Archive for 2012

HAMBA YANG BERGELAR MANUSIA

2

Di sini kau melihat aku sebagai seorang yang terlalu agung,
Kau mengidolakan aku sebagai seorang yang lebih tinggi
Darjatnya daripada seorang kekasih.
Di sini juga kau menjadikan aku sebagai ikon
Yang kau jadikan setiap apa yang aku buat, kata dan lihat,
Sebagai inspirasi yang besar dalam hidupmu.

Sesuatu yang kau rasa boleh bawa kau pergi jauh
Andai kau jadikan kata-kata aku sebagai pedoman.
Di sana kau memandang aku sebagai sampah-sampah
Yang layaknya dibuang dan dilupakan sahaja.
Kau menghebahkan kata-kata kotor
Ke setiap telinga yang mampu mendengar
Dan mereka percaya satu persatu yang kau laungkan.

Sungguh manis budi bicaramu
Macam inilah kawan yang aku mahukan selama ini,
Tidak mengapa,
Aku bukannya penyabar,
Tapi aku mampu bersabar.

Satu perkara kau mesti ingat,
Aku juga seperti mereka
Hamba yang bergelar manusia
Sabarnya ada batas.



kerna memilih tajuk lebih susah dari menulis isi

0

hutan,

mungkin tempat sesuai untuk aku meluahkan segala ini.

Ya,
membisikkan segala cerita kita kepada pohon-pohon.

Tidak,
aku bukan seperti mereka yang menoreh tubuh pepohon dengan nama-nama kita.
Tidak sama sekali kerna abahku selalu berpesan, pohon, tanah dan bumi itu ada jiwanya sendiri. 

Ya,
pohon-pohon pendengar hebat seperti mana Yang Esa yang selalu diam dikala hamba-hambanya menangis mengadu dan meminta perihal hidup di dunia. 
Ibu kata, diam untuk mendengar, bercakap bila meminta. Tuhan tak pernah meminta, dia hanya mendengar.

Berbalik pada kita,
segala cerita yang ku cerita pada pohon-pohon itu bahagian manis cerita kita.
sebelum mereka ditebang jadi rumah, meja, atau kertas.

Kerna aku hanya ceritakan bahagian manis cerita kita dan bahagian pahit telah kau bawa bersama ketika kau mati di hempap kayu balak.


Siapa suruh tak dengar nasihat, nak bermadu asmara, bergelak ketawa sampai tak dengar amaran tentang bahaya.

by Ara Drew, Thursday, 27 December 2012


Rahsia

0


Ini satu malam yang paling panjang
Di biarkan aku terus berdiri
Menanti tanpa pasti
Akan hadir atau tidak
Yang di tunggu sedari tadi

Dan di malam yang satu ini
Kabur lagi lensa mata aku
Dipenuhi cecair yang entah dari mana datangnya
Memenuhi ruangan mata aku ini

Nafas semakin perlahan
Ku pegang dadaku ; kosong
Wujud lubang besar di dadaku
Kemeja ku mula basah
Meresap darah yang meleleh keluar

Aku bersihkan lensa mataku
Dan aku melihat ada titis-titis darah di atas jalan
Ah, hati aku terjun keluar dari dada aku
Pergi meninggalkan aku
Mungkin dia sudah tidak tahan menunggu selama ini

Tapi aku tetap berdiri di sini
Sambil tangan memegang sekuntum mawar putih
Dan berharap dia datang malam ini
Kerana aku tidak pasti
Berapa lama lagi ku mampu bertahan
Tanpa hati.


USAH MENIPU

5


Suka sangat tipu orang, kan?
Aku pun suka tipu orang.

Seronok bila orang tu mati-mati percaya,
Kita semua suka tipu orang, kan?

Kadang-kadang menipu ni jadi satu hobi,
Kelakuan yang tak boleh dihindarkan.

Jangan tipu aku,
Sebab aku juga suka menipu.

Jangan tipu aku andai,
Semalam baru kau belajar menipu.

Jangan tipu aku kalau,
Aku orang petama yang kau tipu.

Jangan menipu,
Suatu hari nanti kau akan tertipu.







 Jangan!


ramli sarip

1

dia kata. keluarkan mata saya, saya dah jijik melihat kejijikan. jadi aku ambil kedua-dua belah matanya. ada bunyi plop. satu kali plop, dua kali plop. kemudian dia bicara lagi. buang sajalah mata tu ke dalam tasik. aku tak buang, aku hanya letak dalam poket seluar. bukan dia nampak pun. kami sambung teleku kami, menung tanpa bicara menyinggah. aku hanya merenung tasik keruh. dia? aku kurang pasti kerna aku tak pandai membaca lohong, lohong-lohong untuk lebih tepat. setelah dua ribu detik berlalu, dia akhirnya membuka mulut. bosannya, jom kita pi tengok waya...... ohh.  *senyap*. awak, awak, awak tolong ambil mata saya kembali boleh. permintaan itu hanya dijawab oleh deru angin barat kerna sebaik detik yang ke seribu tujuh ratus delapan puluh empat berlalu, aku sudah pun beredar dengan matanya di dalam saku kiri. mata itu akan aku hiaskan pada pebel ungu yang aku kutip tadi di pembahagi jalan, mungkin juga ia hakim yang tidak menghakimi.

