-aku-tak-ingat, dalam beg silang kecil yang aku bawa ke sana ke mari...rupanya sebab yang hampir sama dengan yang ini. peluang!
ubat penyedut hidung! dulu, kini dan selamanya hahahaha
Post a Comment