Ke Kelas Renang

Oleh kerana lalu lintas di Kuala Lumpur tidak sama dengan di Labis, Roji terpaksa menggunakan kenderaan awam. Ini pertama kali Roji menaiki kenderaan awam. Kata Jikal, kenderaan awam di Kuala Lumpur menjadi medium untuk menyampaikan agenda politik; agen kerajaan. Namun Roji tidak hiraukan pesan Jikal. Apa dia peduli dengan kerajaan? 

Laluan ke Seremban sangat padat ketika ini. Lebih-lebih lagi pada hari minggu. Mungkin yang ramai-ramai beratur dan menunggu cuma nak ke stesen seterusnya iaitu Mid Valley. Roji mengeluh sedirian, "kenapa semua nak ke sana hanya sekadar ingin tengok wayang? Tak tahu bersabar? Tunggu seminggu dua keluarlah DVD cetak rompak. Dengan hanya RM5 boleh tengok berulang kali, bodoh". 

Lepas makan tadi di medan selera Roji tak sempat menghisap rokok. Baru dia ingin keluar ke seberang Hilton Hotel Kazem menghantar sms kepadanya untuk bergegas membeli tiket ke Seremban. Takut tak sempat. Roji mengeluarkan kotak rokok dari poket. Sementara menunggu alangkah enaknya kalau merokok. "Dik, kat sini tak boleh hisap rokok. Hisap choki-choki boleh", seorang lelaki India separuh umur menegurnya. "Erkkk, uncle, saya cuma keluarkan kotak rokok. Nak letak dalam beg." Roji mereka alasan. Lalu dia masukkan kotak rokoknya ke dalam poket sisi beg. "Celaka betul, kenapa aku tak perasan signage 'no smoking' kat sini tadi". Monolognya lagi. 

Tak boleh jadi. Duduk atas kerusi logam ada baiknya duduk bersila di lantai. Baru Melayu; konon. Sambil memerhati gelagat anak muda yang rasa-rasanya masih bersekolah dengan gaya SWAG-nya, Roji tergelak. "Entah apa-apa budak-budak sekarang ni". 

Datang perempuan sekitar lewat 20'an duduk bersila di sebelahnya. "Boleh akak duduk?" soal perempuan tersebut. "Boleh kak, apa salahnya, platform ni bukan saya yang punya. Hehehe." jawab Roji dengan humor yang kontang. "Akak pakai legging ni nak ke mana? Ada kelas renang ke?" Sambung Roji. Walaupun petanyaan Roji agak kendur tapi perempuan tersebut rasa macam ada tali tangsi tegang yang tersangkut pada lehernya. Lantas perempuan tersebut menjawab, "adik apa tahu? ini fesyen." "Oh ya ke? Tak tahu pula saya ini namanya fesyen. Hehehe. Akak tunggu siapa?" 

Sambil menarik legging yang tersangkut pada kelengkangnya (ketat sangat barangkali) perempuan tersebut menyambung, "akak tunggu kawan awak, entah mana dia. Kata dah sampai." 

Roji diam sebab dia tak tahu nak tanya apa lagi. Nak tanya lebih-lebih takut makwe orang (atau tunang?). Takut juga pakwenya (atau tunangnya) akan datang kejap lagi. "Dik, akak tersalah platform ni. Akak nak ke Perlabuhan Klang sebenarnya, platform 5. Kat sebelah sana" tangannya menuding ke arah belakang. "Tu hah! Kawan akak kat sana, patutnya tak nampak. Hahaha." 

Ada macam yang tak kena dengan 'kawan' perempuan tadi. Bukan soal apa yang dipakai kawan perempuan tadi. Tapi soal rupa kawan perempuan tersebut. Roji bangun dan datang ke arah kawan perempuan itu. "Eh, Kak Ngah buat apa kat sini? Kak Ngah kenal akak ni ke?" Roji rasa macam ada sauh kapal sedang menghempap tempurung kepalanya. "Ini kawan akak lah Roji! Macam mana kau orang boleh kenal?" Belum sempat Roji menjawab pertanyaan kakaknya, perempuan yang duduk di sebelahnya tadi memintas. "Aik? Kau orang adik-beradik? Dik, tengok. Akak adik pun pakai legging. Inilah namanya fesyen". 

Roji terkedu. Tak sangka kakaknya dah tak tahu berenang sedangkan masa kecil dulu mereka sama-sama berkubang di tali air. Baginya, memakai legging umpama pakaian orang ke kelas renang. Celaka betul. mengata orang tapi akak sendiri pun buta fesyen.