by ahmad, Friday, 7 December 2012


Reviu - #LariDariSyurga

6



Lari Dari Syurga adalah buku ke-empat terbitan Buku Hitam Press (BHP) selepas Bukan Dari Jibril, Kitab  Cupid dan Tiket ke Neraka. Pengenalan, buku ini merupakan koleksi cerpen yang dikumpulkan dari 17 orang penulis amatur, dan dinaskahkan atas satu tajuk.

TEMA

- Sedari kecil kita dididik dengan ide bahawa Syurga itu adalah tempat yang paling indah, tempat yang paling cantik. Kita semua mahu masuk Syurga. Kita semua MESTI masuk Syurga. Kita hidup untuk mati untuk masuk Syurga. Dan kenapa pula kita mahu Lari Dari Syurga? Pada aku, temanya menarik. Pembaca akan tertanya-tanya mengapa penulis atau watak dalam cerpen tersebut mahu Lari Dari Syurga.

COVER

– Seperti cover BHP yang lain, cover buku kali ini sangat menarik. Katanya adalah daripada beberapa keping foto Penjara Pudu yang dirobohkan. Lebih menarik, ada simbol-simbol agama yang mungkin menerangkan secara tidak langsung apa itu Syurga (dan Tuhan). Tentang cover belakang, pada aku sangat kebudakan. Ide aku tentang cover belakang adalah tulisan yang menerangkan tentang buku tersebut. Mungkin boleh diceritakan tentang apa itu Syurga, atau beberapa petikan cerpen yang ada di dalam buku. Bukan tentang bagaimana buku ini dihasilkan (Pencarian 30 orang penulis dan pilih 18 kemudian jadi 17). Mengarut.

TULISAN

- Tak adil kiranya kalau aku mahu komen tentang tulisan kerana di dalamnya ada 17 tulisan daripada 17 orang penulis, tidak termasuk dengan permulaan (penghargaan?) daripada Fikri Harun dan Puisi Penutup oleh Akma Pauzei. Secara umum, gaya penulisan adalah baik. Ada yang cuba menulis secara santai, dan ada yang berani bermain dengan kata. Apa yang menganggu aku adalah kebanyakan (tidak semua) menulis sesuatu yang berunsurkan seks. Aku tiada masalah dengan penulisan lucah. Dan aku juga faham dengan prinsip BHP yang mahu penulisan yang ‘berani’. Cuma ada tulisan berunsur lucah yang digarap dengan sangat murah (cheap). Pada aku, berani itu bukan biadap, dan bukan bodoh. Berkenaan tema, kebanyakan cerpen adalah jelas (ada juga yang kabur dan aku ‘skip’ baca). Tahniah BHP!

INDIVIDU     

- Aku cadangkan Lirik Melodi Syurga – Salleh Razak, Penghujung Sebuah Euforia – Raisya Nordin dan Untuk Saat Itu – Azhar Ibrahim.

KESELURUHAN

 - Untuk diberikan 3 bintang, aku rasakan terlalu sedikit. Untuk diberikan 3.5, mungkin terlalu mewah, jadi aku berikan 3.25/5. Jika anda tidak kisah untuk belanjakan RM20 untuk sebuah buku yang pada aku sangat eksperimental dan ‘meriah’, jadi ianya untuk anda. Jika anda seorang perfectionist dan cerewet memilih bahan bacaan, mungkin tidak.

-AdilRidhuan.


puas hati mu bangsat?

2


walau punya hayat seribu tahun lagi
melihat perih jasad tak berisi
senyap, tak berdenyut nadi
di carik carik binatang tak punya hati
dipijak di caci maki
serupa dosanya dari kepala hingga ke kaki

gelojoh hambur peluru besi
sampai semua panik berlari
terkejar sana sini
sampai menusuk tubuh kecil berjiwa peri
suci tak tercalit keji
sekali kau datang ke mari
rasa binasa hari hari
dan hujan kami dilebati bom bom yang ditabur,
dan angin kami diributi peluru peluru yang ditembak kabur,
larinya kami tak berguna,
sembunyinya kami tak punya siapa.

tiada yang mahu kau ke mari
jangan berani pijak tanah kami
jangan berlagak rasa kau tinggi
percayalah kau tentang ini
datangmu hina membawa benci
nyah kau dari sini!
jangan ada saudaraku yang kau biar mati
--lagi .
puas hatimu bangsat ?

Aen Lee / Huseng.


Kosong

1


Aku hanya merenung.
Diam.
Tanpa kata.
Tiada suara.

