Tajuk : Perempuan Nan Bercinta
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : ITBM - Published 2012 by Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (276206-D)
ISBN : 9789830688
Sebenarnya,
sudah agak lama saya tamat-baca buku ini tetapi baru punya kesempatan
untuk meneliti serta cuba memberi ulasan. Seperti yang tertera di
belakang sampulnya, ternyata buku Perempuan Nan Bercinta adalah karya
Faisal Tehrani yang paling provokatif setakat ini. Saya sendiri telah
mengikuti beberapa karyanya yang lain dan tidak dapat dinafikan
betapa liuk-lentok sastera tersadur kemas dalam segenap susunan
aksara serta gaya bahasa, lantas menjadikan penceritaannya kuat dan
makin menarik.
Perempuan
Nan Bercinta; sangat bertepatan dengan beberapa watak dalam buku ini.
Watak utama yang pertama menampilkan Tengku Idora, seorang perempuan
yang memperjuangkan hak asasi wanita melalui sebuah gerakan feminis
ala Barat, Modest Women Oriental (MWO). Bersifat progresif, gemar
bermain-main dengan doktrin liberal serta menolak hujah-hujah
berlandaskan sekolah pemikiran Islam yang lain. Dia begitu akibat
sejarah lampau. “Dor, cari perempuan mulia yang menentang sehingga
mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati.” Bisikan
dari arwah bondanya yang sering muncul dan terus mengganggu kewarasan
Tengku Idora. Sehinggalah suatu keajaiban telah berlaku terhadap diri
Tengku Idora yang mana telah menghidap kanser pada tulang utama atau
ewing’s sarcoma dan pada akhirnya telah sembuh tanpa campur
tangan manusia. Pejuang feminisme yang nazak itu tersembuhkan di kota
Madinah berkat doa dan bertawassul di Raudhah. Setelah itu, Tengku
Idora menjadi seorang perempuan yang sama sekali lain, seorang
perempuan nan bercinta yang mulus buat suaminya. Dalam erti kata
lain; dia insaf. Betapa dia adalah insan yang terpilih dan
menghampiri hikmah.
Watak
kedua adalah Zanjabila, adik kepada Idora. Perwatakannya sama sekali
berbeza dan bertentangan dengan kakaknya; dia seorang yang lemah
lembut dan terasuh sebagai perempuan lawa lahir batin. Cinta
Zanjabila kepada ilmu telah menemukan dia dengan seorang pemuda yang
juga berilmu dan menjadikannya seorang perempuan nan bercinta.
Mereka menghalalkan hubungan dengan bernikah setelah perkenalan yang
singkat. Zanjabila terus membiarkan dirinya diulit dengan ilmu dalam
masa yang sama cuba membawa kakaknya kembali ke landasan yang betul.
Buku ini turut menampilkan seorang lagi perempuan nan bercinta iaitu
Siti Fatimah Ali Taqi. Perempuan yang berjiwa revolusioner dan
mewarisi keberanian Fatimah binti Rasulullah. Dia juga mencintai
sejarah dan politik; politik yang merangkumi persoalan serta definisi
yang lebih luas dan bukanlah urusan pemerintahan sesebuah negara
semata-mata. Siti Fatimah Ali Taqi, seorang perempuan nan bercinta
yang terus bangun melawan ketidakadilan. Dan secara keseluruhannya,
perempuan nan bercinta di dalam buku ini merujuk kepada nilai-nilai
murni, keperibadian serta keimanan Sayidatina Fatimah Zahra.
Sekarang,
saya kembali kepada perihal pandangan mengenai buku ini dari kaca
mata saya sendiri. Perempuan Nan Bercinta adalah sebuah buku yang
mencoretkan sebuah penulisan deskriptif yang sarat dengan kognitif.
Untuk seorang lelaki yang masih miskin dengan ilmu terjemahan/tafsir
al-Quran dan hadis, buku ini berat betul. Dari sisi lain, saya
menelannya sebagai sebuah konsep mengkaji dan berfikir seterusnya
menghadam sebagai pemahaman dan iktibar. Mungkin tidak keterlaluan
jika saya anggap membaca karya Faisal Tehrani yang satu ini
seolah-olah membaca beberapa terjemahan hadis. Juga perihal hadis
sahih, hadis tidak sahih dan hadis maudhu’ atau palsu. Selain itu,
buku ini juga penuh berselirat dengan cabang filsafat yang
bersimpang-siur dalam sekolah pemikiran Islam, perbezaan pendapat
antara mazhab, syiah dan sunni, soal ilmu dengan tunjang imamik,
keimanan, tasawuf, sufisme, tawassul, Islam liberal dan pelbagai isu
seperti perjuangan Hezbollah, perihal Mekah dan Madinah yang dijual
atas nama wakaf, juga menelanjangkan kebejatan penguasa Mekah itu
sendiri. Faisal Tehrani turut mengkritik golongan Wahabi (salafi?)
dengan bergaya. Semuanya diadun sebati dan tersusun kemas di atas
plot yang mudah difahami.
