Solidari Isolasi Imaginasi

Aman tinggal di sebuah bilik empat segi sama yang sedang-sedang, tidak berapa besar dan tidak terlalu kecil. Bilik Nombor 01. Ia tidak berlampu, tetapi sentiasa terang. Dicat putih keseluruhannya, memberikan ilusi ruang yang lebih luas. Bilik ini juga tidak berpintu, jadi Aman tidak boleh keluar dan orang lain tidak boleh masuk. Betul-betul terasing. Dimensi yang terpisah. Di sini, masa seolah terhenti. Tiada jam untuk menunjukkan waktu. Aman tak ingat sejak bila dia tinggal di sini dan mengapa. Walaupun tanpa makan, rehat dan tidur, Aman masih bernafas. Bersemangat. Dia betul-betul hidup.

Di dalam Bilik Nombor 01, ada satu set kerusi dan meja kayu kecil bercat hitam di satu sudut bilik, berhadapan dinding. Kebiasaannya, Aman akan duduk di situ mengadap buku-buku di dalam sebuah rak mini yang sedia ada di atas meja. Padat. Fiksyen kebanyakannya. Disusun menegak mengikut order tinggi ke rendah, tebal ke nipis. Usai saja Aman membaca sebuah buku, dengan sendirinya buku itu akan kembali tersusun ke dalam rak dan digantikan dengan buku yang lain. Maka ada saja bacaan baru untuk Aman. Tapi, Aman tidak boleh mengulang pembacaan kerana buku yang telah diganti tidak akan muncul semula. Itu mendatangkan masalah. Sebab itu, kadang-kala Aman sengaja membiarkan muka surat terakhir tak terusik. Biarlah dia tidak tahu pengakhiran cerita, janji buku itu kekal di situ.

Di dalam Bilik Nombor 01 juga, ada satu jendela kaca berbingkai palang hitam, ketat terkatup pada sisi dinding yang adjasen dengan sisi dinding set kerusi meja kayu tempat Aman duduk. Dari jendela itu, Aman boleh melihat keadaan dunia luar. Ianya kelam. Mentari samar-samar di balik awan. Hujan renyai-renyai. Selalu begitu. Tak pernah sekali reda dari membasahi padang pasir yang terbentang luas. Bukanlah panorama yang terindah. Jelas, coretan fiksyen lebih menarik perhatian Aman. Khusyuk. Mengabaikan fenomena alam yang entah apa-apa. Aman leka. Hinggalah pada suatu ketika...

TUP!

Aman tersentak. Pelik. Ada titisan air yang terpercik di tangan beliau. Perlahan, titisan air itu bergerak laju menuruni lengan terus ke siku lalu jatuh ke lantai. PLUP! Sejuk rasanya. Aman menoleh menjenguk jendela. Terkuak. Ya, jendela kaca itu terkuak luas! Aman macam tak percaya. Terkebil-kebil biji matanya. Seingatnya, jendela itu tak pernah terbuka sebegitu. Aman menutup buku, menghulurkan sebelah tangan keluar. TUP! TUP! TUP! Renyai hujan menyambut lembut sapaan tangan Aman. Dibiarkan longlai. Perasaan dingin yang dicetuskan oleh tindakbalas reseptor kulit terus ke otak membuat Aman tersengih panjang. Hurm, apa rasanya lencun dibedil hujan? Lantas, Aman bangun dari kerusi dan terus memanjat jendela. Ini mungkin permulaan sebuah pentas yang baru!

DUP!

Sebaik sahaja tapak kaki Aman bercium dengan lopak lumpur di luar jendela, persekitarannya langsung berubah. Tiada lagi hujan. Tiada mentari. Tiada padang pasir. Cuma sebuah lagi bilik bercat putih mirip biliknya. Jendela tadi terkatup kembali. Di dalam dimensi baru ini, set meja bacaan telah ditukar dengan sebuah piano tegak berwarna hitam. Aman sedikit kecewa. Sugul. Lama juga dia termenung. Ah, apa lagi yang dia boleh buat? Aman merapati piano, melabuhkan punggung di atas bangku kecil berkusyen empuk. Jejari tangannya diletupkan satu persatu, kemudian diatur membentuk riak separa bulatan, berdiri secara ringan di atas kekunci piano. Lembut dan halus, Aman memulakan permainan. Bagaikan seorang pro, satu-satu gerakan jarinya menghasilkan irama dan lagu. Dang, dang, dang~ Berlatar belakangkan jendela dengan panorama hujan salji di padang pasir, Aman memejamkan mata, melentok ke sana ke mari menghayati bunyi-bunyian. Khayal. Asyik. Fantasi Dalam D Minor.