Aku hanya merenung.
Tubuh aku kaku.
Dan, aku jadi sang pembisu.

Aku hanya merenung.
Kosong.
Atau, semuanya bersimpang siur sehingga aku tidak dapat pastikan yang mana satu berada di fikiran?

Aku hanya merenung.
Dan, dalam renungan aku itu muncul satu layar hologram.
Menayangkan gelak tawa dan senyum mesra.
Pandangan yang penuh dengan rasa.
Daripada zaman persekolahan menarik beg beroda.
Sehingga detik ini, saat aku merenung kau tanpa kata.

Dan, aku terusan merenung.
Hanya merenung.
Sehingga mata aku pedih.
Dada aku sesak.
Kepala aku berat.

Aku hanya pinta.
Untuk berbaring dalam kau punya jiwa lagi.
Itu aku punya ruang keselesaan infiniti.
Aku masih mahu berbaring di situ.
Masih.

Sampai aku mati.


TULI

0


Siatlah cuping telinga ini,
Biar aku kehilangannya,
Lantas itu kau joloklah gegendang aku,
Agar aku benar-benar tak mampu — mendengar,
Diharapkan aku bahagia,
Bila aku sudah tuli,
Tidak mendengar tohmahan Si Bangsat,
Terhindar daripada mendengar fitnah Si Celaka,
Siatlah! Joloklah!
Cuping telinga,
Dan,
Gegendang.

Jangan!
Bukan sekarang,
Aku belum — bersedia. 


Siapa lagi kaya sekarang ni?

2


Aku melihat orang yang sedang berdiri di hadapan aku. Seorang wanita. Badannya langsing, tinggi. Macam model. Kalau orang sekali tengok pasti tidak percaya perempuan ini berumur 50 tahun. Aku senyum. Wanita itu turut tersenyum padaku.
                
Aku menebarkan pandanganku pada keseluruhan tubuhnya. Rambutnya ikal berwarna coklat. Mungkin asli. Mungkin juga diwarnakan. Wajahnya putih tanpa kedutan. Bibirnya merah saga. Hidungnya terletak sempurna dan matanya berkilau di bawah biasan cahaya lampu. Cantik.
                
Lehernya dipagari dengan rantai mutiara yang putih, bersih. Tubuhnya pula ditutupi dengan jubah berwarna hitam dengan jalinan benang emas yang membentuk corak abstrak di bahagian tengah jubahnya. Pergelangan tangannya digari dengan gelang emas. Kemilau cahaya yang disebabkan biasan cahaya gelang tersebut, menikam kornea mataku.
                
Aku pandang semula wajah wanita itu. Mekap tipis menghiasi wajahnya. Ringkas dan nampak natural. Aku senyum lagi. Aku lihat wanita itu turut tersenyum, senyuman mengejek. Aku menelengkan kepala ke kanan, dia turut ikut menelengkan kepala. Tapi di sebelah kiri. Aku angkat tangan kanan, dia mengangkat tangan kiri.
                
Kurang ajar! Kau ikut aku! Kau nak memperbodohkan aku? Hati aku memberontak.
                
Aku menggerakkan tanganku dan menyentuh wajahnya. Dingin. Pelik. Aku tak dapat rasa haba kulitnya. Bila aku menyentuh wajahnya, rasanya bagai menyentuh gambar. Hanya 2-dimensi. Pelik. Dahi aku berkerut. Dahinya turut berkerut, umpama faham perasaan aku yang aneh ini.
                
“Apa yang awak buat dekat depan cermin tu? Jomlah, kita dah lambat nak pergi dinner Dato’ Azhar ni. Dia kata tadi nak bincang his latest project. Dengar kata boleh untung 90 juta ringgit. Awak dah siapkan? Saya tunggu dekat limo, okey?” seorang lelaki separuh abad, dengan perut yang buncit menegurku. Tan Sri Imran.
                
Aku senyum, dan mula melangkah ke pintu, meninggalkan wanita separuh abad yang cantik tadi. Suamiku sedang menunggu di bawah.

***
                
“Mana you beli jubah ni?” Datin Rosa sibuk membelek jubah hitamku.
                
“Ohh. I pergi Qatar haritu. Ada sale! Dapatlah enam ribu dolar satu meter. Murah!” aku tersenyum bangga. Seorang wanita muda, dengan skarf melilit di leher datang membawa dulang berisi teko dan beberapa cawan.
                
“Wow! Set terbaru ke ni?” Datin Salmah di sebelahku bertanya kepada Datin Rosa, selaku tuan rumah untuk dinner ini. Aku mengangguk, bersetuju dengan soalan Datin Salmah.
                
“Ohh. Haah. Hari tu I ada pergi China, ternampak pulak set antik ni. I berkenan, so I belilah. Dia lelong. Ramai jugak yang berminat, tapi last-last I jugak yang menang!” Datin Rosa mengekek ketawa. Aku tak faham apa yang lawaknya, tapi aku hanya tersenyum.
                
