Kopi Bin



Sudah menjadi kebiasaan, tiap pagi pasti aku akan datang ke sini sebelum terus ke tempat kerja. Satu-satunya warung kopi tepi jalan, Warong Bin, yang berada dalam lingkungan jarak apartmen ke stesen komuter. Aku duduk di meja kegemaran dan datang seorang pelayan perempuan lingkungan 35 tahun bersama buku 555 di tangan kirinya. Tersenyum manja hingga memanahkan lesung berkembarnya tepat ke arah anak mata aku.

“Minum dik?”
“Biasa, kopi o gelas. Tarik ya.”
“Okay.”

Akak pelayan berlalu ke dapur untuk menyiapkan pesanan. Membelakangi aku sehingga menampakkan bentuk otot pejal gluteus maximus di sebalik seluar jeans ketat yang bisa buatkan setiap anak mata lelaki tidak lari dari melihat. Kadang-kadang terpikir juga aku bila melihat sisi tubuhnya begitu, entah apa jamu yang diamalkan hingga tegang sel sel pigmen ; tak kena dengan umur. Surat khabar diselak satu persatu bermula dari berita sukan, buat menunggu Kak Bin datang membawa air kopi aku. Usai sampai aku kacau perlahan kopi yang terhidang di atas meja hingga menaikkan aroma pekatnya menusuk ruang hidung umpama berikan hint supaya cepat menghirup sebelum aromanya hilang ditiup angin. Secangkir kopi di hirup bersama buih yang ada membasahi lidah turun perlahan memenuhi ruang esofagus dan buatkan kaifiat kafein menyegarkan sel tubuh. Cukup untuk melayari hari siang yang panjang. Nikmat.

“Kak Bin, kopi O dengan dua keping roti bakar.”
“Okay.”

Bunyi suara itu selang tiga meja di hadapan aku. Seorang perempuan yang entah dari hala mana datang dalam keadaan kelam kabut buatkan minda aku yang sedang lentok diulit nikmat kopi terganggu. Kalut lain macam gayanya.

*****
Pagi ini hujan renyai tapi ia tak pernah menghalang aku untuk terus datang ke warung ini untuk dapatkan kopinya. Dadah halal ini buatkan aku terlalu ketagih untuk dapatkannya setiap pagi sebagai ritual hidup untuk membantu aku produktif menempuh hari siang yang penuh barai. Bancuhan kopi campuran Kak Bin memang lain macam.
Warong Kak Bin tempat golongan marhaen melepaskan lelah. Golongan pemandu lori di satu sudut bersama kumpulan mereka. Bancuhan kopinya lebih pekat dan kurang gula. Pakcik-pakcik pensen yang masih berkopiah, baru pulang dari membersihkan surau duduk di satu sudut lain. Kopinya dikisar kasar. Baru sedap bila bergabung aromanya dengan rokok kretek.
Selepas melengkapi rutin pagi yang dijadualkan sendiri, aku terus bergegas ke stesen komuter terdekat untuk terus ke tempat kerja. Bukan tak mampu untuk berkenderaan sendiri tapi aku lebih suka menggunakan kenderaan awam di kota yang dihimpit dengan hutan konkrit melangit sedia ada dan tebaran peniaga kapitalis yang sering mencekik konsumer seperti aku.

*****
Aku masih lagi disini, di warung kopi yang sama untuk mendapatkan dos kopi yang sama. Cuma berbeza hanya meja aku sekarang bukan di meja selalu kerana sudah ada sekumpulan budak sekolah yang port lebih awal dari aku. Tak kisahlah, asalkan aku dapat menghirup dadah aku pagi ini tanpa gangguan. Sejak kebelakangan ini, kopi Kak Bin macam kurang kick. Atau mungkin sebab lain. Kini kopi bukan lagi tujuan utama aku di sini tapi dia. Ya, dia! Tapi mana dia? Dah beberapa hari aku tak Nampak langsung kelibat dia. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran. Mungkin bukan jodoh aku untuk kenal dia atau mungkin aku memang terlalu lambat bertindak. Abaikan. Ah, entah kenapa aku teringatkan gadis kalut itu. Aku beranikan diri. Aku tak peduli.

“Erm.. Kak Bin, tumpang tanya. Perempuan yang selalu order kopi O tu tak datang lagi ke?”
“Perempuan? Dik, kedai akak ni ramai perempuan yang order kopi. Mana akak nak ingat dik.”
Aku tersengih. Geli hati dengan gelagat sendiri. Malu. “Betul jugak ek. Ala, yang selalu kalut datang sini order kopi O dengan roti bakar dua keping tu. Yang matanya bulat, berambut curly di bahagian hujung. Ingat tak?”
“Oh, Lia eh? Yang selalu duduk di meja hujung situ kan?”
“Lia? Ha’ah. Iyer kot. Selalu dia port situ. Mana dia eh? Lama tak nampak.”
“Dia anak saudara akak. Tu ha!” Kak Bin menjuihkan bibirnya. Lia datang tergesa-gesa dan duduk di meja kegemarannya.
“Kak Bin, biasa eh? Kopi O dengan roti bakar dua.”
“Lambat lagi kau hari ini?”
Lia tersengih bila Kak Bin tegur. Manis. Dalam kalut-kalut Lia, masih lagi sempat dia melayangkan senyum kepada aku. Mungkin dia cam aku sebagai pelanggan tetap Kak Bin. Agaknya. Adrenalin memacu. Mungkin sebab lama tak nampak dia di sini. Aku tekad, lebih baik aku mencuba, untung sabut timbul.
“Awak, lama tak nampak sini.”
“Oh ya. Saya sibuk sikit, baru dapat kerja baru.”
Ringkas jawapannya tapi di hiasi dengan lirikan senyuman manis yang buatkan aku tak keruan.
“Erm. Saya Wan. Ini memang gila. Saya baru kenal awak. Tapi malam ini nak dinner dengan saya sekali tak?” Aku hulurkan tisu yang ditulis nombor telefon.
Entah apa aku ucap tadi, degupan jantung yang kencang tadi tiba saja senyap. Macam dah berhenti pam darah. Muka pun naik pucat lesi.
“Kenapa baru sekarang? Dah lama saya tunggu awak.” Dan pagi itu, aku bersumpah, senyum Lia ketika itu yang aku tak akan lupa sampai aku mati.