badut yang tak pernah berhenti senyum


lelaki dalam cerita ini adalah seorang badut. kita semua tak perlu tahu tentang nama lelaki ini kerana pada akhirnya kita tetap akan memanggilnya badut. dan badut dalam cerita ini adalah badut yang tak pernah berhenti senyum.

dipendekan cerita ─ setiap hari selama dua puluh lima tahun, dia akan senantiasa tersenyum tanpa mengira waktu. pagi, petang, siang dan malam. masa tidur, bangun pagi, pergi tandas, melintas jalan atau apa saja yang dia lakukan, senyuman tetap kekal terukir di wajahnya. badut ini mungkin pernah diancam oleh seorang abang kawasan yang berbadan sasa dan berambut perang tetapi dia masih saja tersenyum. abang kawasan yang berniat untuk memukulnya itu terpaksa melupakan saja hasrat tersebut.

sebenarnya, tak ada sesiapa yang tahu bahawa badut ini pernah menangis. jika dilihat dari jauh, dia tetap tersenyum walaupun sedang menangis ketika itu. cuba dekatkan jarak anda, maka anda akan dapat lihat air matanya yang berjujuran serta mengalir laju bak air terjun. pun begitu, senyumannya masih kekal terukir. jadi, siapa yang peduli samada dia bersedih atau gembira? senyumannya tak pernah lekang walau dalam apa jua situasi.

suatu hari, badut ini sedang berada di celah lorong antara dua bangunan. dia sedang berdiri menghadap dinding salah satu dari dua bangunan tersebut. baiklah, sebenarnya badut ini sedang kencing berdiri. dan seperti biasa, dia senantiasa tersenyum. ketika kencingnya sampai ke titisan yang terakhir, tiba-tiba dia nampak dinding bangunan di hadapannya seolah-oleh mencair membentuk sebuah pusaran. beberapa detik kemudian, muncul seekor ikan paus biru dewasa. kita semua tahu tentang saiz ikan paus biru dewasa.

sebagai seorang manusia yang setiap derianya masih aktif, badut ini tergamam seketika. oh, dia masih tersenyum walaupun tergamam jadi mungkin kita tak tahu yang dia sedang tergamam. dia mula berpaling dan cuba untuk melarikan diri. belum sempat kakinya terangkat, separuh badannya sudah berada di dalam mulut ikan paus biru dewasa tersebut yang kita semua tahu tentang saiznya.

seorang polis yang melintasi kawasan tersebut cuma melihat badut ini menggawangkan tangannya manakala separuh badannya sudah berada di dalam mulut ikan paus biru. badut ini menjerit minta tolong, sambil tersenyum. polis tersebut cuma membalas senyumannya dari jauh kemudian melangkah pergi. sejak hari itu, tak ada sesiapa lagi yang pernah melihat kelibat badut ini bersama senyumannya. mungkin ikan paus biru itu telah menelannya kemudian hilang di sebalik dinding bangunan. timbul juga cakap-cakap belakang yang mengatakan badut ini terkena sumpahan penunggu dinding bangunan akibat dia kencing berdiri di situ tanpa meminta kebenaran. ada juga yang cakap, dia diculik piring terbang atau disembunyikan oleh bunian.

tiba-tiba seluruh bandar menjadi muram tanpa badut dan senyuman yang senantiasa terukir di wajahnya. walaubagaimanapun, keadaan itu cuma dirasai seketika sebelum semua orang mulai lupa akan kewujudan atau kehilangannya. ya, dia cuma seorang badut. sebenarnya, kita semua tak pernah peduli tentang kisah badut yang tak pernah berhenti senyum.


3 Responses to badut yang tak pernah berhenti senyum

Lee Zha said...

normal.

bukan saja badut, "dia" yang pergi bertemu Pencipta juga akan diratapi sebentar tapi seiring masa berlalu, perlahan-lahan ia dilupakan.

tenku butang said...

hai.. salam kenal,
follower no.555
done follow sini,
jom follow teman yea..=)

http://tengkubutang@blogspot.com/ -->(official)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/ -->2nd blog

QZ92 said...

Kasihan badut tu..
kesedihan badut tu seperti aku,

tapi aku rasa aku lagi beruntung dari beliau...