“I beli dalam fifteen thousand dollars. Eh, rasalah teh ni! I beli dekat China jugak. Beijing. Dia kata this is one of the most expensive tea in the world. I nak rasa, so I belilah. 3500 dollars for 50 grams. I terkejut jugak. Tapi last-last I beli sekilo. Untuk dinner ni lah,” Datin Rosa tersenyum lagi.
                
Aku hanya tersenyum sambil membetulkan letak rantai mutiaraku. Biar mata-mata mereka ini melihat rantai mahal ini. Sesekali aku menangkap perbualan suamiku dan Dato’ Azhar yang melibatkan jutaan dollar. Bertambah lagi duit suami aku. Banyak lah lagi benda yang aku boleh beli. Senyum.
                
Semua benda ni, adalah hasil usaha suami aku sendiri. Dia tak mintak tolong pada siapapun! Tengoklah dia sekarang. salah satu usahawan berjaya di Asia.
                
“Eh, I nak pergi tandaslah. Dekat mana eh?”

***
                
“Apa you cakap? Macam mana you boleh batalkan projek tu last minit pulak ni?! I dah habis berjuta dollar dalam projek ni! Semua duit syarikat, I dah guna untuk projek ni! Habislah muflis I nanti!” aku memandang suamiku yang sedang bercakap di telefon.
                
“You jangan nak lepas tangan je! Habislah I nan..”
                
“Kurang ajar!” Suamiku menghempaskan iphonenya ke lantai. Skrin retak, berkecai.
                
“Kenapa ni bang?”
                
“Si Azhar tak guna tu lah! Dia pergi batalkan projek tu last minit. Habis semua duit saya, duit syarikat lesap! Muflislah aku nanti, muflislah,” aku lihat suamiku mundar-mandir, tak senang duduk.
                
“Habistu macam mana ni bang? Saya dah order banyak baju dari Paris haritu. Semua termasuk kos shipping semua dekat 15 juta dollar bang! Siapa yang nak bayar?”
                
“Apa? Baju apa yang kau beli sampai 15 juta ni? Kau ingat aku ni kerja apa? Cop duit? Dah, aku nak keluar dari rumah ni. Kalau kau nak ikut, ikut. Kalau tak nak, kau matilah dengan harta-harta ni semua,” dia bergegas ke pintu.
                
“Abang!”
                
Aku takkan tinggalkan rumah ni! Kalau aku keluar dari rumah ni, aku nak pergi mana? Kampung? Takkan! Aku nak hidup mewah! Aku nak duit! Aku nak disanjung sebab kekayaan! Kalau malaikat maut datang pun, aku sanggup bayar berapa juta dia nak agar ajalku ditunda. Hahaha!

***
                
“Kau tak boleh ambik semua ni! Ni semua aku punya!” aku meronta-ronta di hadapan pintu sambil menyaksikan seorang-demi seorang lelaki mengambil barang dari rumah ke lori. Tak boleh! Ni semua harta aku! Aku tak nak miskin!

***
                
“Makcik? Kenapa makcik tidur kat sini?” perlahan-lahan aku membuka mata. Wajah seorang gadis bertudung kuning menyapa pandangan. Wajahnya sungguh jernih. Aku bangun dan lihat keliling. Aku tertidur di pondok bas rupanya.
                
Pandanganku tertancap ke arah tangannya. Dia kelihatan sedang menggenggam erat sebuah buku. Genggamannya kejap bagai buku itu nyawanya. Buku yang aku sudah lama tidak buka dan baca.               
                
“Buku apa tu nak?”
                
“Oh ini? Ni Al-quran. Mak cik nak baca ke?” dia menghulurkan Al-quran di tangannya kepadaku. Aku sambut dengan tangan menggigil. Zip perlahan dibuka. Sehelai-demi sehelai aku selak. Aku berhenti di muka surat 23. Sebahagian muka surat tersebut penuh dengan tulisan yang aku tidak faham, tak dapat baca. Nasib baik ada tulisan rumi. Boleh aku baca.

Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.(Al-Baqarah: 152)
                
Air mata aku tumpah. Sungguh dah lama aku lupa Allah. Aku jual akhirat, untuk berhibur di dunia. Ya Allah, banyaknya dosaku padaMu. Pipiku masih basah dengan air mata. Sungguh aku rasa diri aku kotor. Kotor dengan dosa.
                
“Makcik. Jom ke rumah saya? Makcik boleh tinggal dengan saya,” aku melihat wajah gadis itu. Dia tersenyum. Aku ikut tersenyum. Subhanallah! Masih ada orang seperti ini di atas bumi ini. Di situ juga aku bersujud syukur, ditemani air mata dan rintik-rintik hujan yang mula turun melebat.


DUA PULUH DUA PULUH

3

Relaks dulu,
Hidup remaja,
Darah panas,
Kenalah berhibur.