Membaca
buku ini membuatkan saya tercampak ke dalam forum, pidato serta
tengggelam dalam pelbagai wacana dan perdebatan seputar agama dan
mazhab yang rata-ratanya begitu sensitif di kalangan masyarakat kita.
Coretan mengenai sejarah kelahiran ‘Ahli sunah Waljamaah’ serta
kemunculan empat mazhab fikah yang ada hari ini, juga mengenai
kerapuhan pakatan Ahli sunah Waljamaah dari segi teologi dan pakatan
fikah yang longgar serta saling bertabrakan adalah sangat bersifat
provokatif. Tidak mustahil jika buku ini bakal mencetuskan
kontroversi dan mendapat kritikan dari golongan agamawan yang punya
percanggahan pendapat. Saya tertarik dengan hujah Dr. Ali Taqi,
antara watak utama dalam buku ini. Ketua Pengarah FASEH ini juga
seorang tokoh Islam, seorang prinsipal dengan pandangan sarwa
tauhidik profetiknya berkata, "Tidak, saya tidak menulis
untuk ditujukan kepada tuan-tuan. Saya mengarang untuk masa hadapan.
Saya anggap sebahagian besar pembaca kajian saya hari ini, di luar
sana, ibarat raja yang suka bertepuk tangan dan mengangguk. Khalayak
lain yang akan menilai saya. Khalayak mendatang akan bertepuk tangan,
mengangguk dan betul-betul mengerti kerana mencapai inti."
Saya beranggapan bahawa ayat ini menggambarkan tujuan sebenar Faisal
Tehrani di dalam penulisannya. Begitu juga dengan dialog-dialog
merangsangkan yang diucap oleh watak-watak lain dalam buku ini.
Selain mengutarakan isu, ia juga menawarkan penyelesaian. Di sini
mencerminkan ciri-ciri seorang rausyanfikir.
Sebelum
mengakhiri ‘apa yang dipanggil ulasan’ ini, saya juga ingin
menyentuh mengenai empat persoalan yang dibangkitkan oleh Bastian di
dalam buku ini, di mana persoalan-persoalan itu menjadi penghalang
untuk dia terus memeluk Islam. Oh ya, begitu juga dengan Hilda,
wartawan CNN dan juga seorang Koptik. Pada akhirnya mereka berdua ini
telah memeluk Islam setelah mendapatkan kempat-empat jawaban kepada
persoalan itu. Apakah persoalan yang dibangkitkan? Apakah jawabannya?
Siapa pula yang menjawabnya? Anda perlu baca sendiri agar lebih
memahami. Pendedahan demi pendedahan telah menunjukan bahawa Sunni
dan Syiah adalah saling melengkapi. Ahlul Bait bukan milik mutlak
Syiah tetapi bisa menjadi rujukan dan hak semesta alam. Dan tema
‘supramazhab’ adalah menjadi tunjang kukuh untuk buku ini.
Mungkin juga mencerminkan diri Faisal Tehrani sendiri.
|
Sumber : sinarharian.com.my |
Apabila
khatam dan menutup buku ini, saya jadi tertanya-tanya apakah
sebenarnya yang cuba dibawa oleh penulis? Adakah tentang penjelasan
sesuatu fahaman atau pegangan dalam erti kata lain; keimanan dan
keyakinan? Atau suatu pembetulan fakta berbentuk provokasi dalam
lembaran fiksi keagamaan? Sebagai seorang muslim, saya sendiri jadi
goyang; di mana saya berdiri sekarang atau di mana harus saya berdiri
sekarang? Timbul kekeliruan tapi kadangkala merungkai persoalan. Dan
pada akhirnya, saya beranggapan atau mungkin sedar betapa ia hanya
persoalan kepada jawaban. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah,
Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sebuah garapan dalam bentuk fiksyen
yang bijak. Walaubagaimanapun, saya yakin bahawa sebuah buku tidak
bisa menyesatkan. Buku juga tidak pernah membahayakan. Kita manusia
punya akal fikiran bukan? Jika tidak setuju dengan tulisan dalam buku
ini, saya harap akan ada Sunni yang tampil menghasilkan fiksyen
menentang idea-idea Faisal Tehrani secara bijak. Bukan ‘mengorbankan’
buku dengan mengeluarkan fatwa haram. Oh ya, mungkin juga ada Salafi
yang ingin menulis-balas? Saya masih dahagakan penulisan yang sarat
sebegini. Andai saya yang naïf ini masih boleh berfikir secara
rasional, mengapa tidak anda seorang ilmuan yang tinggi pengetahuan?
Apakah perselisihan mazhab sekarang lebih menjurus ke arah
pertelingkahan politik? Mungkin dengan mengetepikan perbezaan mazhab
dan fahaman bisa menjurus ke arah penyatuan ummah. Wallahualam.