Tak kan nak menghadap buku,
Dua puluh empat jam,
Nanti bila dah tua,
Tak ada cerita menarik,
Yang nak dicanang,
Kepada anak cucu.

Itu kata kau,
Aku punya pendapat lain,
Bunyinya macam konsevatif,
Ya, aku anak muda,
Berdarah panas,
Tapi aku takut,
Sebab aku penakut.

Aku risau kalau darah panas ni,
Yang membuatkan,
Anak cucu tak ada rasa bangga,
Kepada aku,
Sebab masa mudanya,
Tak pernah lihat masa depan.

Dua Puluh Dua Puluh,
Bukan zaman Tok Kaduk,
Duit sekupang pun,
Perut boleh kenyang.

Dua Puluh Dua Puluh,
Itu zaman aku dewasa,
Zaman paling ditunggu-tunggu mereka,
Yang berpandangan jauh.

Dua Puluh Dua Puluh,
Pasti banyak yang kebulur,
Kalau masa remajanya,
Asyik berhibur.


Syurga Buat Palestina

1


Langit palestina terang dengan senyum
Para bapa yang kerinduan
Kumpulan ibu yang tak resah
Menunggu jemputan tuhan
Setelah kian lama membangun ilahi
dengan batu dan hati.


Matahari pun melelehkan sinarnya
Buat palestina yang telah gagah
Membasuh luka dan darah
Dengan sapu tangan bunga
para ibu - ibu mereka.

Wahai anak anak tebing gaza!
Senyumlah sebesar hati
Kenapa masih kau iri kan kami?
Tuhan sungguh lebih tahu indahmu
Tenanglah,
Syurga sedang mempersiap pesta
menyambutmu.


Pesan Pesankan

1

buruk orang kita nampak
dah nampak dicanang pulak

buruk sendiri tak cari
yang baik la diri sendiri

sudah lah cari kesalahan
sudalah membandingkan
sudahlah sibuk perihal orang

jahit tepi kain sendiri dulu
baru sibuk kain orang lain

cuba diri sendiri yang kena canang
amarah bukan kepalang
kan?

tutup yang palsu
buka yang perlu
aib orang kita jaga
moga aib kita orang tak jaja







Ego

0


Sempit dada dihimpit rasa
Rindu yang bertandang menjengah pintu
Tak diundang tetap jua datang
Nak diluah, Ego teratas dahulu

Bungkam
Rela diam dari berkata
Kadang berharap kau tahu
Apa yang bermain di minda

Ego mematikan kita
Ego menjauhkan kita
Aku lihat kau pergi
Dan kau biar kita begini.


Peluru dalaman.

0

Wahai tuhan,

KuasaMu melangkau segala teori pemikir2 dunia,
PerancanganMu tidak pernah mengagalkan imanku padaMu.
Kasih sayangMU menyemarak sepelusuk mekanisma alam.

Wahai Maha Pemurah,
Payungilah saudara2 kami yang sedang dihujani peluru dari
zionis yang segala kejam.
Pinjamkanlah kekuatanMu pada mereka agar ujian ini dapat
ditempuh dengan tabah dan sabar.
Izinkanlah kemenangan dan kebahagiaan dipihak kami 
wahai tuhan Yang Maha Agung.

Hanya padaMu jualah tempat kami kembali dan bersujud.
Amin.


Memilihmu

0


Bulan yang sedang separa,
bukan aku.
Awan barangkali putihnya abu-abu,
bukan ambisi untukmu.  
                      
Ketahuilah,
Bukan soal jarak yang memisahkan,
Bukan soal raga yang tidak ketemu,
Ini tentang hati yang akan tetap sama.

Apakah kau tahu bahwa rindu ini selalu 
memilihmu?


SEHIDUP SEMATI

1

Cinta sejati selalunya,

Akan dimomokkan,
Dengan slogan
"Sehidup semati".

Itu bukan cinta sejati,
Aku tak nak sehidup semati,
Dengan pasangan yang aku,
Sayang.

Biar dia mati dulu,
Atau biar nyawa aku ditarik dulu.

Andai dia pergi dulu,
Dapat aku doakan kesejahteraan,
Dia di sana.

Andai kata aku dicabut nyawa dulu,
Harap-harap dia doakan,
Kebahagiaan aku,
Lubang sempit menjadi luas.

Itu cinta sejati,
Walaupun tak sehidup semati,
Sekurang-kurangnya,
Dia, atau aku,
Masih ada peluang,
Untuk merasai kebahagiaan,
Walaupun tak bersama.

Cinta sejati,
Tak perlu sehidup semati.


#ZineUntukGaza 101

0




1. Apa itu zine.

    Zine yang datang daripada perkataan fanzine atau magazine bermaksud satu buku/majalah/lampiran kecil     yang dibuat dengan sendiri dengan kos yang murah. Terdapat pelbagai jenis zine seperti punk rock zine,   literature zine dan sebagainya. 


2. Apa yang berlaku di Gaza.

 *facepalm*

3. Apa itu #ZineUntukGaza?

    Zine untuk Gaza adalah sebuah zine yang akan dibuat khas untuk menunjukkan sokongan pada saudara  kita di Gaza dan beri kesedaran pada sesiapa yang membacanya. Di dalam zine ini, insyaAllah akan diisi dengan pelbagai karya yang terdiri daripada puisi, cerpen, lukisan, illustrasi, catatan dan sebagainya.

 [buat masa sekarang kami terima banyak puisi, jadi mungkin awak boleh tulis cerpen?]

4. Macam mana nak sumbang karya?

    Hantarkan karya awak ke zineuntukgaza@gmail.com. Kalau malas nak email boleh mesej ke page fesbuk  Zine Satu Malam pada 21 November. 

5. Ada syarat tak untuk sumbang karya?

    Ada. Pastikan karya awak tak mengandungi mesej kebencian yang melampau, kata kata kesat dan  sebagainya. Ejaan yang budak tadika pun tak buat seperti apew, sanad, pom dan sebagainya juga dilarang sama sekali. Jangan hantar link blog.

6. Apa yang akan berlaku bila dah siap?

    Bila dah siap zine ini akan diterbitkan dalam bentuk PDF dan boleh dimuat turun dengan percuma. Kami juga mengalu alukan sesiapa sahaja untuk mencetak dan mengedarkannya kepada orang ramai. Jika anda berniat untuk menjualnya, pastikan SEMUA keuntungan akan disalurkan ke mana mana tabung untuk GAZA yang dipercayai.
Sumbangan boleh dibuat ke dalam akaun di bawah:

1. Aqsa Syarif Berhad
5515 7500 4299 (Maybank Islamic)
12 092 01 003490 4 (Bank Islam)
kemudian sila maklumkan beserta slip deposit kepada:
admin@aqsasyarif.org.my
Tel: +603-8733 4636
Faks: +603-8734 9636
 7. Boleh layari hashtag #ZineUntukGaza di twitter.

by zoul yazix, Monday, 19 November 2012


Lahir Demi Mati.

2

#ZineUntukGaza

dihujung tanduk bercabang ,
letaknya hakikat kehidupan mereka .
mati bermaruah 

mati bersahaja .

dihujung sisi putih ,
letaknya cekal hati mereka .
lalu tersenyum
tubuh terlerai
dihujani mortar .

soldadu agama .
gelaran keramat , kata kita .
berbeza mereka
senantiasa bangga
hingga perjuang semua .

hidup dari awal seolah
demi mati .
lahir bersenjata
mati berjiwa , besar .

mereka,
satu darah dibawah panji yang sama .
satu agama berTuhankan hanya satu ;

yang Esa .

Tuhan ,
cuma ini mohon dari aku .

jika mati itu takdir mereka ,
jika derita itu ujian dunia ,

biar mereka terus ke syurga .
biar senyum saat mati itu ,
selamanya .

by Redhzuan Indera, Sunday, 18 November 2012


Kopi Bin

1



Sudah menjadi kebiasaan, tiap pagi pasti aku akan datang ke sini sebelum terus ke tempat kerja. Satu-satunya warung kopi tepi jalan, Warong Bin, yang berada dalam lingkungan jarak apartmen ke stesen komuter. Aku duduk di meja kegemaran dan datang seorang pelayan perempuan lingkungan 35 tahun bersama buku 555 di tangan kirinya. Tersenyum manja hingga memanahkan lesung berkembarnya tepat ke arah anak mata aku.

“Minum dik?”
“Biasa, kopi o gelas. Tarik ya.”
“Okay.”

Akak pelayan berlalu ke dapur untuk menyiapkan pesanan. Membelakangi aku sehingga menampakkan bentuk otot pejal gluteus maximus di sebalik seluar jeans ketat yang bisa buatkan setiap anak mata lelaki tidak lari dari melihat. Kadang-kadang terpikir juga aku bila melihat sisi tubuhnya begitu, entah apa jamu yang diamalkan hingga tegang sel sel pigmen ; tak kena dengan umur. Surat khabar diselak satu persatu bermula dari berita sukan, buat menunggu Kak Bin datang membawa air kopi aku. Usai sampai aku kacau perlahan kopi yang terhidang di atas meja hingga menaikkan aroma pekatnya menusuk ruang hidung umpama berikan hint supaya cepat menghirup sebelum aromanya hilang ditiup angin. Secangkir kopi di hirup bersama buih yang ada membasahi lidah turun perlahan memenuhi ruang esofagus dan buatkan kaifiat kafein menyegarkan sel tubuh. Cukup untuk melayari hari siang yang panjang. Nikmat.

“Kak Bin, kopi O dengan dua keping roti bakar.”
“Okay.”

Bunyi suara itu selang tiga meja di hadapan aku. Seorang perempuan yang entah dari hala mana datang dalam keadaan kelam kabut buatkan minda aku yang sedang lentok diulit nikmat kopi terganggu. Kalut lain macam gayanya.

*****
Pagi ini hujan renyai tapi ia tak pernah menghalang aku untuk terus datang ke warung ini untuk dapatkan kopinya. Dadah halal ini buatkan aku terlalu ketagih untuk dapatkannya setiap pagi sebagai ritual hidup untuk membantu aku produktif menempuh hari siang yang penuh barai. Bancuhan kopi campuran Kak Bin memang lain macam.
Warong Kak Bin tempat golongan marhaen melepaskan lelah. Golongan pemandu lori di satu sudut bersama kumpulan mereka. Bancuhan kopinya lebih pekat dan kurang gula. Pakcik-pakcik pensen yang masih berkopiah, baru pulang dari membersihkan surau duduk di satu sudut lain. Kopinya dikisar kasar. Baru sedap bila bergabung aromanya dengan rokok kretek.
Selepas melengkapi rutin pagi yang dijadualkan sendiri, aku terus bergegas ke stesen komuter terdekat untuk terus ke tempat kerja. Bukan tak mampu untuk berkenderaan sendiri tapi aku lebih suka menggunakan kenderaan awam di kota yang dihimpit dengan hutan konkrit melangit sedia ada dan tebaran peniaga kapitalis yang sering mencekik konsumer seperti aku.

*****
Aku masih lagi disini, di warung kopi yang sama untuk mendapatkan dos kopi yang sama. Cuma berbeza hanya meja aku sekarang bukan di meja selalu kerana sudah ada sekumpulan budak sekolah yang port lebih awal dari aku. Tak kisahlah, asalkan aku dapat menghirup dadah aku pagi ini tanpa gangguan. Sejak kebelakangan ini, kopi Kak Bin macam kurang kick. Atau mungkin sebab lain. Kini kopi bukan lagi tujuan utama aku di sini tapi dia. Ya, dia! Tapi mana dia? Dah beberapa hari aku tak Nampak langsung kelibat dia. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran. Mungkin bukan jodoh aku untuk kenal dia atau mungkin aku memang terlalu lambat bertindak. Abaikan. Ah, entah kenapa aku teringatkan gadis kalut itu. Aku beranikan diri. Aku tak peduli.

“Erm.. Kak Bin, tumpang tanya. Perempuan yang selalu order kopi O tu tak datang lagi ke?”
“Perempuan? Dik, kedai akak ni ramai perempuan yang order kopi. Mana akak nak ingat dik.”
Aku tersengih. Geli hati dengan gelagat sendiri. Malu. “Betul jugak ek. Ala, yang selalu kalut datang sini order kopi O dengan roti bakar dua keping tu. Yang matanya bulat, berambut curly di bahagian hujung. Ingat tak?”
“Oh, Lia eh? Yang selalu duduk di meja hujung situ kan?”
“Lia? Ha’ah. Iyer kot. Selalu dia port situ. Mana dia eh? Lama tak nampak.”
“Dia anak saudara akak. Tu ha!” Kak Bin menjuihkan bibirnya. Lia datang tergesa-gesa dan duduk di meja kegemarannya.
“Kak Bin, biasa eh? Kopi O dengan roti bakar dua.”
“Lambat lagi kau hari ini?”
Lia tersengih bila Kak Bin tegur. Manis. Dalam kalut-kalut Lia, masih lagi sempat dia melayangkan senyum kepada aku. Mungkin dia cam aku sebagai pelanggan tetap Kak Bin. Agaknya. Adrenalin memacu. Mungkin sebab lama tak nampak dia di sini. Aku tekad, lebih baik aku mencuba, untung sabut timbul.
“Awak, lama tak nampak sini.”
“Oh ya. Saya sibuk sikit, baru dapat kerja baru.”
Ringkas jawapannya tapi di hiasi dengan lirikan senyuman manis yang buatkan aku tak keruan.
“Erm. Saya Wan. Ini memang gila. Saya baru kenal awak. Tapi malam ini nak dinner dengan saya sekali tak?” Aku hulurkan tisu yang ditulis nombor telefon.
Entah apa aku ucap tadi, degupan jantung yang kencang tadi tiba saja senyap. Macam dah berhenti pam darah. Muka pun naik pucat lesi.
“Kenapa baru sekarang? Dah lama saya tunggu awak.” Dan pagi itu, aku bersumpah, senyum Lia ketika itu yang aku tak akan lupa sampai aku mati.




öfundsjúkur og hvalir

6

perasaan cemburu kadang-kadang buat saya berubah menjadi ikan paus. saya tak tahu samada murakami pernah melihat ikan paus secara langsung atau tidak. jika terserempak dengan saya yang sedang cemburu, saya pasti beliau bakal menulis novel barunya di dalam perut saya. mungkin juga, kalau franz kafka masih hidup (dan takdir telah membawanya terserempak dengan saya yang sedang cemburu) beliau boleh temankan murakami yang sedang menulis novel barunya di dalam perut saya sambil membaca kafka on the shore.


PERGI MATI

8

Aku telah lama mati dengan doa,
Yang kau tadahkan dengan kalimah 'pergi mati',
Di saat aku sedang berehat lama,
Dalam liang lahad,
Kau datang buat huru-hara,

Dan kejutkan aku dari kubur.

Sekarang ni kau pinta roh,
Datang masuk ke jasad,
Yang telah lama mereput,
Dimakan sumpah setia palsu kau.

Kau nak aku mati,
Aku dah mati,
Dah mati,
Mati.

Kau nak aku bangkit semula?
Apa yang kau nak?
Nak aku jadi jembalang?







Kini dia tidak merana lagi.

0

Pada suatu hari.
Bawah terik sinar mentari.
Saat jiwa sedang sendiri.
Mata tertancap pandangan dicuri.
Fizikal mirip seorang lelaki.
Berseragam hijau tiada kaki.
Meleret jalan sepanjang sisi.
Runtuhnya egois akibat emosi.
Kelibat ambulan pegun berhenti.
Pemandunya leka menjamah kopi.
Pasakit dibiar merana hati.
Asal tekaknya puas dibasahi.
Makin dibiar makin simpati.
Muncung diacu jari dirapi.
Sasaran lemah menyerah diri.
Kepala meletus memuntah daki.
Asal sakit tiada berbaki.
Asal mimpi tiada ngeri.


Bukan Tugas Kita

2

Falsampah : "Tak apa, saya ikhlas ni, ambil duit ni buat belanja" - ikhlas atau tidak, kita tak tahu. Jangan pertikaikan.

Kalau dah namanya terpaksa,
Jangan ditanya soal ikhlas atau tidak,
Kita bukan 'sesiapa' untuk menidakkan,
Keikhlasan seseorang,
Sedangkan,

Yang nampak sukarela itu,
Belum pasti ikhlas dan tulus,
Kita tidak tahu menahu,
Soal ikhlas atau tidak,
Itu bukan tugas kita,
Bukan.


Review ringkas pasal Lelaki Eksistensial

0


apa yang eksistensialnya lelaki eksistensial? tapi macam yang ada tertulis dalam novel ni, kalau nak tulis buku falsafah memang tak laku lah. pertama sekali bila aku baca tajuk aku rasa ending cerita ni sama ada bunuh diri atau gila, mungkin aku terikut-ikut filem 'into the wild' , sebab jawapan kepada persoalan eksistensial biasanya dijawab dengan 'masalah manusia adalah manusia', penghujung persoalan adalah mati dan kerana tengelam dengan persoalan terus jadi gila. mungkin dari segi moraliti karakter ni mengambarkan eksistensialisme dengan moraliti seperti stirner dan polyamori seperti emile armand. penghujung cerita, karakter utama jumpa dengan jawapan dengan konform dengan masyarakat, tetapi tanpa moraliti, id atau kemahuan karakter hampir semuanya dipenuhi. persoalan yang ada berkisarkan tentang kewujudan sosial manusia belum lagi kewujudan manusia itu sendiri juga mungkin penghujung novel bukan bunuh diri atau gila.

tertulis di dalam novel ni, kerajaan dan parti yang memerintah untuk terus berkuasa, mereka perlu wujudkan dalam minda, momok atau spectre untuk terus berkuasa. untuk terus dapat memenuhi kemahuannya, karakter ini seperti menyalahkan momoknya, sofia. dengan sofia menjadi momok, kemahuannya terus berkuasa. karakter ini tak akan tua atau mati dengan persoalan 'kalaulah aku...' dan itu apa yang ramai orang meyesal kerana moral. ada yang tertanya kenapa karakter ni tak pernah kantoi? hahahaha bagi aku karakter ni menjaga individualiti dia walau apa pun, tak perlu menjadi watak yang berbeza dengan wanita yang berbeza dan barang peribadi kekal peribadi bukan seperti kebiasaan sampai password fb pun nak kongsi, bbm mamat ni aku rasa tak pernah sorang pun sentuh.

fakta dan sedikit quotasi falsafah menarik minat pseudo-intelektual dan hipster separuh masak macam aku untuk baca buku ni, aku selak terus nampak nama peter kropotkin terus buka wallet. hahaha. fakta semuanya disusun dengan lawa dan hip, tidak terlalu berat dan kena dengan jalan cerita. bahasa yang diguna macam ditulis sambil menunding jari tengah kepada penulis dan penguna bahasa tinggi seperti puan ainon. penceritaan first person yang berjaya, teliti dan kesimpulannya memang kena sangat lapan minggu top 10 kinokuniya.


Post navigation